Categories
NASIONAL

Amirudin Shari tawar diri jawatan Ketua AMK Pusat

SHAH ALAM 5 JAN: Tawaran pemilihan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula apabila ADUN Batu Caves, Amirudin Shari menyatakan pendiriannya untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Angkatan Muda (AMK) dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Amirudin berkata beliau menerima maklum balas positif daripada ahli di peringkat akar umbi dari seluruh negara berhubung perkara itu.

logo-pkr“Sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), saya ada pergi membuat lawatan ke seluruh negara dari Sabah, Sarawak, Perling, hinggalah ke Johor dan menerima maklum balas positif.

“Hampir semua tempat menyatakan sokongan dan saya melihat adanya ruang untuk saya bertanding jawatan Ketua AMK,” katanya dipetik dari The Malaysian Insider.

Amirudin yang pernah menyandang Naib Ketua AMK sebelum ini turut menyuarakan keyakinan kepimpinan tertinggi PKR juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya beliau meneruskan hasrat berkenaan.

“Parti ini terbuka dan mengamalkan demokrasi. Sebahagian anggota kepimpinan tertinggi sudah pasti tiada halangan sekiranya saya bertanding,” katanya lagi.

amirudin shariPemilihan bagi anggota kepimpinan PKR seharusnya dilaksanakan pada Oktober namun disebabkan PRU13, ia telah ditangguhkan.

Turut difahamkan, berdasarkan Perlembagaan PKR, parti berkenaan juga perlu melaksanakan pemilihan tersebut sebelum Mei tahun ini.

“Saya lebih mementingkan sokongan akar umbi dan juga anggota AMK yang akan mengundi semasa pemilihan,” kata Amirudin.

Dalam kenyataannya sebelum itu, Amirudin berkata, agenda membangun organisasi kepemudaan harus menjadi keutamaan untuk mendorong massa yang lebih progresif bertunjangkan asas pemikiran yang intelek serta prinsip perjuangan yang tercerna daripada nilai-nilai murni masyarakat.

“Oleh demikian, setelah mendapat kata sepakat dan dorongan teman-teman khususnya anggota AMK dari seluruh negara, saya dengan ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK dalam pemilihan parti pada tahun ini.”

“Semoga hasrat ini terus mendorong cita-cita rakyat untuk melaksanakan agenda reformasi,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.