Categories
NASIONAL

Dakwaan hanya syarikat besar laksana GST, propaganda BN kelirukan rakyat

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 24 JAN: Dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa hanya syarikat yang memperoleh jualan barangan atau perkhidmatan lebih RM500,000 setahun sahaja wajib mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap pengguna hanya propaganda bagi mengelirukan masyarakat.

Peniaga terpaksa mendaftar perniagaan mereka dalam skim GST secara sukarela bagi mengelakkan margin keuntungan semakin menipis atau lebih buruk lagi terus mengalami kerugian walaupun memperoleh jualan kurang RM500,000 setahun tidak wajib mengenakan GST.

Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata dengan tindakan mendaftar perniagaan dalam skim GST itu akan membolehkan mereka menuntut kembali bayaran kredit GST daripada kerajaan yang sebelumnya dikenakan pembekal.

DSC_8512“Walaupun peniaga yang mempunyai jualan atau perkhidmatan kurang RM500,000 setahun ini tidak diwajibkan mengenakan GST, mereka dibolehkan mendaftar secara sukarela kerana kalau tidak mendaftar menyebabkan margin keuntungan mereka menipis atau mengalami kerugian.

“Hanya dua cara untuk mereka mengatasi masalah ini, sama ada menaikkan harga barang atau mendaftar secara sukarela untuk mengenakan GST dan akhirnya akan memangsakan pengguna,” katanya dalam forum Faham GST, Tolak GST yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Rafizi berkata, semua golongan akan dibebani GST berbanding ketika ini cukai pendapatan hanya dikenakan kepada mereka berpendapatan tinggi, manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang hanya membabitkan pernigaan serta perkhidmatan tertentu sahaja.

“Walaupun apabila GST dilaksanakan nanti cukai pendapatan akan dikurangkan, tetapi hanya membabitkan sekitar 1.5 juta daripada 13 juta pekerja sahaja iaitu 11 peratus yang dapat pengurangan cukai pendapatan, manakala 89 peratus yang tidak dikenakan cukai akan menanggung GST.

“Tidak kira anda bekerja atau tidak, tua atau muda, miskin atau kaya, orang kelainan upaya, semuanya dikenakan GST. Tidak ada sesiapa terkecuali tetapi mereka berpendapatan tinggi mendapat sedikit keuntungan kerana cukai pendapatan akan dikurangkan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.