Categories
NASIONAL

Kerap diintip polis, Pengerusi MyWatch minta bantuan SUHAKAM

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Dato’ Sri Sanjeevan bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) setelah mendakwa dirinya diintip secara rahsia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, terbaru beliau diintip dua lelaki tidak dikenali ketika berada di rumahnya, pada 9 Julai lalu.

“Saya mendekati lelaki berkenaan dan pada awalnya kedua mereka tidak mahu memberikan kerjasama memperkenalkan diri, namun setelah disoal siasat pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahan, barulah mereka mengaku sebagai anggota polis dari Bahagian Narkotik.

“Sebelum ini saya pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), namun penahanan itu ditolak oleh majistret kerana tidak mematuhi syarat.

“Disebabkan itu, saya menggesa PDRM henti membuat intipan terhadap saya supaya keluarga saya bebas dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum berkenaan kes terbabit daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kepada SUHAKAM di pejabatnya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan menganggap hak kebebasan individu tidak boleh dicabuli, terutama pihak keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Katanya, Sanjeevan adalah pejuang hak asasi manusia yang sepatutnya dilindungi di bawah peruntukan undang-undang.

“Kami menganggap intimidasi dan gangguan itu mengancam keselamatan diri dan keluarganya, dengan ini kami meminta SUHAKAM untuk segera campur tangan dan menghentikan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku terhadap Sanjeevan,” katanya.

Categories
NASIONAL

SUARAM sambut baik kenyataan Tun M isu salah guna kuasa terhadap tahanan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 MEI: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan penderaan termasuk kematian dalam tahanan.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, ia adalah kenyataan progresif ditunggu masyarakat dan mangsa penderaan juga pihak berkaitan.

“SUARAM berharap ia tidak sekadar kenyataan media tetapi dapat dilaksanakan dan dipantau kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan kita bersedia bekerjasama bagi menangani masalah penderaan dan kematian dalam tahanan.

“Ini juga masa paling sesuai untuk kerajaan meratifikasikan Konvensyen Melawan Penderaan (UNCAT) termasuk Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menyeru supaya kerajaan membebaskan serta-merta semua tahanan bawah umur ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA).

Katanya, sekiranya polis mempunyai bukti kukuh bagi pendakwaan maka diminta melakukannya dengan menggunakan akta lain yang berkaitan selain pembatalan Alat Pemantauan Elektronik (EMD) dipasang ke atas tahanan muda.

“Mengikut laporan dibentangkan di Parlimen pada November tahun lalu, terdapat 142 tahanan bawah umur ditahan di bawah POCA dan 17 tahanan (SOSMA),” katanya.

SUARAN menyatakan demikian merujuk kenyataan Dr Mahathir, 16 Mei lalu, berkaitan tindakan tidak boleh dilakukan terhadap tahanan seperti mendera dan sebagainya serta memberi layanan baik terhadap golongan itu termasuk mengadakan inkues jika berlaku kematian.

=EZY=

Categories
NASIONAL

SUARAM kecewa kematian tahanan berulang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 APR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) melahirkan rasa kecewa terhadap kes kematian dalam tahanan yang berulang dan ia seharusnya mendapat perhatian serius Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, kes ke atas S Thanabalan di lokap berpusat, di Shah Alam, pada 18 April lalu sepatutnya tidak berlaku kerana menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga kebajikan tahanan.

“Fenomena kematian dalam tahanan masih berterusan walaupun sudah didesak pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan dan badan berkanun seperti SUARAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), ahli politik serta badan hak asasi seperti Majlis Hak Asasi Manusia PBB supaya menyelesaikan masalah ini.

“Sejak pelantikan KPN pada September tahun lalu, terdapat tiga kes kematian dalam lokap polis direkodkan dan ia menunjukkan tiada keseriusan daripada PDRM bagi memulihkan penyiasatan serta prosedur operasi standard. Ini sesuatu yang mengecewakan semua pihak,” katanya.

Thanabalan ditahan di Kapar, pada 29 Mac lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas (SOSMA) dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Sebelum itu, SUARAM berkata, terdapat dua kes kematian lain membabitkan tahanan iaitu G Ganeshwaran di Balai Polis Klang Utara, pada 18 Disember tahun lalu dan seorang tidak dinamakan di Balai Polis Selama, pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, SUARAM ingin menegaskan kepada polis supaya menjalankan siasatan mengikut prosedur secara telus dan terbuka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada untuk menyiasat kematian dalam tahanan kerana didapati tiada ketelusan berhubung perkara berkaitan.

Katanya, berdasarkan peruntukan Bahagian VIII Prosiding Khas, Bab XXXII Inkuiri Kematian, Seksyen 334 jelas memperuntukkan satu inkues terhadap punca kematian dijalankan majistret apabila ia berlaku.

“Kematian kerana masalah kesihatan adalah kecuaian polis dan kebajikan tahanan sepanjang berada di dalam tahanan menjadi tanggungjawab mereka,” katanya merujuk keputusan hakim Mahkamah Tinggi, S Nantha Balan di dalam kes P Chandran, pada 9 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, SUARAM mencadangkan penggantungan Pegawai Penyiasat bagi kes Thanabalan sehingga keputusan siasatan punca kematian selesai dan KPN mengadakan mesyuarat bersama NGO bagi membincangkan serta mencari jalan menghentikan fenomena itu.

“KPN juga diminta menyokong Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) diwujudkan sebagaimana disokong Timbalan KPN sebelum ini dan seterusnya menghentikan serta menghapuskan penggunaan SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) juga membebaskan semua tahanan jika tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di Mahkamah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Selesai segera isu pendidikan kanak-kanak tanpa status

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Pelajaran diminta menyelesaikan masalah sekatan pendidikan kanak-kanak tanpa status kewarganegaraan seperti jaminan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy berkata, kenyataan Ahmad Zahid berhubung kebenaran kanak-kanak menghadiri sesi persekolahan berbeza dengan Jabatan Imigresen yang menafikannya.

“SUARAM terkejut tiada tindakan daripada Kementerian Pelajaran bagi menyelesaikan isu ini walaupun jaminan Ahmad Zahid bahawa kebenaran diberikan kepada kanak-kanak menghadiri sekolah ketika permohonan status mereka sedang diproses.

“Namun, kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dengan jabatannya tidak mengeluarkan sebarang pekeliling menggambarkan perkara ini ditolak.

“Malaysia mempunyai kewajipan melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status dan asal mereka kerana ia termaktub di bawah Perkara 28(1)(a) konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak mendapatkan pendidikan disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya tiada alasan bagi menafikan hak seorang kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini dan dibesarkan ibu bapa warga Malaysia semata-mata kerana kegagalan kerajaan menangani isu kewarganegaraan.

“Kementerian Pelajaran perlu mengeluarkan arahan segera bagi mencari penyelesaian berkenaan perkara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

SUARAM desak bebas kanak-kanak ditahan di bawah POCA, SOSMA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 NOV: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendesak kerajaan segera membebaskan 159 kanak-kanak di bawah umur yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Pencegahan Janayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam kenyataan media, Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, SUARAM mengutuk penggunaan undang-undang digunakan dengan menafikan hak golongan itu yang terkandung di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (UNCRC).

“SUARAM terkejut dengan pendedahan di Parlimen berkenaan penahanan tanpa bicara ke atas 142 kanak-kanak di bawah POCA dan 17 di bawah SOSMA yang menggambarkan penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa.

“Sehubungan itu, kerajaan diminta memberi jawapan segera terhadapnya dan mengapa perlu mereka ditahan di bawah peruntukan keselamatan serta tidak tertakluk kepada perbicaraan di mahkamah seperti digariskan dalam Seksyen 83(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan diingatkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat keadilan daripada pihak berkuasa berwibawa dan bebas seperti diperuntukkan UNCRC dan Akta Kanak-kanak 2001.

Dengan itu, katanya, SUARAM meminta semua kanak-kanak bawah umur ditahan di bawah SOSMA dan POCA dibebaskan dengan kadar segera.

“Kita juga memohon penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat keputusan penahanan tanpa perbicaraan ke atas kumpulan ini.

“Ini kerana jenayah terhadap kanak-kanak perlu diselesaikan melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

“SUARAM mengulangi undang-undang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan tidak mempunyai tempat di negara demokratik dan mesti dimansuhkan serta-merta,” katanya.

Categories
NASIONAL

Suaram kecam penangkapan Adun Simpang Pulai

SHAH ALAM 10 FEB: Badan Bukan Kerajaan Suaram mengecam tangkapan yang dibuat polis terhadap Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Beliau ditahan pada jam 3.15 petang tadi ketika bersolidariti bersama penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

10968434_380027058788674_5390736683178113157_nBeliau kini sedang ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.

“Oleh itu Suaram menyeru orang ramai untuk menghubungi IPD Putrajaya di talian 03-88862222 bagi mendesak pembebasan Kar Hing dengan segera,” katanya dalam kenyataan media.

Categories
NASIONAL

Suaram: Hentikan gangguan & tekanan terhadap Zunar

SHAH ALAM 14 NOV: Kerajaan digesa agar menghentikan gangguan dan tekanan terhadap kartunis politik, Zulkifli Anwar Ulhaque atau dikenali sebagai Zunar.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng berkata, pihaknya menuntut agar polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegakkan hak Zunar seperti yang dijamin dalam Perlembagaan.

zunar pakatan kutip dana 01“Suaram menyeru kerajaan hentikan semua siasatan terhadap Zunar, tiga pembantunya dan tekanan terhadap pengendali laman web beliau.

“Berhenti menakutkan pencetak, penerbit, penjual dan pemilik kedai buku yang bekerjasama dengan Zunar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Yap, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara.

“Sekatan hanya perlu sekiranya sesuatu itu mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Untuk itu ia bertentangan dengan logik dan akal untuk menyatakan bahawa kartun politik Zunar boleh dikatakan sebagai memudaratkan ketenteraman awam, moral dan keselamatan negara, sudah tentu tidak,” katanya.

Pada 6 November lalu, pembantu Zunar diambil keterangan kerana menjual buku kartun kontroversi Zunar bertajuk ‘Konspirasi Memenjarakan Anwar’ dan ‘Pirate of the Carry-BN’.

Dalam tangkapan itu, sebanyak 44 buku kartun Zunar telah dirampas oleh polis dan pembantu Zunar telah disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Mesin Cetak, Akta Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948 serta Kanun Keseksaan.

Kelmarin, pengendali laman web yang menjual buku Zunar telah dipanggil ke balai polis Dang Wangi untuk disoal siasat dan Zunar juga telah dimaklumkan untuk disiasat bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan.

EZY

Categories
NASIONAL

SUARAM : Henti guna SOSMA halang himpunan aman

KUALA LUMPUR 31 DIS: Kerajaan diminta tidak menggunakan SOSMA iaitu akta baru yang menggantikan ISA bagi menghalang perhimpunan aman membantah kenaikan kos hidup yang dijadual malam ini.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Syukri Razab berkata tindakan kerajaan menggunakan SOSMA terhadap seorang aktivis, menggambarkan tindakan tidak logik pihak berkuasa kerana akta itu perlu digunakan untuk mencegah keganasan.

300x261x8d4f760541d082f641f7e04792759991.jpg.pagespeed.ic.usOuO5FTu1Syukri menegaskan, pihaknya dimaklumkan Mohd Zul Raidy Ahmad Tarmizi atau nama di laman sosial Facebooknya, Eddy Gordo diburu pihak berkuasa dan dikaitkan dengan himpunan Turun 31 Disember itu.

“Kami mendapat maklumat daripada keluarga dan rakan Eddy, pihak polis menjalankan siasatan ke atas aktivis itu di bawah peruntukan 124D Kanun Keseksaan yang dibaca sekali dengan SOSMA,” katanya yang dipetik daripada Harakahdaily.

Syukri berkata, Eddy yang menjalankan perniagaan percetakan dikatakan mencetak T-shirt berbaur hasutan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Sepasukan 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sudah ke rumah keluarga Eddy , bagaimanapun aktivis itu tidak berada di rumah.

“Apabila ditanya, polis terbabit hanya menyatakan Eddy akan disiasat di bawah SOSMA kerana mencetak baju berbaur hasutan yang menjurus kepada Himpunan Turun,” katanya.

Selepas gagal menemui Eddy di Taiping, pihak polis dikatakan ke rumah sewa aktivis itu di Seri Kembangan membabitkan kira-kira lima anggota polis dari IPD Serdang pada jam 1 pagi, namun Eddy tidak berada di rumah.

Pihak polis menggeledah rumah sewa berkenan dan merampas baju milik Eddy, manakala rakan serumahnya dimaklumkan polis hanya menjalankan tangkapan dan kes terbabit akan diserahkan kepada Bukit Aman.

Teman serumah Eddy turut dibawa ke IPD Serdang untuk diambil keterangan pada jam 3 pagi dan hanya dibenarkan pulang ke rumah, pada jam 7 pagi.

Syukri berkata, SUARAM berpendirian tidak ada asas kukuh untuk polis mengambil langkah ofensif terhadap himpunan itu, sebaliknya dilihat cuba mengalihkan isu sebenar yang ingin diutarakan rakyat.

Sehubungan itu, SUARAM mendesak polis supaya menghentikan sebarang intimidasi terhadap himpunan aman 31 Disember ini, selain menuntut polis berhenti menggunakan SOSMA yang bercanggah dengan hak asasi manusia untuk menyiasat aktivis rakyat.

“SUARAM akan bekerjasama dengan pasukan peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (JUHAM), Lawyers For Liberty (LFL) dan individu peguam hak asasi yang akan bersedia memberi bantuan guaman jika berlaku tangkapan pada himpunan malam ini,” katanya.

Syukri turut memohon orang ramai yang mendapat maklumat berkenaan tangkapan dan sebarang intimidasi daripada polis, sama ada sebelum, ketika atau selepas perhimpunan menghubungi SUARAM di talian 03-77843525 atau menghantar SMS kepada Hotline 019-8013149/013-3845740.

Mereka perlu memasukkan butiran nama yang ditahan, nombor kad pengenalan, lokasi ditahan, balai polis tempat orang ditahan serta nombor telefon orang ditahan jika ada.

Senarai penuh nombor Hotline SUARAM akan dikeluarkan hari ini di laman sesawang www.suaram.net dan juga Facebook rasmi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Suaram : Umno-BN Diktator Paling Lama

BN UMNO SUK

KLANG, 17 APRIL : Rakyat Malaysia diminta menggunakan peluang keemasan dalam pilihanraya umum ke 13 (PRU13) bagi menumbangkan kerajaan Umno-BN yang disifatkan sebagai pentadibiran diktator paling lama di dunia.

Pengerusi Bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram), K Arumugam berkata selama 56 tahun kerajaan Umno-BN seumpama ‘menjajah’ negara dan segala harta dan kekayaan negara dikaut pemimpin dan kroni.

“Saya mengkaji sejak 1950an hingga sekarang di antara semua negara yang mengamalkan pemerintahan ala diktator didapati negara paling teruk ialah Malaysia.

“Kerana hanya satu parti sahaja iaitu Umno-BN yang ‘menjajah’ negara ini sampai 56 tahun.

“Mereka mengambilalih semua jentera kerajaan dan menukar undang-undang, mengawal media massa serta pemikiran rakyat supaya boleh merompak, merampas harta negara dengan kerugian ditanggung rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Jalan Kebun, Padang Jawa di sini malam tadi yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Menurut Arumugam, rakyat hanya mempunyai satu cara bagi mengubah keadaan iaitu menukar kerajaan Umno-BN pada pilihanraya 5 Mei.

Ini kerana, katanya, rakyat adalah pemilik harta negara ini dan bukan pemimpin yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Laporan dari kerajaan menunjukkan bahawa 65 peratus dari masyarakat semua kaum termasuk Melayu, India, Cina dan yang lain termasuk dalam kategori pendapatan keluarga kurang RM3,000.

“Bukankah Malaysia ini negara kaya tetapi rakyatnya masih miskin? Mengapa?

“Inilah persoalan ditimbulkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana kekayaan negara perlu diagihkan sama rata kepada semua kaum,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Hak Rakyat Terus Dicabuli, Suaram,GMI Gesa Kerajaan Mansuh Akta Kesalahan Keselamatan

Yazid Sufaat Penjara 01

SHAH ALAM 8 FEB : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dengan segera.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian seperti ISA.

Katanya, tangkapan seorang bekas tahanan ISA, Yazid Supaat dan pekerjanya, Hilmi Hasim memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.

“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, kerajaan pula membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan menzalimi rakyat.

“Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia.

“Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan kerana dilihat mirip ISA yang dimansuhkan tahun lepas.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) semalam.

“Tiga individu yang ditahan tidak dimaklumkan secara jelas mengenai sebab mereka ditahan. Mereka juga ditahan tanpa waran atau sebarang notis daripada pihak polis, yang kemudiannya digeledah kediamannya untuk mencari bukti bahan bukti yang berkaitan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, cara penahanan sebegitu rupa adalah sama dengan cara yang diamalkan polis semasa melakukan tangkapan di bawah ISA.

“Lebih parah apabila mereka yang ditahan tidak dibenarkan bertemu peguam mahupun ahli keluarga sehingga 48 jam daripada waktu mereka ditahan. Keadaan ini berbeza dengan ISA yang masih memberi hak tahanan untuk mendapat konsultasi guaman sebaik sahaja ditahan,” katanya.

Syed Ibrahim menambah, daripada cara penahanan dibuat jelas menunjukkan tidak banyak bezanya antara akta baru yang menggantikan akta lama, bahkan Akta Kesalahan Keselamatan ini lebih banyak mencabuli hak asasi orang yang ditahan.

“Apakah ini yang dikatakan sebagai transformasi oleh Perdana Menteri? Transformasi daripada undang-undang zalim kepada undang-undang yang juga zalim.

Semalam, Yazid bersama pekerjanya, Hilmi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani.

Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan.

Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada Disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pagi tadi, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menggalakkan pelakuan keganasan di antara 1 Ogos hingga 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di DL11, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya Ampang, dalam daerah Ampang Selangor.

Turut didakwa bersamanya adalah Halimah Hussein yang dituduh bersubahat dengannya di alamat yang sama.

Categories
NASIONAL

Elizabeth Mahu ROS Tarik Balik Surat Keterangan Suaram

SHAH ALAM, 9 NOV : Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya agensi itu terus mendesak beliau untuk memberi keterangan berhubung kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Adun Bukit Lanjan itu berkata, dia telah mengarahkan peguam Edmund Bon untuk menghantar surat penjelasan kepada ROS berhubung perkara itu.

“Saya menerima surat daripada ROS bertarikh 5 November 20102 lalu ditandatangani Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa), Asisten Superintenden Arsad Kamaruddin mengarahkan saya hadir memberi kenyataan lisan terhadap siasatan mengenai Suaram.

“Saya tidak akan menghadiri sesi temubual itu dan mengarahkan ROS menarik balik arahan diberikan itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS sekiranya mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Elizabeth merupakan bekas aktivis Suaram.

Elizabeth yang juga Exco Plancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor mendakwa siasatan ROS itu hanya tercetus setelah Suaram mula mendedahkan kes salahguna kuasa di dalam pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai 7.3 bilion.

Skandal pembelian senjata tersebut telah mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Beliau mendakwa siasatan itu menunjukkan ROS dipergunakan untuk tujuan partisan Umno-BN.

“Saya dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Suaram dalam usaha meneruskan kes tersebut di mahkamah Perancis,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sivarasa : Tiada Percanggahan Pendapat Isu Scorpene, Siasatan Sedang Berjalan

KUALA LUMPUR, 9 OKT : Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan kenyataan pendakwaraya kerajaan Perancis, Yves Charpenel yang menyatakan tidak ada sebarang perbicaraan berhubung skandal kapal selam Scorpene di negara itu.

Tegasnya, sejak dari awal NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kekal dengan pendirian bahawa proses siasatan sedang berlaku dan bukannya prosiding mahkamah seperti yang dinyatakan media.

Katanya, setelah diteliti kenyataan tersebut, nyata tidak timbul soal percanggahan kenyataan dan hanyalah mainan pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat.

“Apa yang Suaram kata dari awal ialah apa yang dilakukan di Perancis adalah siasatan bukan perbicaraan. Kalau ada perbicaraan sudah tentu ada tertuduh.

“Jelas tidak ada. Sejak awal Suaram konsisten dalam hal ini,” katanya kepada TV Selangor.

Jelasnya, sistem siasatan yang diamalkan di Malaysia dan Perancis berbeza kerana pihak kehakiman turut melakukan siasatan dan mengambil keterangan berhubung sesuatu kes di Perancis.

Sivarasa beranggapan, kenyataan pihak pendakwaan dan Suaram disifatkan sebagai perbezaan di antara oren dan epal.

“Di Malaysia polis melakukan siasatan manakala di Perancis, polis dan pihak kehakiman melakukan siasatan.

“Tidak ada percanggahan. Suaram berkata mengenai siasatan (oren). Pendakwa mungkin ditanya berkaitan perbicaraan (epal). Memang tiada perbicaraan sebab belum sampai tahap tersebut.

“Kalau ada kes untuk didakwa, maka ada tertuduh yg akan di panggil,” jelasnya lagi.

Suaram sebelum ini mengemukakan aduan mengenai sebuah syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam Scorpene.

Skandal berkenaan turut melibatkan pemberian komisyen pembelian berjumlah RM500 juta.