Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun 1% selepas naik tertinggi 26 bulan

NEW YORK 27 SEPT: Harga minyak turun satu peratus semalam selepas pelabur mengambil untung daripada rali yang melonjakkan harga ke paras tertinggi 26-bulan dicetuskan ancaman Turki akan menyekat eksport minyak dari wilayah Kurdistan, Iraq.

Pasaran turut berada dalam tekanan menjelang data inventori mingguan minyak AS yang dijangka menyaksikan peningkatan simpanan minyak bagi empat minggu berturut-turut, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Brent berakhir AS$0.58 atau satu peratus lebih rendah kepada AS$58.44 setong selepas mencecah AS$59.49, iaitu paras tertingginya sejak Julai 2015 dan lebih tinggi 34 peratus daripada paras terendah 2017.

Dagangan hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$0.34 atau 0.7 peratus lebih rendah pada AS$51.88 setong apabila mencecah paras tertingginya dalam tempoh lima bulan kepada AS$52.43.

Presiden Turki, Tayyip Erdogan mengumumkan akan memotong bekalan saluran paip yang membawa kira-kira 500,000 hingga 600,000 tong sehari (bpd) minyak mentah daripada Utara Iraq ke pelabuhan Turki di Ceyhan, sebagai tekanan ekonomi terhadap rantau Kurdish yang melaksanakan referendum kemerdekaan.

Potensi kehilangan bekalan itu akan digabungkan dengan 1.8 juta bpd pengurangan pengeluaran oleh ahli OPEC dan bukan-OPEC akan menyebabkan pengurangan ketara bekalan minyak dunia.

Bahkan operasi penyulingan AS turut dijangka naik 3.6 peratus daripada 83.2 peratus kapasiti keseluruhan dalam minggu itu berakhir 15 September lalu, berdasarkan undian Reuters semalam.

Pengurusan Maklumat Tenaga AS (EIA) mengumumkan stok simpanan minyak AS melonjak 4.6 juta tong apabila import bahan api itu meningkat 734,000 bpd dan pengeluarannya naik 157,000 bpd kepada 9.51 juta bpd, iaitu paras sebelum bencana taufan Harvey melanda Texas pada 25 Ogos lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Seminar Pengurusan Minyak Masak Terpakai

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 4 DIS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pengurusan Minyak Masak Terpakai dalam usaha mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan pengurusan minyak masak terpakai dan kesan terhadap kesihatan.

Seminar setengah hari itu dihadiri kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), wakil Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam.

datuk bandar mbsaDatuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata seminar yang pertama di Malaysia itu diadakan memandangkan isu minyak masak adalah isu global dan berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar serta kesihatan.

Katanya, MBSA berharap seminar itu dapat memberi pendidikan berhubung pengurusan minyak masak terpakai yang tidak efektif seterusnya menyebabkan gangguan kepada saluran sinki, paip dan longkang tersumbat.

“Kita tidak mahu perkara ini terganggu kerana MBSA akan mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyelenggara kerja infra dan pembersihan kawasan khususnya longkang.

“Oleh sebab itu, kita jalankan kerjasama dengan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd yang menjalankan program kutipan sisa minyak masak terpakai bagi tujuan kitar semula kepada biodesel,” katanya kepada selepas merasmikan seminar berkenaan di Hotel Bluewave, di sini, semalam.

Jaafar berkata, MBSA aktif menjalankan kutipan minyak masak terpakai melalui lantikan kontraktor kutipan minyak masak itu, sejak 2007.

Kitar Semula Minyak TerpakaiKatanya, kutipan itu dijalankan melalui kutipan di kantin penyediaan makanan dan kilang untuk dihantar ke pusat kitar semula yang terletak di Seksyen 6 serta 17, selain pusat kitar semula yang akan dibuka di Seksyen 2, akhir bulan ini.

“Menerusi kerjasama baru ini, kita galakkan pengguna atau orang awam datang sendiri ke pusat kitar semula dan minyak masak terpakai itu akan dibeli syarikat terbabit mengikut kiraan kilogram (kg),” katanya.

Untuk rekod, pada Januari lalu, MBSA mengutip minyak masak terpakai sebanyak 378 kg, 431 kg (Februari), 485 kg (Mac), 508 kg (April), 415kg (Mei), 493kg (Jun), 395kg (Julai), 460kg (Ogos), 520kg (September) dan 505 kg (Oktober).

MBSA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd untuk menjalankan Program Rintis Kitar Semula Minyak Masak di kawasan pentadbirannya dan program itu diselaraskan melalui peruntukan RM200,000 daripada KETTHA.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA tandatangani MOU program kitar semula minyak masak

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 9 NOV –  Satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani di antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd untuk menjalankan Program Rintis Kitar Semula Minyak Masak di kawasan pentadbiran MBSA.

Program ini diselaraskan MBSA melalui peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Majlis tandatangan MOU ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohtar Hani bersama Pengarah Eksekutif Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Tan U-Jiun.MBSA basikal 03

Majlis itu turut disaksikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan dan Ketua Penolong Setiausaha Sektor Teknologi Hijau Kettha, Mathumathi Ambigabadi.

Datuk Mohd Jaafar dalam sidang media ringkas menyatakan, program ini memberikan kesedaran kepada penduduk Shah Alam tentang bahaya penggunaan semula minyak masak yang tidak diproses secara sistematik.

Katanya kesan penggunaan minyak masak tidak diproses secara sistematik boleh memberikan kesan kesihatan.

Ujar beliau lagi, program kutipan minyak masak terpakai ini yang melibatkan penduduk Shah Alam akan turut disertai para peniaga yang mempunyai perniagaan di premis di bawah MBSA.

Kira-kira 1,000 orang hadir ke Program Zon Bersih Bulan November peringkat MBSA yang terdiri daripada komuniti Seksyen 2, 3 dan 4,

Program Zon Bersih diperkenalkan Kerajaan Selangor yang mana setiap pihak berkuasa tempatan dikehendaki mengenalpasti sesebuah kawasan yang akan dipertingkatkan tahap kebersihan dan keceriaan.

EZY