Categories
NASIONAL

Tubuh pasukan khas cari penyelesaian isu banjir di Kuantan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 10 DIS : Sebuah pasukan khas untuk mengkaji penyelesaian berhubung isu banjir di Kuantan, Pahang akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi memastikan kejadian sama tidak menimpa rakyat di kawasan itu.

fuziah1Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata program tebatan banjir sedia ada tidak mampu mengatasi bencana itu berikutan ia tidak selaras dengan pembangunan pesat di bandar berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan kajian itu adalah sasaran utamanya sebagai wakil rakyat untuk penggal kali ini dan diyakini dapat dimanfaatkan untuk jangka masa panjang.

“Saya ketika ini sedang tubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji bagaimana kita boleh elakkan perkara itu sama daripada terus berlaku.

“Ini demikian kerana program tebatan banjir yang dilaksanakan tidak mampu menampung pembangunan di Kuantan dan kita perlu membuat kajian terperinci berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

fuziah2Sementara itu ketika mengulas mengenai keadaan banjir di Kuantan yang telah memasuki hari ketujuh, Fuziah berkata kebanyakan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai petang semalam berikutan air semakin surut dan bekalan elektrik sudah disambung semula.

Katanya kerja-kerja pembersihan di kawasan rumah sedang giat dilakukan kini dan beliau berharap cuaca baik akan berterusan supaya air di Sungai Lembing tidak naik.

“Sekarang kita sudah masuk ke fasa pemulihan dan fasa ketiga ialah kembali kepada asal. Kalau cuaca baik dan hujan tidak berterusan, fenomena air pasang mungkin tidak akan berlaku,” katanya lagi.

Fuziah berkata pasukannya sentiasa bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sejak hari pertama kejadian dengan mengedarkan makanan kering secara berkala.

Katanya bantuan juga banyak diterima daripada pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat seluruh negara.

“Walaupun Parlimen menolak usul saya pada Rabu lalu tetapi saya berjaya menarik perhatian kerajaan pusat dan menyebabkan orang ramai sedar bahawa betapa teruknya banjir di Kuantan.

“Walaupun Ahli Parlimen Barisan Nasional ego tidak mahu terima usul saya sebab ia dari pembangkang, tetapi cukup untuk membuka mata orang luar,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.