Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan MB di istiadat pengurniaan darjah & bintang kebesaran Selangor

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Dari jauh menjunjung duli,
Sudah dekat langsung menyembah,
Terangkat tangan sepuluh jari,
Memuliakan Sultan yang dikasihi Allah.

Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj;

Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya,

Yang bersemayam di Istana Mestika Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, negeri yang maju, aman dan bahagia

Serta mendapat keberkatan dan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Yang Maha Perkasa.

Ampun Tuanku Sultan berhikmah
Patik datang membawa sembah
Sembah tahniah bersalut taat
Sekalian rakyat menjunjung daulat
Sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Tuanku
Dirgahayu Duli Tuanku dalam peliharaan Allah Yang Maha Satu.

Ampun Tuanku
Sembah patik mohon diampun;

Serta ucapan kemuliaan kepada sekalian kerabat, dif-dif dan tetamu yang dihormati sekalian;

Hari ini genap 12 tahun Duli Tuanku memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan
beserta segala daerah takluknya yang direstu Allah Yang Maha Belas Kasihan;

Lebih 5.6 juta rakyat yang pelbagai bangsa, agama, fahaman dan tahap pendidikan di negeri Selangor yang berciri metropolitan, warga jati, warga negeri jiran mahupun bukan menyampaikan sembah taat setia kepada Duli Tuanku Yang Maha Mulia dengan puji-pujian ikhlas bermakna:

bahawa Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah
adalah payung rakyat Selangor yang hidup muhibah;
baginda Ketua Agama Islam cekatan
yang tegas terhadap hukum dan peringatan,
namun toleran pada agama selain Islam
hingga disanjung rakyat pelbagai anutan dan lapisan;

Sebilangan rakyat berseloka indah:

Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah sedia mencemar duli mendengar masalah,
menitikberatkan pembangunan masyarakat dan adat,
bersikap selesa bertemu rakyat tua dan muda,
prihatin terhadap pembangunan sukan,
ehwal pentadbiran negeri sentiasa dikesan;

Sebilangan rakyat merakam sembah:

Daripada raut wajah, tubuh dan penampilan,
Sesungguhnya, baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah,
adalah daripada salasilah putera Bugis Lima Bersaudara, pelaut dan bangsawan terbilang,
di bumi Selangor membina tahta sebagai pemerintah yang gah berkuasa;

Sebilangan rakyat merakam madah:

Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah,
Juga mewarisi peribadi moyanganda Almarhum Sultan Alaudin Sulaiman Shah,
yang terkenal alim, menyayangi ulama, bijak berceramah dan berkhutbah,
serta penulis buku-buku agama yang dijadikan rujukan sekolah.

Dalam ‘Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan’, karangan moyanganda Almarhum Sultan Alaudin Sulaiman Shah, pada tahun 1930, antara lain puisi berbunyi:

“Tuntutlah ilmu akhirat dunia, hidup matimu dapat bahagia.
Ke manamu pergi jadi mulia, tidaklah hidup sia-sia.
Pergi sekolah janganlah segan, ilmu agama jangan dilupakan
Sama dituntut sama amalkan, dua-duanya sama muliakan.
Agama Islam amat sebenar, peraturannya cukup benar.
Tetaplah padanya jangan nanar, beroleh kebajikan yang bersinar..”

Demikian, antara luahan betapa kasih dan setianya sekalian rakyat kepada Duli Tuanku, pemerintah yang bitara di bumi yang aman dan bahagia serta mendapat keampunan Ilahi.

Ampun Tuanku

Sekarang, patik memohon limpah kurnia menyembah maklum akan ehwal pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku.

Sudah genaplah enam bulan patik beserta 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah setia untuk melaksanakan amanah rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13,

02Seyogia, patik-patik dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang direstu Duli Tuanku, berikrar untuk meneruskan kecemerlangan pada penggal kedua pentadbiran ini dengan lebih tersusun, kemas dan bermutu, memantapkan program, skim dan insentif dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang terbukti berkesan, di samping menunaikan janji dalam manifesto PRU Ke-13 secara berperingkat, demi kemaslahatan rakyat Duli Tuanku tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, budaya, fahaman, ragam atau minat; agar majoriti rakyat Duli Tuanku dapat menikmati kehendak dan hajat, dengan izin Allah yang Maha Pelindung dan Pemberi Berkat;

Dalam Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri meneruskan perbelanjaan berimbang serta pengurusan kewangan berkelas, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion bagi kemaslahatan rakyat dan negeri Selangor Darul Ehsan yang patik-patik mesti galas dengan ikhlas tanpa culas;

Simpanan yang banyak Selangorku mewah
Hasil ditadbir bersih berhemah
Demi rakyat kebajikan diserah,
Menghapus khianat menghindar rasuah
Daulat Tuanku kekuatan menyerlah
Kepada Tuhan hamba berserah.

Ampun Tuanku
Sembah patik mohon diampun;

Ampun Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang Dirahmati Allah;

Dengan penuh takrim dan takzimnya patik memohon limpah perkenan Duli Tuanku menutup kalimat,

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,
Laut mana yang tidak bergelora,
Andai tingkah dan kata patik tidak sopan;
Andai laku dan kata patik, tersasar daripada adat dan resam Melayu,
Patik hanya pacal tua yang kekurangan serba,
Namun, tidak terniat pun patik demikian berperilaku;
Dan tiada kata secantik bahasa,
Patik menyusun jari nan sepuluh,
Mohon keampunan Duli Tuanku yang budiman dan berhati mulia.

Patik dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan warga kerja, serta rakyat jelata,

Mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa diberi Allah kesihatan yang sempurna, dipelihara dan diberi keselamatan serta kesejahteraan yang berpanjangan.

Tika berziarah ke Makam Diraja Jugra
Terkenanglah raja-raja nan berjasa
Dirgahayu Tuanku Sultan bitara
Di atas takhta kekal berkuasa

Patik-patik juga berdoa agar Allah memberi taufik dan hidayah serta segala kesejahteraan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,

Juga kepada puteri-puteri Baginda As-Sultan, adinda-adinda, waris-waris serta kerabat diraja sekalian.

Anak Raja singgah di Pekan
Khusyuk menonton puteri menari
Sembah dan salam patik hulurkan
Memohon patik mengundur diri.

Ampun Tuanku.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Daulat Tuanku!

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
11 DISEMBER 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published.