Categories
NASIONAL

PKR : Kerajaan Pusat patut turun kadar tol

Oleh : Norhayati Umor

PETALING JAYA 16 DIS : Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh dan pengaruh untuk tidak membuat keputusan menaikkan kadar tol ekoran pemegang konsesi lebuh raya adalah anak-anak syarikat milik kerajaan.

rafizi pc white stripes 01Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata dakwaan kenaikan tol tidak dapat dielakkan adalah tidak benar kerana mereka mempunyai kuasa untuk mengawal kadar kenaikan itu.

Katanya, beliau menyanggah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta.

“Sebahagian besar pemegang konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan lebuh raya. Kerajaan Pusat memberikan bantuan-bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang konsesi.

turun3“Contohnya Maju Expressway (MEX) diberikan dana penuh berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuhraya itu,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Rafizi berkata Kerajaan Pusat menganggap rakyat di negara ini bodoh dan mudah tertipu, oleh itu membuat kenyataan menyalahkan pemegang konsesi menaikkan kadar tol.

“Oleh kerana pemegang konsesi adalah milik anak syarikat kerajaan, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh dan pengaruh untuk merunding semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol,” katanya.

Beliau berkata Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dikuasai sepenuhnya oleh agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Manakala Prolintas adalah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

“Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59 peratus di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Pusat sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensi.

“Ini bermakna, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh atas bantuan kewangan yang diberikan kepada syarikat konsesi.

“Alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

tol naikMinggu lalu, Abdul Wahid memberitahu kenaikan harga tol akan bermula pada 2014 dan kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana kerajaan sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.

Tiga kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuh raya ialah PLUS, Prolintas dan Gamuda.

PLUS mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan, NKVE, Elite, Linkedia, Butterworth Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Manakala Prolintas mengendalikan Lebuharaya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Guthrie, Kemuning Shah Alam dan bakal membina Sungai Besi-Ulu Kelang dan Damansara- Shah Alam.

Selain itu, Gamuda melalui anak syarikat usahasamanya mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong, KESAS dan SPRINT.

– EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.