Categories
NASIONAL

Indeks pengguna pendapatan bawah RM3,000 meningkat, rakyat makin tertekan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengguna berpendapatan bawah RM3,000 adalah golongan paling tertekan berikutan indeks harga pengguna bagi sub-kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol bagi golongan berpendapatan bawah RM3,000 terus meningkat.

Data indeks yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara mendapati indeks makanan dan minuman bukan alkohol, pada Disember lalu bagi kumpulan berpendapatan RM3,000 ke bawah meningkat kepada 113.8 mata berbanding 108.8 mata atau 4.5 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

barang naik copy1Barangan pengguna dalam kumpulan itu yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah gula, jem, madu, coklat dan manisan 9.4 peratus kepada 135.5 mata dan diikuti ikan dan makanan laut 8.6 peratus kepada 122.6 mata.

Sementara itu, sayur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi tempoh satu bulan dengan peningkatan 5.7 peratus antara November hingga Disember lalu menjadikannya 115.7 mata.

Indeks harga bagi susu dan telur pada Disember lalu pula menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7 peratus kepada 114.3 mata berbanding 109.2 mata pada Disember 2012.

Peningkatan terbabit sekali gus menjadikan pendapatan boleh guna bagi pengguna golongan itu semakin mengecil berbanding sebelumnya.

Indeks sub-kumpulan makanan dan minuman alkohol dan perubahan peratus di Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan daripada 108.7 mata pada Disember 2012 kepada 113.6 mata atau 4.5 peratus, pada Disember lalu.

Perbandingan keseluruhan bagi bulan sama menyaksikan indeks harga makanan masing-masing iaitu ikan dan makanan laut meningkat 8.5 peratus; daging, 5.8 peratus; susu dan telur, 4.8 peratus; sayur-sayuran, 5.5 peratus dan kumpulan gula, jem, madu, coklat serta manisan 8.1 peratus.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.