Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM tolak alasan teknikal KDN, teruskan demo 4 Januari

Oleh : Sekreteriat Gerakan Media Marah (GERAMM)

Gerakan Media Marah, atau ringkasnya GERAMM, menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar segera mengembalikan hak penerbitan kepada akhbar mingguan The Heat.

Alasan kementerian bahawa penggantungan ini hanya bersifat “sementara” tidak boleh dipakai sebab seharusnya permit penerbitan diberikan kepada semua sebagai hak asasi yang dijamin Perlembagaan. Penggantungan ini bercanggah dengan semangat kebebasan dalam Perlembagaan.

Selepas mengembalikan lesen penerbitan The Heat, kementerian juga dituntut agar tidak mengulangi tindakan seumpama ini — yang tidak demokratik dan anti-kebebasan media — terhadap mana-mana penerbitan.

geramm logoSemangat kebebasan media ini bukan sahaja diperjuangkan oleh GERAMM, wartawan dan aktivis-aktivis badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga ditegaskan dalam ucapan-ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Jadi, amatlah malang, sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menjadikan penegasan janji-janji perdana menteri ini sebagai landasan tindakannya.

Walaupun kementerian tidak menyebut nama “pihak-pihak yang memburuk-burukkan kerajaan berhubung penggantungan The Heat” dalam kenyataannya semalam, GERAMM ingin menegaskan bahawa keprihatinan (concern) kumpulan ini dan juga tokoh-tokoh masyarakat itu ada asasnya.

Penggantungan The Heat, berselindung di balik alasan-alasan teknikal itu, jelas menunjukkan kementerian tiada bukti kukuh untuk bertindak.

Malah, tindakan itu menguatkan lagi tanggapan umum (public perception) bahawa akhbar mingguan ini digantung akibat melaporkan perbelanjaan boros perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor.

GERAMM, dalam semua kempennya untuk kebebasan media, tiada niat memburukkan kerajaan atau pihak berwajib. Kumpulan wartawan ini hanya menyuarakan lapan tuntutan adil yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan demi kemajuan negara dan kebaikan kita bersama.

Copy of merahBcyTYtFCEAA-11s

Lapan (8) tuntutan GERAMM boleh dirujuk di sini: http://www.change.org/en-GB/petitions/wartawan-dan-pengamal-media-sila-tandatangan

Bagi meneruskan kempennya, GERAMM dengan ini mengumumkan satu demonstrasi bantahan diadakan seperti butiran di bawah:

Program: Protes Pensel Merah (Red Pencil Protest)

Tarikh: 4 Januari 2014 (Sabtu)

Jam: 2 petang

Tempat: depan bangunan Majlis Peguam, Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur

Kami menyeru kepada semua wartawan dan pembaca agar menyertai kempen kami ini bagi menegaskan lagi lapan (8) tuntutan tersebut.

GERAMM juga memohon kerjasama baik polis dan pihak berwajib agar memudahkan perjalanan Protes Pensel Merah agar ia dapat dilangsungkan dengan lancar dan aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.