Categories
NASIONAL

PKR terus perjuang isu rakyat, nilai Laporan Ketua Audit Negara,

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 2 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menilai laporan Ketua Audit Negara yang bakal dikeluarkan tahun ini untuk terus membawa isu rakyat terutama berkenaan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Hal itu berikutan isu ekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang yang bertimpa menghimpit rakyat adalah perkara penting yang perlu diangkat dalam situasi kerajaan terus melakukan ketirisan termasuk aliran keluar wang haram.

fahmi-fadzilPengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, laporan audit yang dikeluarkan tiga kali setahun itu penting dalam usaha mencari jalan penyelesaian membendung beban rakyat supaya bukan golongan tertentu sahaja merasai kekayaan negara, tetapi perlu diagih sama rata kepada semua.

“Kita lihat isu laporan ketua audit negara akan dibentangkan tiga kali setahun. Jadi, saya rasa kita akan dapat isu baru untuk dibangkitkan dan tahun ini fokus kepada isu ekonomi yang dirasai rakyat.

“PKR akan terus mengambil pendirian yang sangat jelas seperti GST, yang mana kempen Faham GST, Tolak GST sudah dilancarkan pada 20 Disember lalu dan kita akan mengambil langkah seterusnya.

“Misalnya, Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) sedang melatih sekumpulan petugas untuk menyebar dan memberikan maklumat kepada awam bagaimana GST memberi kemudaratan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Daripada segi aturan dalaman parti pula, Fahmi memaklumkan PKR akan mengadakan pemilihan parti antara Mac hingga Mei ini.

Kali terakhir pemilihan PKR diadakan pada 2010 dan tarikh sebenar akan diumumkan kemudian yang akan disusuli dengan Konvensyen PKR bagi memperkenalkan saf pimpinan baru parti kepada ahli.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.