Categories
BERITA UTAMA

Martin Luther King Jr: Mimpimu terus mekar!

Oleh: Hanif Mahpa

King – mimpimu masih mekar. Sejarah tak pernah melupakan sosok tubuh manusia ulung ini.

Tanggal 15 Januari 1929, Martin Luther King Jr dilahirkan di Atlanta.

martin-luther-king-jr

Jikalau beliau masih bersama kita hari ini, umurnya sudahpun mencecah 85 tahun. Mungkin sedang menghabiskan sisa kehidupan bersama anak cucu di kampung halaman.

Namun takdir hidupnya jauh lebih mengagumkan.

Hari ini, Amerika dan seluruh dunia sedang hidup dalam mimpi-mimpinya.

Martin Luther King Jr tercatat antara pemimpin Gerakan Hak Asasi Manusia Amerika Syarikat yang paling berjasa besar.

Sepanjang 13 tahun kepimpinannya, dari Disember 1955 hingga 4 April 1968, perjuangan bangsa kulit hitam ke arah kesaksamaan berjaya dimartabatkan, bahkan jauh lebih baik berbanding perjuangan 350 tahun sebelum itu.

Dari perhambaan, menuju kebebasan

i-have-a-dream-speechBangsa kulit hitam mula dibawa sebagai hamba ke koloni Amerika Utara pada tahun 1619.

Rentetan dari itu, kehidupan mereka terus-terusan ditekan dan ditindas.

Deklarasi Kemerdekaan 1776 yang menukilkan bahawa ‘semua manusia diciptakan setara’ tidak mampu mengubah hakikat itu.

Bahkan ‘Emancipation Proclamation’ yang seharusnya memberi harapan dan membebaskan seluruh bangsa kulit hitam dari perhambaan, tidak mampu mengubah nasib mereka.

Perhambaan fizikal sedikit demi sedikit membawa kepada perhambaan mental.

Diskriminasi kaum, kemiskinan serta kekurangan pendidikan membawa kepada kesengsaraan hidup yang tak berkesudahan.

Mereka mula menerima stigma bahawa mereka memang ditakdirkan hidup sebegitu rupa – lebih rendah dari manusia.

Lebih tragis, mereka mula kehilangan maruah dan rasa percaya pada diri sendiri.

Dalam suasana sebegitu, Martin Luther King Jr. muncul dengan impian dan mimpi.

Semuanya bermula pada tahun 1955.

Disember itu, King memimpin Montgomery Bus Boycott, yang akhirnya berjaya mendesak Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan bahawa pengasingan kaum pada pengangkutan awam adalah tidak menepati perlembagaan.

Seterusnya, beliau memimpin Southern Christian Leadership Conference (SCLC), sebuah gerakan yang dominan bagi memperjuangkan Hak Asasi Manusia.

Bersama SCLC, beliau terus komited dengan gerakan tanpa kekerasan (non-violence), yang diwarnai dengan siri demonstrasi, boikot, aksi terus (direct action) dan pengingkaran sivil (civil disobedience).

‘I have a dream’

‘I Have a Dream’ adalah kemuncak segala-galanya.

IHaveADreamPada tengah hari terik 28 Ogos 1963, ratusan ribu pencinta keadilan menjadi saksi kepada pidato bersejarah di Washington D.C. itu. Mimpi-mimpi beliau cukup memukau.

Dengan penuh harapan, beliau membayangkan bahawa negara yang ‘sedang nazak dengan terik penindasan’ suatu hari bakal ‘berubah kepada oasis kebebasan dan keadilan’.

Bahkan perkara yang dianggap rutin pada hari ini – idea bahawa ‘anak kecil berkulit hitam akan beriringan tangan bersama anak kecil berkulit putih sebagai saudara’ – merupakan suatu yang berada di luar jangkauan akal pada tahun 1963.

Setahun selepas itu, Akta Hak Sivil diluluskan oleh kongres, menghapuskan diskriminasi perkauman dalam peluang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan awam di Amerika Syarikat.

Kemudian, Akta Hak Mengundi pula diluluskan, sekali gus menghapuskan halangan untuk bangsa kulit hitam mengundi di sesetengah negeri.

Itulah kekuatan impian dan mimpi.

Mimpimu terus mekar

50 tahun selepas King menyampaikan pidato bersejarah itu, seorang lagi lelaki berkulit hitam berdiri menyampaikan pidato di hadapan Lincoln Memorial – kali ini sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Barack Obama, jutaan warga Amerika Syarikat dan seluruh umat manusia seharusnya berterima kasih pada manusia agung ini.

King memberi inspirasi kepada seluruh dunia, bahawa kita seharusnya bernafas bersama keadilan dan kebebasan.

Beliau membayangkan bahawa tembok penghalang kepada kebebasan itu bukan tembok yang dapat dilihat dengan mata kasar, namun tembok yang tertanam dalam sanubari setiap insan.

Cinta dan mimpi-mimpi indahlah yang mampu memecahkan tembok itu, bukan kebencian dan keraguan.

Legasi mimpi King ternyata merentasi sempadan geografi dan generasi.

Ia kekal relevan hingga kini. Ia bernafas seiring dengan nafas saya, anak muda yang dilahirkan 30 tahun selepas itu.

Saya punya impian supaya setiap manusia memperoleh peluang yang saksama untuk pendidikan.

Kuala LumpurSaya punya impian agar masyarakat majmuk di Malaysia dapat hidup tanpa prasangka dan prejudis.

Saya punya impian, supaya dunia ini makmur dengan keadilan dan kasih sayang.

50 tahun selepas beliau, saya juga punya mimpi.

Martin Luther King Jr: Mimpimu terus mekar! – 15 Januari, 2014.

* Hanif Mahpa seorang mahasiswa UIAM dan merupakan timbalan presiden Economics and Management Sciences Society (EMSS) UIAM.

Leave a Reply

Your email address will not be published.