Categories
NASIONAL

SPAD digesa turun padang pantau kenaikan tambang bas sekolah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 JAN : Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) patut turun padang melihat realiti yang berlaku terhadap isu kenaikan tambang bas sekolah dengan tidak mengeluarkan kenyataan mereka tidak menerima laporan daripada ibu bapa.

Ketua Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata adalah menjadi tanggungjawab agensi itu untuk memantau tindakan segelintir pengusaha bas sekolah yang akan mengenakan kenaikan sehingga 40 peratus.

bas sekolahKatanya, SPAD sebelum ini hanya berbincang dengan pengusaha bas berhubung kadar baru itu, namun tidak pernah bertemu ibu bapa untuk mendengar keluhan dan pandangan mereka.

“Pernah ke SPAD berjumpa dengan ibu bapa? Adakah mereka rela dengan kenaikan tambang baru itu? Kebanyakan ibu bapa mengadu kepada kita bahawa mereka merasa tertekan dan tidak pernah diajak berbincang mengenai perkara berkenaan.

“Saya juga merasa hairan dengan pihak Kerajaan Pusat yang selalu memberi alasan kalau tiada laporan daripada pengguna maka kita tidak boleh ambil tindakan.

“Apa guna kita bayar gaji kepada kakitangan awam kalau mereka tidak boleh buat kerja dan hanya duduk menunggu laporan baru nak bertindak?” soalnya ketika dihubungi Selangor Kini.

yahya shari 01Mengulas lanjut, Yahya berkata kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menggunakan khidmat bas sedia ada untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Katanya pengusaha bas juga sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain untuk menaikkan tambang bas sekolah berikutan pelbagai kenaikan yang diumumkan kerajaan seperti bahan bakar.

“SPAD diseru supaya tidak meletakkan beban kepada ibu bapa kerana mereka tiada pilihan lain selain menggunakan khidmat bas sedia ada dengan kadar tambang baru.

“Ibu bapa bayar tambang bas bukan kerana rela, tetapi terpaksa bayar kerana mereka hendak anak mereka ke sekolah. Jadi jangan SPAD fikir ibu bapa setuju,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Pusat perlu memikirkan alternatif lain bagi menyelesaikan masalah itu seperti memberi subsidi diesel kepada pengusaha bas.

“Seandainya pengusaha bas ada alternatif untuk kurangkan kos, mereka bersedia untuk tetapkan kadar yuran yang rendah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.