Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penduduk lega notis awal selenggara loji, mula beli tong air

SHAH ALAM, 8 OKT: Pemberitahuan awal kerja penyelenggaraan aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 memudahkan penduduk membuat persediaan menyimpan bekalan air.

Suri rumah Noor Fazmira Zulkifli, 29, berkata kerja naik taraf yang tertangguh sejak dua tahun lalu ekoran pencemaran air wajar dibuat segera bagi mengelakkan masalah lebih buruk.

Noor Fazmira Zulkifli

Turut membeli tong tambahan bagi menyimpan bekalan, beliau yang menetap di Bandar Baru Selayang berharap isu air berkurangan selepas kerja baik pulih selesai.

“Ia (penyelenggaraan) bagus dan satu langkah positif kerana akan memudahkan kita semua. Siapa tahu kalau tidak dijalankan sekarang, mungkin jadi lebih teruk pada masa depan.

“Jadi, saya minta penduduk bersabar sementara menunggu kerja baik pulih siap selain simpan air secukupnya untuk diri sendiri serta keluarga,” katanya.

Penduduk Seksyen 19 di sini, Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor, 25, juga berharap kerja naik taraf loji tersebut dapat mengelak masalah penyaluran air pada masa depan.

Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor

“Ada alasan munasabah. Saya percaya mereka kena jalankan tanggungjawab (selenggara aset). Kalau tidak perkara ini (isu bekalan) boleh berterusan,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com

Categories
EXCO SELANGOR

Golongan remaja dipelawa sertai pertandingan esei kesedaran pengguna

SHAH ALAM, 4 JULAI: Golongan remaja dipelawa menyertai pertandingan menulis esei kesedaran pengguna bertema Remaja Selangor, Pengguna Arif anjuran Jawatankuasa Tetap Pengguna Negeri.

Pertandingan dibuka pada 16 Jun hingga 6 Julai berkenaan menawarkan hadiah berupa gajet yang boleh digunakan sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

EXCO Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kategori A untuk peserta berusia 13 hingga 15 tahun dan B pula 16 hingga 17 tahun.

“Selain dapat mengasah bakat, pertandingan ini juga dapat mengisi masa lapang mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

“Juara akan bawa pulang komputer riba, tempat kedua Samsung Galaxy Tab A7, tempat ketiga telefon pintar OPPO A31. Wang tunai RM50 untuk lima pemenang saguhati,” katanya ketika dihubungi.

Penyertaan boleh dihantar melalui emel [email protected] atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 013-7701694.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: CAP ingatkan pengguna jangan pergi pasar setiap hari

GEORGE TOWN, 14 MEI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini meminta semua pengguna Malaysia untuk berhenti pergi ke pasar setiap hari ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Sebaliknya, Pegawai Pendidikan CAP N V Subbarow meminta pengguna untuk membiasakan diri dalam merancang pembelian barangan yang boleh disimpan supaya tidak perlu ke pasar atau pasar raya setiap hari.

“Pengguna harus merancang barangan kegunaan selama tiga atau empat hari berikutnya setelah dibeli. Ratusan pengguna pergi ke pasar dan pasar raya setiap hari. Insiden Covid-19 kemungkinan akan berkurang jika ini dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan CAP mendapati pengguna khususnya yang pergi ke pasar setiap hari untuk membeli sayur-sayuran dan bahan-bahan lain akan menghabiskan masa berjam-jam di pasar.

CAP ingin mengingatkan pengguna Malaysia bahawa pengguna perlu membiasakan diri untuk menghentikan budaya membeli harian ini.

Katanya, rakyat Malaysia harus berdisiplin dan kawal diri untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menyekat penularan wabak pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tenaga solar di Malaysia – antara cabaran, manfaat sebagai tenaga alternatif

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kalangan peminat tenaga solar terus giat mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE), atas alasan ia boleh didapati secara percuma dan lebih menjimatkan.

Bagaimanapun, adakah ini benar? Adakah mempunyai terlalu banyak tenaga solar merupakan perkara yang baik? Mari kita kaji lebih lanjut.

Tenaga solar hanya boleh didapati pada waktu siang, dan anda masih memerlukan tenaga pada waktu malam. Ini biasanya akan disediakan oleh loji janakuasa konvensional yang lain (iaitu arang batu, gas dan hidro). Ini bermakna loji janakuasa konvensional masih diperlukan walaupun tenaga solar diperkenalkan dalam sistem.

Sebagai alternatif, bateri juga boleh digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada tenaga solar pada waktu malam. Bagaimanapun, ini mempunyai kos tambahan.

Teknologi bateri masih baharu dan mahal dengan harga semasa sebanyak RM5000/kW, berbanding RM3000/kW untuk kos biasa bagi loji janakuasa gas. Bukan hanya bateri untuk sistem tenaga itu mahal, ia juga hanya boleh digunakan untuk waktu yang terhad, bergantung kepada jenis dan reka bentuknya.

Loji tenaga solar berkapasiti 100MW tidak sama dengan loji janakuasa konvensional 100MW dari segi keupayaan penjanaan. Perbezaan ini terutamanya untuk faktor kapasiti.

Keupayaan jana tenaga

Faktor kapasiti adalah nisbah jumlah tenaga sebenar yang dijana dalam jangka masa tertentu kepada tenaga yang akan dihasilkan jika loji itu beroperasi secara berterusan pada kadar maksimum. Faktor kapasiti loji tenaga solar sebanyak 17 peratus manakala loji janakuasa gas boleh mencapai sehingga 80 peratus.

Misalnya, dalam setahun, tenaga solar sebanyak 100MW hanya dapat menjana tenaga 149GWh manakala loji janakuasa gas dengan kapasiti yang sama dapat menjana tenaga sehingga 700GWh. Oleh itu, sebanyak lima loji tenaga solar diperlukan untuk menjana jumlah tenaga yang sama dengan sebuah loji janakuasa gas dengan kapasiti yang sama.

Cabaran lain ialah tenaga solar tidak boleh dikawal atau dihantar berbanding loji janakuasa konvensional yang dapat dikawal seperti yang diperlukan. Oleh itu, tenaga solar perlu diterima dalam grid semasa ia dijana.

Ini boleh menimbulkan masalah semasa tempoh penjanaan tenaga solar yang tinggi pada hari permintaan yang rendah (hujung minggu atau cuti umum) yang boleh mewujudkan lebihan bekalan kepada sistem.

Berdasarkan senario ini, loji janakuasa konvensional mungkin perlu dikurangkan atau ditutup untuk memberi laluan kepada penjanaan tenaga solar, yang akan menjejaskan keselamatan sistem.

Jika diamati, Malaysia mempunyai liputan awan yang ketara dan menyebabkan output tenaga solar yang tinggi.

Namun, aspek tersebut memerlukan sokongan lanjut daripada sistem grid khususnya loji janakuasa tenaga konvensional bagi memastikan bekalan tenaga dapat disalurkan secara berterusan untuk kemudahan pelanggan.

Walaupun kadar kapasiti bagi loji janakuasa solar berkemungkinan lebih tinggi, ia hanya berupaya menyumbang sebanyak 17 peratus bagi memenuhi keperluan margin simpanan sistem manakala baki keperluan itu perlu disalurkan oleh pemasangan kemudahan loji janakuasa konvensional.

Pada masa sama, kos sokongan sistem di waktu siang, tambahan margin simpanan dan pengekalan loji janakuasa konvensional serta simpanan bateri pada waktu malam, mewakili kos integrasi solar ke dalam sistem yang melebihi kos penjanaan terbabit.

Pengalaman negara luar

Oleh itu, dalam merujuk persoalan membabitkan kewujudan terlalu banyak solar dalam sistem, kita boleh menyelami pengalaman Australia.

Negara itu misalnya mempunyai kadar penembusan solar bumbung lebih tinggi berikutan pendekatan liberal oleh kerajaannya yang menggalakkan tenaga boleh diperbaharui.

Pihak Pengawal Selia Tenaga Australia juga sedang mempertimbang untuk mengenakan caj tarif terhadap pemilik solar bumbung yang menyalurkan semula tenaga tersebut ke dalam grid ketika waktu puncak.

Menurut Suruhanjaya Pasaran Tenaga Australia yang mencadangkan tarif itu, tindakan mengeksport solar ke dalam grid itu boleh menyebabkan kesesakan tenaga dan menjejaskan kestabilan sistem terbabit.

Oleh itu, langkah mengenakan caj terhadap isi rumah terbabit akan membantu dari segi mengurangkan ‘kesesakan’ aliran tenaga elektrik.

Namun, kehadiran terlalu banyak tenaga solar kekal menjadi persoalan sama ada ini sesuatu yang bermanfaat berikutan hakikat bahawa RE bukan lagi murah jika disertakan dengan caj atau bayaran tambahan serta penalti.

Malah, sekiranya program solar besar ini dimulakan, ia turut membabitkan kos tambahan ketara yang ditanggung hasil daripada integrasi solar ke dalam sistem untuk memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem terbabit.

Lazimnya, kos tambahan itu perlu ditanggung atau dilepaskan kepada pengguna.

Sehubungan itu, pengagihan kos integrasi RE yang adil dan saksama kepada semua pengguna sememangnya diperlukan bagi mengelak berlakunya ‘peralihan kos.’

Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tenaga solar itu juga sememangnya disambut baik, namun pada masa sama perlu disertai dengan pelaksanaan secara sistematik bagi menjamin nilai maksimum kapasiti solar selain memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan sistem terbabit.

Apa yang pasti, sebarang pendekatan berhati-hati oleh kerajaan dalam usaha ini adalah sesuatu yang dialu-alukan serta dilihat wajar demi memastikan keberkesanannya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tingkat keselamatan elak jadi mangsa jenayah siber – CFM

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Pengguna media sosial dinasihatkan sentiasa berwaspada serta lebih berhati-hati dalam melindungi keselamatan platform dalam talian mereka, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menunjukkan trend peningkatan penggunaan medium itu.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Datin Mohana Mohariff berkata, terdapat laporan dan statistik daripada pihak berkuasa menunjukkan peningkatan jumlah mangsa jenayah siber seperti penipuan, penggodaman dan pencurian identiti, pada setiap hari.

Justeru katanya, bagi mengurangkan masalah itu, semua pengguna harus bersikap proaktif dalam melindungi keselamatan dalam talian mereka.

“Beberapa petua penting bagi mengekalkan keselamatan dalam talian termasuk mengemas kini semua perisian dan ‘firmware’ di peranti termasuk telefon bimbit, tablet dan penghala (router), rumah.

“Pengguna juga harus menukar kata laluan yang biasa dan menggunakan kata laluan yang kuat, serta jangan klik pada e-mel, mesej atau pautan yang kelihatan pelik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan pengguna menggunakan pengesahan dua-faktor (2FA) sebagai langkah lanjut, untuk membuktikan identiti mereka di luar kata laluan atau token pengesahan sekali pakai, untuk mengakses akaun.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan penyelesaian antivirus yang kuat untuk peranti selain Rangkaian Peribadi Maya (VPN), untuk mengelakkan trafik data diintip atau diganggu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga durian perlu dikawal, elak pengguna tertipu – PPMM

KANGAR, 8 JULAI: Setiap kali tiba musim ‘raja buah’ pasti ada pengguna yang mengeluh, apabila merasa diri mereka tertipu selepas membeli durian pada harga tinggi sedangkan kualitinya tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, apabila pulang ke rumah mendapati bahawa buah durian yang dibeli mengkal (tidak masak), busuk, tawar, isi berwarna putih dan sebagainya.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon, mengikut gred.

“Sebagai contoh harga buah durian jenis Musang King mempunyai gred A, B dan C, harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan diambil kepada peniaga menjualnya lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini, mengenai sikap segelintir peniaga durian yang menjual buah tersebut, mengikut model kereta yang digunakan pembeli.

“Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka mempunyai anak yang ramai.

“Sebagai contoh apa perasaan seorang ayah kepada lima orang anak yang hanya mampu membeli sebiji dua buah durian tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras,” katanya.

Che Hassan berkata, alasan yang diberikan harga durian tidak boleh dikawal kerana ianya buah bermusim adalah tidak wajar lagi.

Beliau menasihati pengguna agar membawa bekas ketika membeli buah durian agar mereka tidak mudah tertipu.

“Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peralatan elektrik tiada logo Sirim undang padah – Fomca

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Peningkatan secara mendadak pembelian peralatan elektrik oleh pengguna secara dalam talian sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu menimbulkan kerisauan sesetengah pihak kerana peralatan elektrik yang tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST dikhuatiri mengundang padah.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan peralatan elektrik yang tiada logo SIRIM-ST ibarat bom jangka yang sangat berbahaya kepada pengguna kerana pada bila-bila masa ia boleh mengakibatkan litar pintas.

“Hal ini adalah kerana barangan tersebut tidak melalui ujian ketahanan dan keselamatan mengikut piawaian keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOMCA mengingatkan pengguna untuk membuat semakan logo SIRIM-ST pada peralatan dan wayar penyambung terlebih dahulu sebelum membeli.

“Telah menjadi trend pembelian panik sebiji air fryer. Semenjak PKP berkuat kuasa, setiap rumah mesti ada sebiji air fryer atau mungkin lebih dari satu! Bukan sahaja air fryer malah kelengkapan peralatan elektrik untuk membuat kek atau kuih juga turut menjadi kelengkapan asas bagi pengguna yang mula bekerja dari rumah,” menurut Fomca.

FOMCA memberitahu pada tahun 2018 didapati sebanyak 58 peratus peralatan elektrik tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST.

-BERNAMA

Sumber Grafik: SIRIM
Categories
EXCO SELANGOR

Harga barang naik, langkah awal diambil – EXCO

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Negeri sudah membuat kawalan serta pemantauan bagi mengelak kenaikan harga barang secara mendadak akibat wabak Covid-19, kata EXCO Hal Ehwal Pengguna.

Hee Loy Sian berkata berdasarkan pemerhatiannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat beberapa peniaga sayur-sayuran di Selangor menaikkan harga barang.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pemantauan dan cuba mengawal peningkatan harga barang.

“Kerajaan mengambil inisiatif antaranya berjumpa petani setempat, mendapat barangan secara langsung, mengagihkannya secara percuma kepada golongan yang terkesan Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, pada 5 April, Kerajaan Persekutuan memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sepanjang PKP.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menggalakkan rakyat melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika ada peniaga menaikkan harga.

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah: Fahami hak dan peranan sebagai pengguna

KENINGAU, 17 SEPT: Rakyat perlu berusaha memahami hak dan peranan mereka sebagai pengguna bagi mengelak daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sekiranya mereka memahami hak dan peranan sebagai pengguna, mereka akan berupaya memainkan peranan sebagai penentu harga barangan di pasaran.

“Ini boleh dilakukan sekiranya setiap kita bijak dalam merancang dan mengawal perbelanjaan kita. Berbelanjalah dengan bijak dan membeli apa yang perlu sahaja dan buatlah perbandingan harga di premis-premis sebelum melakukan sebarang pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna bersempena Sambutan Hari Malaysia 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh.

Menurut Dr Wan Azizah, pengguna juga perlu memainkan peranan mereka sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat berkaitan salah laku peniaga.

Katanya pengguna boleh menyampaikan aduan melalui pelbagai saluran yang disediakan KPDNHEP termasuk aplikasi WhatsApp.

“Begitu mudah, hanya ambil gambar, taipkan maklumat premis, dan hantar sahaja melalui WhatsApp Kementerian (019-2794317). Saya diberi jaminan oleh KPDNHEP bahawa tindakan ke atas setiap aduan akan diambil dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya pengguna perlulah membantu kerajaan menerusi penyaluran maklumat ke saluran yang telah ditetapkan memandangkan bilangan pegawai di KPDNHEP adalah terhad.

Pada majlis berkenaan, Dr Wan Azizah turut melancarkan Program Bank Makanan Malaysia, satu program untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya rakyat berpendapatan rendah.

Katanya beliau percaya program itu boleh menjadi titik tolak permulaan untuk meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin Nasution dalam ucapannya berkata Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang diaktifkan semula oleh kerajaan dan dipengerusikan Dr Wan Azizah akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 27 Sept ini.

Katanya majlis yang dianggotai pelbagai kementerian berkaitan itu akan bertanggungjawab mengumpul semua aduan rakyat berkaitan kos sara hidup dalam segala aspek dan akan mengambil tindakan menyelesaikannya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Pengguna puas hati kualiti stesen bas, rimas dengan ulat tiket

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Pengguna Terminal Bas Sementara Seksyen 13, di sini, berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana lebih luas.

Tinjauan Selangor Kini mendapati kawasan berkenaan turut menempatkan perkhidmatan teksi selain mempunyai ruang letak kenderaan yang lebih banyak untuk pengguna.

Terdapat juga beberapa individu yang bertindak sebagai ulat tiket walaupun pasukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) beroperasi di lokasi berkenaan.

IMG_5726Bagi Hilmanizam Ibrahim, 31, beliau sudah tiga kali berurusan di terminal sementara itu dan mengakui berpuas hati dengan kawasan yang disediakan.

Namun, beliau sedikit rimas dengan kewujudan ulat tiket di sekitar terminal selain beberapa kemudahan yang perlu ditambahbaik.

“Tempat besar tetapi ruang solat kecil dan keadaan tandas pada saya hanya sederhana. Dari segi perkhidmatan sambutan ada tetapi sedikit rimas,” katanya.

Fauzi Ismail, 56, yang pertama kali menggunakan perkhidmatan bas di lokasi berkenaan berpandangan sama dengan Hilmanizam berkenaan kemudahan tandas dan surau.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Amir Mukhtar, 20, berkata lokasi terminal sementara itu lebih dekat dengan penempatan pelajar dan memudahkan mereka pulang ke kampung halaman.

Katanya, terdapat sedikit kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

IMG_5729“Tempat ini agak sesuai tetapi pada waktu puncak kemasukan bas akan mengakibatkan sedikit kesesakan kerana dekat dengan jalan utama.

“Tambahan pula dekat dengan kediaman pelajar, senang untuk mereka membeli tiket,” katanya.

MBSA membuat keputusan untuk memindahkan sementara stesen bas di Seksyen 17 ke Seksyen 13, di sini, bermula 15 Disember lalu.

Tindakan itu diambil bagi menaiktaraf infrastruktur stesen bas Seksyen 17 dengan 24 kaunter tiket disediakan untuk memudahkan pengguna membeli tiket bas.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ibu sengsara hadap ‘jammed’ setiap hari KL-Melaka maki PLUS

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seorang pengguna lebuh raya PLUS dari Kuala Lumpur ke Melaka akhirnya mengambil keputusan melepaskan kemarahan kepada syarikat itu ekoran tertekan dan berang kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setiap hari.

Pengguna terbabit yang mengaku mempunyai anak di Melaka dikatakan terpaksa berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap hari untuk bekerja.

Wanita yang melepaskan kemarahan dengan menggunakan perkataan kesat itu dipercayai membuat panggilan ke talian hotline PLUS apabila terperangkap lagi dalam kesesakan lalul intas di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban.

jemplus“Aku dah berapa lama di sini, aku bayar tol bukan untuk hadap ‘jammed’ ni hari-hari. Saya pengguna awak, hari-hari saya ‘travel’ KL-Melaka, KL-Melaka.

“Tak boleh ke buat pagi-pagi lagi. Aku lepaskan orang balik KL dulu, aku keluar pejabat pukul 9.00 ‘jammed’, keluar pukul 11.00 malam ‘jammed’. Bilanya tak ‘jammed’? Hari-hari saya sampai rumah pukul 3.00 pagi. Saya penatlah macam ni.. You are ‘bullshit’, you know.

“Kau nak suruh aku sabar apa? Dah entah sebulan, dah lima bulan aku macam ini,” kata wanita itu dalam satu rakaman panggilan yang tersebar di laman sosial facebook.

Pemanggil wanita itu bertambah berang apabila operator PLUS memberitahu hanya satu lorong paling kiri sahaja dibuka bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf jalan dari pukul 10.00 malam hingga 3.00 pagi.

Wanita itu juga mencadangkan PLUS harus menganjakkan masa sebarang kerja lebih lewat ketika waktu paling kurang kenderaan.

LATAR PLUS“Apalah pukul 9.00, pukul 11.00 malam dah tutup. Tak ada perasaan ke? Aku ada anaklah! Kalau nak tutup, tutuplah pukul 3.00 atau 4.00 pagi, orang tak banyak guna, (sekarang) orang balik kerja.

“Kau nak suruh aku balik pukul berapa? Cakap, pukul berapa aku patut keluar pejabat, bagi aku ‘timing’ yang tak akan jammed walau satu kilometer.

“Kau dah tahu malam semua lori nak lalu terhegeh-hegeh. Hei! Sekurang-kurangnya bukalah dua lorong. Otak kau orang pergi mana hah?” katanya.

Bagi mengesahkan dakwaan kesesakan lalu lintas yang dimaksudkan, Selangor Kini menghubungi talian hotline PLUS, Plusline.

Petugas yang menjawab panggilan mengesahkan ketika ini PLUS sedang menjalankan kerja ‘forkling’ yang membabitkan penutupan lorong berkenaan bermula jam 10.00 atau 11.00 malam hingga ke 3.00 pagi setiap hari sehingga siap sepenuhnya.

Operator terbabit bagaimanapun tidak memberitahu tempoh kerja terbabit dapat disiapkan sepenuhnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Indeks pengguna pendapatan bawah RM3,000 meningkat, rakyat makin tertekan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengguna berpendapatan bawah RM3,000 adalah golongan paling tertekan berikutan indeks harga pengguna bagi sub-kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol bagi golongan berpendapatan bawah RM3,000 terus meningkat.

Data indeks yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara mendapati indeks makanan dan minuman bukan alkohol, pada Disember lalu bagi kumpulan berpendapatan RM3,000 ke bawah meningkat kepada 113.8 mata berbanding 108.8 mata atau 4.5 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

barang naik copy1Barangan pengguna dalam kumpulan itu yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah gula, jem, madu, coklat dan manisan 9.4 peratus kepada 135.5 mata dan diikuti ikan dan makanan laut 8.6 peratus kepada 122.6 mata.

Sementara itu, sayur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi tempoh satu bulan dengan peningkatan 5.7 peratus antara November hingga Disember lalu menjadikannya 115.7 mata.

Indeks harga bagi susu dan telur pada Disember lalu pula menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7 peratus kepada 114.3 mata berbanding 109.2 mata pada Disember 2012.

Peningkatan terbabit sekali gus menjadikan pendapatan boleh guna bagi pengguna golongan itu semakin mengecil berbanding sebelumnya.

Indeks sub-kumpulan makanan dan minuman alkohol dan perubahan peratus di Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan daripada 108.7 mata pada Disember 2012 kepada 113.6 mata atau 4.5 peratus, pada Disember lalu.

Perbandingan keseluruhan bagi bulan sama menyaksikan indeks harga makanan masing-masing iaitu ikan dan makanan laut meningkat 8.5 peratus; daging, 5.8 peratus; susu dan telur, 4.8 peratus; sayur-sayuran, 5.5 peratus dan kumpulan gula, jem, madu, coklat serta manisan 8.1 peratus.

-NFN-