Categories
SELANGOR

Mahkamah gugur rayuan, Ibu Aminulrashid: ‘Anak saya mati macam anak kucing…”

OLEH: SIRAJ MOHD ZAINI

PETALING JAYA 23 DIS: Kejadian malang menimpa Aminulrashid Amzah masih segar dalam ingatan ibunya, Norsiah Mohamad yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan menggugurkan kes melibatkan arwah anaknya.

Katanya, keputusan mahkamah didakwa tidak adil dan berat sebelah kerana keadilan tidak berpihak kepada keluarganya yang menuntut pembelaan di atas kematian Aminulrashid apabila ditembak polis dalam satu kejadian awal pagi 24 April 2010 lalu.

DSC_0506a“Nampak sangat berat sebelah, tak ada keadilan langsung, macam-macam tohmahan untuk anak saya, dalam internet macam-macam tohmahan untuk saya, saya tak kacau orang, sedangkan anak saya ditembak macam banduan besar, macam penjenayah besar, sedangkan umur anak saya 14 tahun.

“Bukan satu peluru, tapi 21 peluru dan mahkamah boleh katakan ia dilakukan tanpa niat,” katanya dalam sidang media di pejabat Lawyers of Liberty (LFL) di 8 Avenue, Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau turut ditemani ahli keluarganya serta Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran serta peguam PKR, Latheefa Koya.

Dalam kejadian awal pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam itu, Aminulrashid meninggal dunia akibat luka tembakan dikepalanya selepas ditembak berpuluh das tembakan oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal.

Susulan itu, keluarga Aminulrashid memfailkan saman sebanyak RM50 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 April lalu kepada Kerajaan Pusat dan polis bagi menuntut keadilan terhadap insiden itu.

aminulNorsiah berkata, sehingga kini pihak yang bertanggungjawab termasuk Kerajaan Pusat serta polis tidak tampil untuk memohon maaf terhadap insiden yang menimpa keluarganya itu.

“Tak ada pun minta maaf dengan saya, kalau malu nak jumpa saya pun, telefon, saya hormat polis yang ada etika, ada wawasan, tapi saya tak hormat polis macam itu,” kata Norsiah.

Dalam pada itu, N.Surendran, berkata biarpun Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan, Peguam Negara (AG) boleh menggunakan kuasa untuk memfailkan usul mengkaji semula keputusan diputuskan mahkamah kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Katanya, kes berkenaan ditangani secara tidak serius dan lebih kepada menutup kelemahan dan kesilapan yang dilakukan polis ketika insiden itu berlaku.

“Sudah lebih tiga tahun, namun tiada siapa yang dijatuhkan hukuman di atas apa yang berlaku,” katanya yang juga Naib Presiden PKR itu.

Dakwanya, polis tidak bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerana boleh menembak kenderaan suspek sewenang-wenangnya tanpa usul periksa.

“30 peluru digunakan untuk memberhentikan kenderaan?, Awak tak boleh tembak untuk memberhentikan kenderaan, awak tak boleh tembak jika tiada ancaman, ia terkandung dalam (SOP) polis,” kata Surendran.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.