Categories
SELANGOR

Program Tuisyen Rakyat Selangor lahir pelajar cemerlang

Oleh : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 13 DIS : Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dilaksanakan kerajaan negeri di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) memberi manfaat kepada lebih 60,000 pelajar di seluruh Selangor yang mengikuti program berkenaan.

Penolong Setiausaha, Unit Pendidikan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Siti Syazwani Ab Latib, berkata kira-kira 62,749 pelajar seluruh Selangor mengikuti program berkenaan membabitkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak dimulakan, pada Mac 2009.

PTRS Halimah Ali 01Beliau berkata, PTRS adalah program khas bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma yang disediakan kepada pelajar dengan keputusan sederhana dan lemah bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dari segi pencapaian secara umumnya memang ada peningkatan dan ada di antara pelajar mampu mencatat keputusan cemerlang,” kata kepada SelangorKini, di sini, baru-baru ini.

Katanya, beberapa program sokongan dijalankan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN yang menyediakan kes tuisyen itu di kawasan masing-masing bagi meningkatkan tahap pencapaian pelajar.

“Kita akan buat program keibubapaan dan golongan sasaran adalah ibu bapa pelajar yang menyertai PTRS. Apabila kelas tuisyen bermula, kita akan adakan ujian prestasi dan pada masa sama kita jalankan ‘smart learning’ untuk mengukuhkan pelajaran pelajar.

“Bila hampir dengan tarikh peperiksaan, kita akan laksanakan program pecutan akhir seperti latih tubi yang akan dibuat setiap minggu dengan pengawasan guru. Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3.45 juta setiap tahun bagi menjayakan program ini,” katanya.

Siti Syazwani berkata, PTRS mendapat lebih mendapat sambutan di kawasan luar bandar dan miskin bandar seperti di Sabak Bernam, Hulu Langat dan Klang hasil daripada analisis yang dilakukan pihaknya.

Katanya, program memfokuskan bimbingan kepada empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan RM1,500 dan ke bawah.

“Ibu bapa memang berpuas hati dengan program ini kerana dapat memberi peluang kepada anak mereka untuk mengikuti kelas tuisyen dengan lebih sistematik di bawah pengawasan koordinator pembangunan modal insan (KPMI) dan guru yang dilantik,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.