Categories
NASIONAL

Merdeka melalui kerjasama punca penjajah kekal kepentingan ekonomi, politik

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PUCHONG 7 JAN: Kemerdekaan yang diperoleh melalui cara bersubahat atau menjalin kerjasama dengan penjajah menyebabkan British berpeluang meneruskan sebahagian daripada kepentingan dan keuntungan ekonomi yang pernah mereka nikmati ketika masih menjajah.

British juga berpeluang meneruskan institusi dan dasar politik yang pernah dilaksanakan ketika menjalankan pemerintahan di tanah jajahan mereka.

syed husin aliBekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Profesor Dr Syed Husin Ali, berkata hal itu dapat dilakukan dengan meletakkan terma dan syarat tertentu di dalam rundingan antara pihak penjajah dan dijajah sebelum keputusan memberikan kemerdekaan dilakukan.

“Antara contohnya adalah institusi pendidikan, selain institusi kehakiman atau dasar dalam atau luar negara.

“Di Malaya, sebahagian besar keuntungan diperoleh golongan bangsawan, pemodal dan bekas pegawai tinggi yang kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan penjajah. Mereka juga dilihat terpengaruh dengan sistem pendidikan penjajah, bersikap pro-barat dan sering dianggap hero dalam penulisan sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya dalam Kursus Merdeka Rakyat yang diadakan di Pusat Reformasi Demokrasi dan Inisiatif Sosial, di sini, baru-baru ini.

Syed Husin berkata, pendekatan mencapai kemerdekaan negara berbeza dengan perjuangan kemerdekaan di India yang diperoleh melalui cara penentangan pasif selain kurang pertumpahan darah.

Katanya, rakyat India yang mahukan kemerdekaan menyeluruh memutuskan untuk enggan berkerjasama dalam segala aspek dengan penjajah dan mereka berjaya memperoleh kebebasan tanpa perlu meneruskan dasar yang terus memelihara kepentingan politik serta keuntungan ekonomi negara penjajah.

“Penentang penjajah di Indonesia turut memperjuangkan kemerdekaan dengan kaedah berbeza berbanding Malaya dengan menjalankan penentangan mengangkat senjata terhadap penjajah Belanda, sekali gus membabitkan pertumpahan darah.

“India dan Indonesia dapat mengawal sumber kekayaan negara dan melaksanakan dasar yang difikirkan menguntungkan negara serta rakyat masing-masing. Hal ini berbeza dengan Malaya yang terikat bagi terus menjaga kepentingan ekonomi, politik dan dasar menguntungkan bekas penjajah British,.

“Perkara itu tidak harus berlaku apabila sikap tamak sesetengah pemimpin di awal kemerdekaan di negara terbabit menyebabkan pengagihan sumber kekayaan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.