Categories
NASIONAL

Tiada peruntukan kekang harga naik, BN mimpi peniaga sukarela turun harga

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 31 DIS: Harga barangan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan akan melambung tinggi bukan hanya disebabkan peningkatan kos pengeluaran dan cukai yang baru diperkenalkan tetapi skoran sikap kerajaan yang tidak prihatin.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata perkara itu dibuktikan dalam Rang Undang-undang (RUU) GST yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2009 itu tidak memperuntukkan bahagian atau fasal bagi mengekang kenaikan harga.

Rafizi SAM“Kenyataan (Timbalan Menteri Kewangan) Datuk Ahmad Maslan bahawa harga akan turun itu bergantung kepada kesediaan peniaga menurunkan harga secara sukarela.

“Sikap Barisan Nasional (BN) ini sama seperti berharap supaya pengeluar kereta menurunkan harga secara sukarela tanpa menghapuskan cukai eksais di mana sehingga sekarang ia masih tinggi dan tidak berubah, bahkan ada yang meningkat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, semalam.

Katanya, keadaan kos perniagaan yang meningkat membuatkan peniaga tidak mempunyai pilihan lain kecuali menaikkan harga barangan bagi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Sebelum ini, BN dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 lalu meniru manifesto PR dengan janji menurunkan harga kereta secara berperingkat tetapi pada masa sama tidak menurunkan cukai eksais kepada pengeluar kereta.

Tidak berapa lama selepas PRU-13, Utusan Malaysia mengumumkan pengeluar kereta terkemuka, Volkswagen, Peugeot dan Honda masing-masing menurunkan harga kenderaan selaras janji BN dalam manifestonya.

Bagaimanapun, pengumuman itu akhirnya memalukan BN apabila syarikat pengeluar terbabit bukan sahaja menafikan menurunkan harga beberapa model kenderaan, bahkan mendakwa Utusan tidak merujuk kepada mereka sebelum laporan itu ditulis.

“Sila ambil perhatian, harga di imej itu tidak tepat. Harga Volkswagen Golf memang RM157,888 sejak dilancarkan. Bukan RM169,888,” kata wakil daripada Volkswagen Malaysia di akaun Facebook mereka merujuk kepada salah satu model Golf.

Peugeot Malaysia juga memberi respon di laman Facebook mereka menafikan dakwaan Utusan harga bagi model 308 diturunkan sebanyak 11 peratus daripada RM115,663 ke RM102,888.

Utusan juga melaporkan Honda Jazz Hybrid kini berharga RM89,900 selepas diturunkan sebanyak 2.5 peratus dari RM92,187, sedangkan pembuat kereta dari Jepun itu mengesahkan model versi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di kilang Alor Gajah sememangnya dijual pada RM89,900 sejak dilancarkan dan versi kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dilancarkan sebelum ini, berharga RM94,800.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.