Categories
NASIONAL

Protes Pensil Merah: GERAMM ulangi pendirian sedia kerjasama dalam siasatan polis

SHAH ALAM 11 JAN : Kumpulan longgar wartawan dari pelbagai organisasi media Gerakan Media Marah (GERAMM) mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan aman Protes Pensil Merah pada 4 Januari lalu.

GERAMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun berpendapat siasatan polis itu tidak perlu kerana perhimpunan tersebut telah berjalan lancar, tertib dan aman.

geramm-logo“Kami beranggapan siasatan ini nanti (jika ada) berdiri atas alasan teknikal yang remeh dan longgar,” kata GERAMM.

GERAMM menegaskan semula pendirian itu sebagai reaksi kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan polis akan menyiasat Protes Pensil Merah.

“GERAMM mengulangi pendirian bahawa alasan polis itu hanyalah hujah teknikal yang remeh dan longgar selepas perhimpunan itu berlangsung secara aman, tertib dan lancar.

“Malah, anggota polis juga ditempatkan di lokasi perhimpunan bagi memantau keadaan dan dapat mengesahkan keadaan aman ini,” kata kenyataan itu lagi.

GERAMM menjelaskan ucapan, slogan dan tindakan mereka pada perhimpunan Protes Pensel Merah itu bukan provokasi kepada sesiapa sebaliknya hanya menuntut lapan perkara berhubung kebebasan media.

“GERAMM beranggapan siasatan polis nanti (jika ada) tidak relevan dan kami langsung tidak ada niat di sepanjang kempen ini menimbulkan konflik dengan kerajaan, syarikat media dan orang ramai,” katanya.

GERAMM juga memaklumkan akan menyerahkan lapan tuntutan itu berserta petisyen yang ditandatangani oleh wartawan dan pensil merah yang dipatahkan sebagai simbolik protes kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

geramm-red-pencil9-1024x576 (4)(1)GERAMM akan terus berkempen mengutip tanda tangan (petition) bagi menyokong lapan tuntutan tersebut.

Untuk menyokong, sila kunjungi: (http://www.change.org/en-GB/petitions/wartawan-dan-pengamal-media-sila-tandatangan)

“Kami juga meneruskan kempen berpakaian merah pada setiap hari Jumaat bagi menunjukkan solidariti dengan akhbar mingguan The Heat yang masih digantung.

“Kami menyeru semua wartawan, pekerja syarikat media dan pembaca menyertai kempen berpakaian MERAH pada setiap Jumaat,” kata kenyataan itu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.