Categories
NASIONAL

Indeks pengguna pendapatan bawah RM3,000 meningkat, rakyat makin tertekan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengguna berpendapatan bawah RM3,000 adalah golongan paling tertekan berikutan indeks harga pengguna bagi sub-kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol bagi golongan berpendapatan bawah RM3,000 terus meningkat.

Data indeks yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara mendapati indeks makanan dan minuman bukan alkohol, pada Disember lalu bagi kumpulan berpendapatan RM3,000 ke bawah meningkat kepada 113.8 mata berbanding 108.8 mata atau 4.5 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

barang naik copy1Barangan pengguna dalam kumpulan itu yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah gula, jem, madu, coklat dan manisan 9.4 peratus kepada 135.5 mata dan diikuti ikan dan makanan laut 8.6 peratus kepada 122.6 mata.

Sementara itu, sayur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi tempoh satu bulan dengan peningkatan 5.7 peratus antara November hingga Disember lalu menjadikannya 115.7 mata.

Indeks harga bagi susu dan telur pada Disember lalu pula menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7 peratus kepada 114.3 mata berbanding 109.2 mata pada Disember 2012.

Peningkatan terbabit sekali gus menjadikan pendapatan boleh guna bagi pengguna golongan itu semakin mengecil berbanding sebelumnya.

Indeks sub-kumpulan makanan dan minuman alkohol dan perubahan peratus di Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan daripada 108.7 mata pada Disember 2012 kepada 113.6 mata atau 4.5 peratus, pada Disember lalu.

Perbandingan keseluruhan bagi bulan sama menyaksikan indeks harga makanan masing-masing iaitu ikan dan makanan laut meningkat 8.5 peratus; daging, 5.8 peratus; susu dan telur, 4.8 peratus; sayur-sayuran, 5.5 peratus dan kumpulan gula, jem, madu, coklat serta manisan 8.1 peratus.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Kenaikan harga ‘bertingkek-tingkek’ gamit Monday Blues

Oleh Edy Noor Reduan

Isnin. Sebilangan besar masyarakat dunia merasakan emosi pada pagi hari Isnin adalah sedikit kendur. Kekenduran pagi Isnin ini turut diberi nama jolokan ‘Monday Blues’.

Namun bagi saya, Isnin kali ini lain benar rasanya.

Jauh lebih bersemangat dari Isnin yang lain. Mungkin faktor kemenangan besar Liverpool terhadap pasukan Spurs mempengaruhi hormon adrenalin untuk lebih bersemangat – semangat 5-0.

beban nailPagi ini juga saya terlihat muka depan Sinar Harian yang agak mencuri perhatian. Muka depan yang terpampang perkataan “Tolonglah Jangan Naik” di semua edisi Sinar Harian seluruh negara, dengan berlatar belakang lebuh raya yang penuh sesak dan juga gambar rajah berfakta mengenai ‘rasionalisasi subsidi’.

Tajuk muka depan akhbar itu mencerminkan sesuatu yang lahir dari marhaen. Ia satu rayuan rakyat seolah-olah merayu supaya janganlah terus menambah beban. Apakah yang dirayu itu?

Jika rayuan itu memohon supaya kerajaan lebih berhati perut, saya percaya rayuan tersebut umpama mengejar fatamorgana.

Saya terus membelek Sinar Harian secara online untuk mencari sesuatu yang mungkin istimewa dalam edisi bertarikh hari ini. Akhirnya saya menemui satu tulisan menarik bertajuk “2014 tahun mencabar” oleh wartawan Sinar Harian.

Saya bingkas menghubungi teman di Sinar Harian untuk mengetahui siapakah penulis tersebut, namun gagal kerana teman saya belum masuk kerja untuk hari ini.

Tulisan tersebut menghuraikan kenaikan demi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, telah dan bakal berlaku.

lrt11Antaranya ialah kenaikan harga petrol pada September, kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 13 lebuh raya.

Tulisan yang konprehensif ini turut merumuskan betapa rakyat terpaksa berdepan satu cabaran hebat untuk tahun 2014. Tulisan tersebut menekankan bahawa kenaikan yang berlaku adalah berbentuk ‘super combo’ dan menjerut leher rakyat yang berpendapatan rendah serta golongan sederhana.

Asasnya, kadar peratus kenaikan gaji tidak selari dengan perkembangan mutakhir ini. Rakyat tersepit dengan unjuran ‘negara maju’ dan slogan ‘rakyat didahulukan’. Apakah maknanya negara maju ketika rakyat menderita?

Daripada tulisan itu timbul persoalan utama – Mengapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Persoalan itu hadir tanpa jawapan, hanya persoalan semata-mata. Inilah yang membangkit naluri saya untuk menulis hari ini, untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh penulis wartawan Sinar Harian.

Ada beberapa alasan picisan digunakan untuk mengolah persetujuan kenaikan itu. Contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) umum akan kaji tambang LRT dan monorel.  Kaji yang bermaksud ‘akan naik’ dengan alasan tarif eletrik naik.

Menteri JPM, Dato Seri Abd Wahid Omar juga mengumumkan telah tiba masanya kadar tol naik dengan alasan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Pelbagai alasan dan kebetulan dinyatakan.

Namun saya tetap merumuskan kenaikan mendadak yang ‘bertingkek-tingkek’ adalah hadiah kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13. Inilah ibu segala punca, janganlah sesiapa nafikan.

Dengan umpan BR1M bernilai empat angka yang akhirnya 47 peratus terpedaya, dengan modal negara aman ketika kes bunuh berleluasa, BN bertahan ditampuk kuasa dengan lima tahun tambahan nyawa.

Dulu ketika nyawa-nyawa ikan, semua kenaikan ditangguh kerana takut kebangkitan rakyat.

Malah banyak kes berprofil tinggi seperti PKFZ, NFC dan skandal Scorpene, juga keputusannya ditangguh hingga selepas pilihanraya. Hanya selepas menang pilihan raya dan mendapat kuasa, barulah timbul keberanian untuk menaikkan segala-galanya.

Pesalah rasuah dari pakej ‘transformasi’ juga dilepaskan oleh mahkamah.

Mari imbas kembali betapa jika BN tumbang, kenaikan ini tidak akan berlaku, malah penurunan harga petrol dan pemansuhan tol secara berperingkat telah dirancang. Tidak salah saya ungkit perkara ini walau berlalu seribu tahun, kerana kemenangan BN itu berlaku secara penipuan. Mereka menipu untuk menikmati semua kenaikan di atas selain survival hidup dan mati.

Saya yakin majoriti besar rakyat di negara ini telah memilih perubahan dalam pilihan raya lalu. Namun untuk kekang pengundian berganda-ganda jika dakwat yang dijanjikan kekal, tidak kekal. Hampir 1,500 laporan polis telah dibuat, tetapi kegemparan ini terus didiamkan.

Penipuan pilihan raya lalu janganlah sesekali dilupakan, harus terus lawan waima turun ke jalanan. Hak demokrasi kita untuk memilih kerajaan baru telah digelapkan. Nescaya selagi penipuan ini tidak dituntut untuk diadakan semula, selagi itu kita akan terus berada dalam kegelapan.

Inilah jawapan saya di atas persoalan ‘mengapa semua kenaikan berlaku secara bertindan’ – Kerana BN bertahan dan terus berkuasa. Sesungguhnya, kesusahan rakyat adalah kesenangan bagi pemimpin BN kerana bila rakyat susah, maka mudahlah digula-gulakan.

Saya menyeru kepada semua, khususnya anak muda dan golongan pekerja, bangunlah dari tidur yang lena, bangan dan lawan, kerana rakyat sedang ditindas dan negara sedang dijarah di atas nama bangsa.

Dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh!

* Edy Noor Reduan ialah Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)