Categories
KENYATAAN MEDIA

Titah ucapan DYMM Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-68

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dan Selamat Sejahtera,

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan inayahnya juga yang telah memberi Beta kesihatan dan kesejahteraan yang mana Beta dapat meraikan ulang tahun keputeraan Beta yang Ke-68 ini bersama-sama dengan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi.

Beta juga sangat-sangat bersyukur kerana Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan Negeri Selangor ini sebagai sebuah Negeri yang maju dan mengurniakan juga rakyat, yang berbilang kaum, hidup dalam harmoni dan berkerjasama antara satu sama lain untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran.

Beta berkenan kemajuan di Negeri Selangor ini berterusan hingga ke generasi yang akan datang.

05Oleh itu tiap-tiap rakyat Negeri Selangor ini, mestilah memainkan peranannya untuk mengekalkan kemajuan ini dengan tidak menimbulkan apa-apa syakwasangka di antara satu sama lain, menghormati kebebasan agama masing-masing dan jangan cuba menyentuh perkara-perkara yang sensetif sehingga boleh menyebabkan perasaan marah atau berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Mereka-mereka yang bijak pandai dan cendekiawan seharusnya memahami dan mengerti akan perkara sensetiviti yang mencurigakan dan seharusnya mengelakkan daripada membuat penyataan-penyataan yang boleh menguris hati rakyat Negeri Selangor ini hingga mengeruhkan keadaan keharmonian.

Dari keamanan yang kita perolehi, maka Negeri Selangor telah muncul sebagai Negeri yang termaju di Malaysia. Beta menyeru supaya rakyat Negeri Selangor mengambil kesempatan ini untuk terus mencapai dan meningkatkan lagi serta meneroka perkara-perkara yang lebih tinggi supaya Negeri Selangor ini menjadi maju dan terunggul di Malaysia.

10Janganlah dibiarkan kemajuan Negeri Selangor ini menjadi stagnant dan tidak berubah. Negeri Selangor tidak boleh maju jika rakyatnya yang berbilang kaum tidak bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Beta menyeru kepada rakyat Negeri Selangor, untuk mengambil peluang keemasan ini supaya Negeri Selangor yang dikasihi ini akan terus maju dan berdaya saing dengan Negara-Negara maju di dalam dunia globalisasi di abad ke 21 ini.

Kehadiran kemajuan pula, tidak kurang timbulnya permasalahan sosial dan jenayah yang sama-sama turut menimbulkan masalah kepada rakyat Negeri Selangor ini.

Rakyat Negeri Selangor semakin bertambah oleh sebab penghijarahan mereka-mereka daripada luar Negeri Selangor untuk mencari rezeki, Oleh itu kadar jenayah turut bertambah.

Di sini Beta menyeru kepada rakyat Negeri Selangor, agar sama-sama membantu dan berkerjasama dengan pihak polis untuk membenteras jenayah di Negeri Selangor ini. Supaya rakyat di Negeri Selangor yang berbilang kaum ini dapat hidup dengan aman, makmur dan tenteram serta menikmati kesejahteraannya.

Beta mengucapkan syabas kepada pasukan polis yang telah berkerja keras dalam membenteras jenayah di Negeri Selangor ini dan mereka telah bertungkus lumus untuk memastikan keamanan Negeri Selangor yang dikasihi ini.

06Sebelum Beta mengakhiri ucapan Beta ini, Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, tentera, jabatan kesihatan, bomba dan juga lain-lain agensi yang telah berkerjasama dan berkerja keras untuk menjayakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan Negeri Selangor ini.

Marilah kita menjadikan hari keputeraan Beta yang ke-68 ini satu resolusi untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran bagi Negeri Selangor yang dikasihi ini.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Leave a Reply

Your email address will not be published.