Categories
BERITA UTAMA

The Heat: Gantung dulu, semak fakta kemudian

Oleh Fazallah Pit

PEPATAH mata pena lebih tajam dari mata pedang mungkin tidak sesuai
menggambarkan situasi yang menimpa The Heat – akhbar mingguan
berbahasa Inggeris yang digantung penerbitannya baru-baru ini.

Akhbar itu jadi sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas paparan berita
muka depan yang menayangkan fakta pemborosan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansur, menjadi siulan.

Maka, gerombolan KDN pun – tanpa teragak-agak tapi terangguk-angguk
patuh menjalankan perintah. The Heat yang baru setahun jagung itu digantung
penerbitannya.

Aneh, ketika undang-undang berkaitan penerbitan fitnah berserakan
termaktub dalam buku perundangan, penggantungan tetap jadi pilihan
paling mudah.

theheatTentu, penggantungan tidak memerlukan semakan fakta di mahkamah. Kerajaan mungkin belajar dari kemenangan Malaysia Kini dalam isu permohonan permit. Mereka tidak mahu kalah lagi. Kerajaan mahu menang tanpa berlawan hujah.

Lebih-lebih lagi, kesahihan fakta mungkin lebih terserlah jika saman dilakukan. Jadi, pedulikan fakta, yang penting gantung dulu – macam kes jenayah sebelum ini – tembak dulu, kemudian cari bukti.

Bukankah itu resam Datuk Seri Zahid Hamidi?

Nasib Suara Keadilan 

Barangkali ada suara-suara yang membandingkan ‘kebebasan’ yang dinikmati
Suara Keadilan yang lebih garang menganyang Umno BN khususnya Najib dan
Rosmah.

Mungkin benar. Tapi, jangan lupa akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat
(PKR) itu sendiri lebih awal dimangsai. Hingga kini, tiada permit
penerbitan diberi sejak tiga tahun lalu.

Suara Keadilan bergerak underground walaupun ‘terlepas bebas’ dalam pasaran
tempatan hingga mampu mencapai jualan 260,000 naskhah bagi dua penerbitan
untuk seminggu menjelang pilihan raya umum lalu.

Jika punyai permit, cakupan akhbar itu pasti menjangkau ke pelusuk kampung
pedalaman atau ceruk Felda, ditatap warga emas yang selama ini ketagihan
Utusan.

Soalnya, mengapa Suara Keadilan lebih selamat berbanding The Heat?

skSifirnya mudah – kerajaan cuba mengelak kontroversi dan membenih simpati rakyat jika tindakan lebih keras diambil ketika Najib sibuk mencanang –
‘Transformasi’.

Kerajaan tidak mahu pemimpin pembangkang khususnya PKR melenting seterusnya melantang hujah menggegarkan isu kebebasan media yang tidak pernahpun kunjung
tiba di negara ini.

Lebih mudah menyerang The Heat. Intonasi pemimpin pembangkang dijangka
tidak bergegak gempita – walaupun ada – berbanding tindakan sama
dihala kepada Suara Keadilan.

Ironinya, kerajaan bersikap ‘pekak badak’ apabila Utusan Melayu menerbitkan
berita berunsur hasutan mahupun fitnah. Tiada teguran – jauh sekali
tindakan keras – sekalipun akhbar itu bertalu-talu kalah kes saman malu.

Jika dibilang dengan jari tangan dan kaki sekalipun tidak cukup untuk
menghitung kekerapan berita yang mengabai sensitiviti perkauman mahupun
agama.

Tetapi, sedikit pun tiada.

Tidak mengapa. Mereka juga punya hak untuk bersuara. Anehnya, semuanya halal jika Utusan Malaysia. Ibarat babi disembelih macam ayam, boleh dimakan umat Islam.

utusan-malaysia-protest-300x225Malangnya, pengamal media kurang bersatu. Media arus perdana sentiasa
lambat dalam hal kebebasan media. Selain tangan terikat, ada juga yang
berhujah – bukankah Utusan juga dianak tiri parti pembangkang?

Hujah itu rapuh walau sedikit terselit benak benarnya. Besar bezanya dianak
tiri dengan ditindas serba serbi – sama ada dinafi permit, digantung mahupun
diharamkan penerbitannya.

Jadi, jangan terlalu mengharapkan tanggungjawab membela media yang
tertindas, dipikul pengamal media seluruhnya kecuali segelintir yang punya
kesedaran.

Dalam getir kemelut kebebasan media di tanah air ini, suara pembaca harus
lebih nyaring setajam pedang – nescaya jauh lebih tajam dari telunjuk
menteri, lebih tajam dari mata pena.

 

* Fazallah Pit ialah bekas Editor Suara Keadilan (Nov 2011-Mei 2013). Kini, Ketua Pengarang TV Selangor/ Selangor Kini. Artikel ini pertama kali diterbitkan Malaysia Kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.