Categories
SELANGOR

Seminar Pengurusan Minyak Masak Terpakai

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 4 DIS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pengurusan Minyak Masak Terpakai dalam usaha mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan pengurusan minyak masak terpakai dan kesan terhadap kesihatan.

Seminar setengah hari itu dihadiri kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), wakil Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam.

datuk bandar mbsaDatuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata seminar yang pertama di Malaysia itu diadakan memandangkan isu minyak masak adalah isu global dan berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar serta kesihatan.

Katanya, MBSA berharap seminar itu dapat memberi pendidikan berhubung pengurusan minyak masak terpakai yang tidak efektif seterusnya menyebabkan gangguan kepada saluran sinki, paip dan longkang tersumbat.

“Kita tidak mahu perkara ini terganggu kerana MBSA akan mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyelenggara kerja infra dan pembersihan kawasan khususnya longkang.

“Oleh sebab itu, kita jalankan kerjasama dengan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd yang menjalankan program kutipan sisa minyak masak terpakai bagi tujuan kitar semula kepada biodesel,” katanya kepada selepas merasmikan seminar berkenaan di Hotel Bluewave, di sini, semalam.

Jaafar berkata, MBSA aktif menjalankan kutipan minyak masak terpakai melalui lantikan kontraktor kutipan minyak masak itu, sejak 2007.

Kitar Semula Minyak TerpakaiKatanya, kutipan itu dijalankan melalui kutipan di kantin penyediaan makanan dan kilang untuk dihantar ke pusat kitar semula yang terletak di Seksyen 6 serta 17, selain pusat kitar semula yang akan dibuka di Seksyen 2, akhir bulan ini.

“Menerusi kerjasama baru ini, kita galakkan pengguna atau orang awam datang sendiri ke pusat kitar semula dan minyak masak terpakai itu akan dibeli syarikat terbabit mengikut kiraan kilogram (kg),” katanya.

Untuk rekod, pada Januari lalu, MBSA mengutip minyak masak terpakai sebanyak 378 kg, 431 kg (Februari), 485 kg (Mac), 508 kg (April), 415kg (Mei), 493kg (Jun), 395kg (Julai), 460kg (Ogos), 520kg (September) dan 505 kg (Oktober).

MBSA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd untuk menjalankan Program Rintis Kitar Semula Minyak Masak di kawasan pentadbirannya dan program itu diselaraskan melalui peruntukan RM200,000 daripada KETTHA.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.