Categories
NASIONAL

SUARAM : Henti guna SOSMA halang himpunan aman

KUALA LUMPUR 31 DIS: Kerajaan diminta tidak menggunakan SOSMA iaitu akta baru yang menggantikan ISA bagi menghalang perhimpunan aman membantah kenaikan kos hidup yang dijadual malam ini.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Syukri Razab berkata tindakan kerajaan menggunakan SOSMA terhadap seorang aktivis, menggambarkan tindakan tidak logik pihak berkuasa kerana akta itu perlu digunakan untuk mencegah keganasan.

300x261x8d4f760541d082f641f7e04792759991.jpg.pagespeed.ic.usOuO5FTu1Syukri menegaskan, pihaknya dimaklumkan Mohd Zul Raidy Ahmad Tarmizi atau nama di laman sosial Facebooknya, Eddy Gordo diburu pihak berkuasa dan dikaitkan dengan himpunan Turun 31 Disember itu.

“Kami mendapat maklumat daripada keluarga dan rakan Eddy, pihak polis menjalankan siasatan ke atas aktivis itu di bawah peruntukan 124D Kanun Keseksaan yang dibaca sekali dengan SOSMA,” katanya yang dipetik daripada Harakahdaily.

Syukri berkata, Eddy yang menjalankan perniagaan percetakan dikatakan mencetak T-shirt berbaur hasutan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Sepasukan 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sudah ke rumah keluarga Eddy , bagaimanapun aktivis itu tidak berada di rumah.

“Apabila ditanya, polis terbabit hanya menyatakan Eddy akan disiasat di bawah SOSMA kerana mencetak baju berbaur hasutan yang menjurus kepada Himpunan Turun,” katanya.

Selepas gagal menemui Eddy di Taiping, pihak polis dikatakan ke rumah sewa aktivis itu di Seri Kembangan membabitkan kira-kira lima anggota polis dari IPD Serdang pada jam 1 pagi, namun Eddy tidak berada di rumah.

Pihak polis menggeledah rumah sewa berkenan dan merampas baju milik Eddy, manakala rakan serumahnya dimaklumkan polis hanya menjalankan tangkapan dan kes terbabit akan diserahkan kepada Bukit Aman.

Teman serumah Eddy turut dibawa ke IPD Serdang untuk diambil keterangan pada jam 3 pagi dan hanya dibenarkan pulang ke rumah, pada jam 7 pagi.

Syukri berkata, SUARAM berpendirian tidak ada asas kukuh untuk polis mengambil langkah ofensif terhadap himpunan itu, sebaliknya dilihat cuba mengalihkan isu sebenar yang ingin diutarakan rakyat.

Sehubungan itu, SUARAM mendesak polis supaya menghentikan sebarang intimidasi terhadap himpunan aman 31 Disember ini, selain menuntut polis berhenti menggunakan SOSMA yang bercanggah dengan hak asasi manusia untuk menyiasat aktivis rakyat.

“SUARAM akan bekerjasama dengan pasukan peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (JUHAM), Lawyers For Liberty (LFL) dan individu peguam hak asasi yang akan bersedia memberi bantuan guaman jika berlaku tangkapan pada himpunan malam ini,” katanya.

Syukri turut memohon orang ramai yang mendapat maklumat berkenaan tangkapan dan sebarang intimidasi daripada polis, sama ada sebelum, ketika atau selepas perhimpunan menghubungi SUARAM di talian 03-77843525 atau menghantar SMS kepada Hotline 019-8013149/013-3845740.

Mereka perlu memasukkan butiran nama yang ditahan, nombor kad pengenalan, lokasi ditahan, balai polis tempat orang ditahan serta nombor telefon orang ditahan jika ada.

Senarai penuh nombor Hotline SUARAM akan dikeluarkan hari ini di laman sesawang www.suaram.net dan juga Facebook rasmi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.