Categories
BERITA UTAMA

The Heat jadi lawak jenaka ‘transformasi’ politik Najib – Ahmad Lutfi Othman

OLEH Ahmad Lutfi Othman

APABILA mingguan berita berbahasa Inggeris, The Heat, mula dipasarkan hampir
empat bulan lalu, saya terlepas daripada mengikuti keluaran sulungnya.

Sebaik mendapatkan edisi kedua di sebuah pasar raya besar di Ampang — rupa-rupanya
tidak banyak gerai akhbar menjualnya – The Heat berjaya mencuri perhatian dan minat saya. Ada usaha berani untuk melaporkan isu-isu kritikal dan mendesak dalam masyarakat, secara seimbang, adil dan menarik.

Sejak itu, saya melanggan akhbar berharga RM3.60, yang antara lain mempunyai
penampilan grafik memikat, dengan sorotan analisis menyeluruh dan agak luar
biasa apabila semua bahannya daripada kumpulan wartawan sendiri. Maknanya,
tiada laporan yang dipetik atau dilanggan daripada agensi berita.

“Tidak mudah menyediakan analisis isu-isu besar saban minggu, dan saya
bimbang The Heat hilang stamina untuk mempertahankan kualitinya,” ujar
seorang rakan, editor kanan di sebuah stesen penyiaran.

Kami berkongsi cerita tentang kesukaran mencari wartawan atau penulis yang
baik, khususnya untuk menyediakan ulasan yang matang dan kredibel.

“Ya, kita amat ketandusan wartawan yang brilliant, khususnya dalam bahasa Melayu, bagi memimpin idea dan pemikiran, juga mengetengah, menyelongkar dan membongkar isu-isu yang berkecamuk dalam negara,” tambah saya.

Rakan saya itu menghadiahkan buku yang cukup banyak membantu, “Sembilan
Elemen Jurnalisme: Apa yang Seharusnya Diketahui Wartawan dan Diharapkan
Publik”, terjemahan Indonesia karya Bill Kovach dan Tom Rosenstiel.

Antara elemen penting yang ditekankan dalam buku itu ialah kewajiban pertama
jurnalisme pada kebenaran; loyaltis pertama kepada masyarakat; jurnalisme
harus menjadi pemantau kekuasaan; harus berupaya keras untuk membuat hal yang
penting menarik dan relevan; harus menyiarkan berita komprehensif dan
proporsional.

heatjpgApa pun, malang sekali, edisi kontroversi The Heat, bilangan ke-12, isu 23-29 November, dengan paparan muka depan “All eyes on big spending Najib”, tidak sempat saya tatap, disebabkan keuzuran berulang alik ke hospital.

Dan naskhah yang sedia ditempah itu entah hilang ke mana …. Pastinya ramai
meminati tajuk muka depannya, berkaitan perbelanjaan besar Perdana Menteri dan karenah isterinya, susulan perdebatan hangat di Parlimen, perbahasan  dalam Perhimpunan Agung Umno dan komentar A Kadir Jasin.

Singgungan Kadir terhadap puja-puji terbuka Najib Razak kepada Rosmah Mansor,
yang begitu berjasa besar kepada negara(!), sekali gus membawa mesej tersirat
kegagalan beberapa menteri kanan, termasuk Muhyiddin Yassin, mengejutkan
Pejabat Perdana Menteri.

“Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan
agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah menjadi Perdana
Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata,” cadang Kadir. Isu Rosmah
menggunakan jet eksekutif kerajaan turut dibidasnya.

Berita dalam laman web Astro Awani yang bersumberkan tulisan Kadir itu telah
diarah ditarik balik. Khabarnya titah itu dari Pejabat Perdana Menteri. Satu
bentuk penindasan dan pencabulan melampau ke atas kebebasan akhbar. Ya, bagai
lawak jenaka di zaman transformasi politik yang heboh dicanangkan Najib.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Zahid Hamidi, bertindak pantas
mengeluarkan surat tunjuk dan Ketua Pengarang The Heat, David Lee Boon Siew
dipanggil ke Putrajaya.

Berdasarkan pengalaman beberapa kali diundang ke KDN, seawal 1997 ketika
mengendalikan majalah Tamadun, dan yang terakhir, ekoran promosi Harakah
terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat 2012, saya dapat menjangkakan bagaimana
pertemuan itu berlangsung.

Sememangnya KDN tidak akan memberikan alasan spesifik yang boleh menimbulkan
polemik berpanjangan, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan laporan yang
boleh “menikamnya” balik. KDN hanya akan menyenaraikan kesalahan teknikal…

Itulah juga yang saya alami apabila KDN mengharamkan penerbitan majalah Detik
dan Wasilah pada tahun 2000, selain memberi amaran keras kepada akhbar
mingguan Cabaran. Alasannya, kami tidak mengikut mock-up penerbitan semasa
mengemukakan permohonan permit dahulu.

Walhal, yang “digeruni” ialah paparan wajah jelik dan hodoh elit penguasa
Umno-BN, yang tamak kuasa, takbur, membazir, korup, merompak khazanah negara,
menghanguskan wang pembayar cukai.

heatbantahInilah bahananya apabila Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) masih belum  dimansuhkan sepenuhnya walaupun pada tahun lalu ada beberapa perubahan dibuat, termasuk menyentuh kuasa mutlak menteri dan semakin kehakiman.

Dalam kes The Heat, sekiranya ia dibawa ke mahkamah sekalipun, tentulah memakan masa yang panjang. Ini memberi impak besar terutama dalam aspek perniagaan.

Lebih penting, pemerintah telah menunjukkan siapa sebenarnya yang paling
berkuasa dan risiko buruk jika cuba bertindak bebas, apatah lagi berhasrat
untuk “mengusik” takhta pemerintah. Dan akta tersebut dilaksanakan secara
terpilih.

Perlu diingat, penerbitan yang pernah digantung, misalnya akhbar The Star dan
Watan pada 1987, selepas dipulihkan seakan-akan hilang jati diri dan bagai
beroperasi dalam gelap.

Tepat sekali rumusan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa penggantungan
The Heat menunjukkan tahap tidak bertolak ansur terhadap perbezaan dan
kritikan.

“Ia bertentangan sama sekali dengan janji Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan ruang demokratik lebih besar,” katanya.

Bertentangan sama sekali dengan langkah dan semangat transformasi politik
Najib ketika dengan bangganya mengumumkan pemansuhan ISA dan pindaan AMCP.

Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengutuk keputusan
KDN.  Presidennya, Chin Sung Chew berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku
kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.

“Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku
kerajaan yang memerintah. Kita mesti memberi orang ramai akses kepada
informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam,”
tegas beliau.

Secara peribadi, saya lebih teruja untuk melihat reaksi rakan-rakan media,
terutama yang bertugas dengan “media arus perdana” (termasuk dalam kumpulan
The Heat) yang selama ini memandang sepi isu kebebasan akhbar. Begitu juga
dengan respons masyarakat terhadap pencabulan keterlaluan yang menyempitkan
lagi ruang awam kebebasan bersuara.

* Ahmad Lutfi Othman ialah Ketua Pengarang Harakah

Leave a Reply

Your email address will not be published.