Categories
NASIONAL

PAS tidak teruja ‘duduk sebumbung’ dengan Umno, pimpinan Najib ‘racun berbisa’

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 JAN: PAS memberi jaminan tidak akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk ‘government of national reconciliation’ kerana merasakan strategi bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah paling berkesan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata parti Islam itu tidak pernah teruja untuk ‘duduk sebumbung’ dengan BN kerana menyifatkan gagasan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak itu penuh ‘racun berbisa’ waalupun ‘manis’ dipandang.

salahuddin white 01Beliau berkata, rakyat Malaysia yang menyokong penuh PR juga tidak perlu bimbang kerana PAS tidak akan mudah termakan dengan agenda atau tawaran Umno.

“Saya juga rasa tidak perlu bagi PAS, DAP dan PKR menamatkan kerjasama dalam PR yang begitu erat kerana ini masa terbaik untuk kita membina kerjasama supaya lebih kuat.

“PAS tidak pernah sesekali bercadang membentuk kerjasama dengan BN atau mengeruhkan keadaan dengan keluar daripada jalinan ikatan kukuh sedia ada.

“Namun, dalam soal membabitkan kepentingan negara seperti kebajikan atau pendidikan, kita bersedia menghulurkan tangan,” katanya dalam satu wawancara khas bersama portal Roketkini, baru-baru ini.

Sementara itu, ketika mengulas strategi khusus PR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti, Salahuddin berkata, sebuah jawatankuasa khas sudah dibentuk sebagai asas untuk memperkukuh kekuatan sedia ada.

EMY_1708Katanya, jawatankuasa itu bertujuan memberi fokus dan menggarap sokongan masyarakat Melayu luar bandar yang masih lagi rendah peratusannya menyokong PR.

“Ini penting untuk dijadikan asas bagaimana harus kita bangunkan strategi atau idea baru dalam menghadapi PRU akan datang.

“Kita ingin memperkukuh, memperkemas dan menyelamatkan kekuatan sedia ada, di samping mencari langkah supaya dapat melangkaui ‘grey area’ dan ‘black area’,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.