Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA

Kerajaan Selangor komited untuk menyusun semula industri air seperti yang dihasratkan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang antara lain untuk membatalkan penswastaan industri air supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik dengan tarif yang munasabah.

Bagi tujuan murni ini, Kerajaan Selangor telah memberikan sepenuh komitmen dimana sejak 2009 perbincangan berterusan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah dilakukan.

air-syabas_MB1Pada masa yang sama, rundingan pengambilalihan empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd; juga telah dilakukan dimana kerajaan negeri telah menawarkan RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walaubagaimanapun, perbincangan yang kami lakukan untuk pengambilalihan atas dasar “willing buyer willing seller” seperti yang ditetapkan oleh Kementerian telah gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu 31 Disember 2013.

Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

Kementerian melalui surat bertarikh 9 September 2013 telah menyatakan hasrat untuk mengambilalih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 WSIA – jika tiada penyelesaian pada 31 Disember 2013.

Sehubungan dengan itu, saya telah berbincang dengan YB Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh kepada Kementerian dan Kerajaan Pusat mengguna pakai Seksyen 114 tertakluk dengan beberapa syarat; antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan tentang pengurusan air. Ini adalah perlu kerana Negeri Selangor memiliki kebanyakan dari aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan, Suhaimi Kamaralzaman yang juga seorang akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia. Calon kedua adalan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Cik Faekah Husin, yang juga peguam terlatih lebih daripada 20 tahun serta mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Kerajaan Negeri secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat 2 dan kedua-duan Pentadbir dipertanggungjawab untuk merealisaikannya.

Perkara-perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada YB Menteri secara rasmi melalui surat yang telah saya hantar pagi ini.

Kerajaan Selangor bersungguh-sungguh untuk menjayakan penyusunan semula industri perkhidmatan air serta pengambilahan syarikat konsesi air kerana adalah nyata syarikat konsesi telah gagal memberi perkhidmatan yang baik dengan tariff yang berpatutan walaupun telah mengaut keuntungan yang tinggi.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.