Categories
SELANGOR

Pemilik premis Kampung Lembah Kinrara setuju roboh binaan

Oleh : AFIX REDZUAN

PUCHONG JAYA, 23 JAN: Operasi Perobohan Struktur dan Aktiviti Pembuangan Sampah di rizab sungai Klang, Kampung Lembah Kinrara terpaksa ditangguhkan apabila pemilik premis berkenaan bersetuju untuk merobohkan sendiri binaan berkenaan dalam tempoh sebulan.

Keputusan itu dicapai selepas pemilik premis berbincang bersama Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Petaling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Zhe Han.

12Sebelum itu, berlaku kekecohan antara pemilik premis yang tidak berpuas hati dengan tindakan perobohan berkenaan kerana membabitkan kawasan mereka sahaja.

Sepanjang tempoh berkenaan, wakil pemilik meluahkan rasa marah dengan tindakan berkenaan dan suasana operasi perobohan berlangsung sedikit tegang sehingga mengakibatkan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dipanggil untuk mengawal keadaan.

Operasi bersepadu itu diketuai Pejabat Tanah Daerah Petaling turut dibantu polis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Tindakan perobohan diambil di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah kerana memasuki tanah rizab sungai kerana berada di bawah penyelenggaraan JPS dan bidang kuasa Pejabat Tanah Daerah.

Kesalahan itu adalah notis pendudukan tidak sah di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara.

6MPSJ sudah mengemukakan notis meruntuh dan mengosongkan bangunan kepada pemilik struktur dengan notis terakhir diserahkan, pada Disember lalu.

Operasi itu turut menemui dua tangki yang dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel, manakala seramai 69 orang anggota MPSJ turun bagi membantu operasi berkenaan.

Tinjauan Selangor Kini di sepanjang kawasan berkenaan mendapati banyak sisa pepejal berbentuk lebihan binaan dibuang di tepi sungai, namun premis berkenaan menyatakan sampah itu bukan milik mereka.

Namun, kenyataan ‘meragukan’ terbabit menimbulkan tanda tanya apabila jalan untuk memasuki premis berkenaan dihalang dengan palang besi yang bukan didirikan pihak berkuasa.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.