SHAH ALAM 21 JAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Jepun di Kuala Lumpur berhubung sekatan yang dikenakan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu.
Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata mereka menuntut kedutaan Jepun menjelaskan perkara itu dan menyatakan permohonan maaf kepada Anwar kerana bertindak sedemikian.
“Berdasarkan rekod Anwar tidak ada sebarang isu sebelum ini dengan negara itu sehingga menghalang beliau memasuki Jepun minggu lalu oleh Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur.
“Kita percaya tindakan kerajaan Jepun itu berlebihan, tiada jaminan dan menyalahi Artikel 13 Hak Asasi Manusia,” katanya dipetik dari Malaysiakini.
Tambahnya lagi, halangan tersebut disifatkan tidak wajar kerana Anwar difahamkan tiada sebarang isu melibatkannya dengan negara itu.
Shamsul juga memaklumkan memorandum tersebut diterima oleh wakil kedutaan, Masa Hiro dan dua orang lagi wakil kedutaan itu.
Penghantaran memorandum ke kedutaan Jepun itu melibatkan 30 orang peserta bantahan.