Categories
BERITA UTAMA

Tiga acara pembuka tirai 2014, suatu post mortem – Fahmi Fadzil

Oleh Fahmi Fadzil

SEMINGGU telah berlalu sejak kita menyambut tahun baru.

Walaupun baru seminggu, namun rakyat telah menyaksikan tiga “acara” yang mungkin menetapkan ritma bagi tahun 2014: protes #turun di ambang tahun baru, protes #penselmerah oleh para pengamal media dan penyokong kebebasan media pada 4 Januari dan protes terhadap gereja di Klang oleh UMNO dan NGO yang sewaktu dengannya pada 5hb Januari.

Tiga ‘acara’ ini membawa makna, erti dan implikasi politik yang berbeza kepada senario politik Malaysia.

Maka, bukan sahaja wajib kita lakukan post-mortem untuk mengetahui mengapa kita menang atau kalah di mana-mana satu kerusi sewaktu PRU 13 yang lalu, kita wajib melakukan post-mortem buat ketiga-tiga ‘acara’ ini (dan yang lain, semestinya) agar dapat kita fahami kesannya serta bagaimana untuk ke depan.

#Turun

Selepas memperoleh 47 peratus undi popular dalam PRU 13, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  melakukan langkah drastik dengan menarik subsidi dan menaikkan harga petrol, gula, tarif elektrik, malah dikhabarkan harga tiket LRT dan monorel, kadar cukai pintu, dan kadar tol juga turut bakal dinaikkan.

Juga GST!

Rakyat jelas menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran Najib, dan protes #turun adalah manifestasi perasaan tersebut.

turunWalaupun pelbagai cara seperti berita (baca: propaganda) terjumpanya ‘bom tangan’ dan bilah-bilah parang serta komplot untuk ‘menggulingkan’ kerajaan telah diguna untuk ‘menasihati’ rakyat agar jangan turun ke Dataran Merdeka pada 31 Disember, begitu ramai rakyat Malaysia turun untuk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup.

Ada antara mereka yang dikatakan turut berguling-guling di padang Dataran, tapi tiada kerajaan yang digulingkan malam itu.

Yang jelas di sini rakyat marah kerana harga barang naik.

Putrajaya pula tidak memahami isi hati rakyat, malah tersilap langkah dalam pengumuman 11 langkah penjimatan belanja kerajaan – jumlah penjimatan tidak disebut, malah perkara besar yang sepatutnya dipotong seperti disebut Rafizi Ramli langsung tidak disentuh.

Apa yang sepatutnya kerajaan lakukan?

Pada hemat saya, kerajaan patut menangguhkan kenaikan harga gula, petrol, elektrik dll; memansuhkan PEMANDU; melaksanakan langkah tegas untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan.
Dengan kata lain: lakukan reformasi yang tulen dalam politik dan ekonomi negara.

‘Acara’ seperti #turun ini sudah pasti akan berulang, selagi hidup rakyat terbeban akibat dasar-dasar kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

#penselmerah

Penggantungan akhbar mingguan The Heat pada 19hb Disember 2013 telah mengejutkan warga pengamal media di Malaysia. Penggantungan yang dikaitkan dengan laporan mengenai perbelanjaan DS Najib dan isteri menjadi pemangkin yang menyatukan para pengamal media.

mediaSaya sendiri agak terkejut melihat begitu teman-teman wartawan yang biasanya sibuk menulis berita kini beramai-ramai mengangkat sepanduk, berarak dan mematahkan pensel merah di dataran menara jam di hadapan Bar Council, KL.

Walaupun pihak berkuasa tidak menghalang protes tersebut, kenyataan Ketua Polis KL yang dipetik Malaysiakini bahawa penganjur tidak memohon permit untuk protes adalah tidak tepat: kini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 permit tidak lagi diperlukan untuk berhimpun secara aman, PDRM cuma perlu dimaklumkan.

Isu permit ini sering dibangkitkan setiap kali perhimpunan diadakan.

Dan jika kerajaan tetap menggantung akhbar The Heat serta tidak menghiraukan desakan #penselmerah, kemungkinan besar satu lagi protes menuntut kebebasan media akan berlaku.

Persoalan menarik: Adakah kita akan menyaksikan ‘hartal’ para pengamal media satu hari nanti?

Protes UMNO

Apabila berlaku rampasan Bible oleh JAIS pada 2 Januari lalu, pelbagai pihak menyuarakan pendapat tentang isu dasar ‘kalimah Allah’ dan tindakan JAIS.

imagesWalaupun UMNO Selangor pada mulanya mengharamkan ahlinya dari mengadakan protes di hadapan gereja di Klang pada 5hb Januari, namun arahan tersebut (sengaja?) tidak dipatuhi apabila dilaporkan ahli UMNO bersama NGO-NGO berkumpul di sebuah padang berdekatan gereja tersebut.

Syukur tiada insiden keganasan berlaku.

Kini, ramai yang berkata Najib sendiri tidak mengendahkan langkah penyelesaian ’10 perkara’ yang dipersetujui Kabinet pasca serbuan JAIS ke atas premis DUMC pada Ogos 2011.

Malah beliau tidak menyanggah langsung Timbalan Perdana Menteri yang menyokong protes UMNO Selangor pada awalnya. Adakah ini susuk seorang negarawan?

Bagi rakyat Malaysia beragama Kristian, terutama yang berasal dari Sabah dan Sarawak, keadaan kelihatan semakin parah. Bagi puak politik perkauman, hujah agama seperti yang dibawa teman-teman dalam PAS tidak diendahkan.

Pendirian parti adalah jelas, seperti yang disebut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Januari lalu: jika benar pihak Bible Society of Malaysia melakukan satu kesalahan, JAIS sepatutnya memanggil mereka untuk memberikan penjelasan.

Tugas kita sebagai rakyat yang bersemangat reformis adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang dapat memperbaiki hubungan masyarakat, dan pada masa yang sama memastikan keadilan tertegak untuk semua pihak.

Semoga tahun 2014 akan membawa kita setapak lebih dekat menuju Malaysia yang lebih baik.

 

* Fahmi Fadzil ialah Pengarah Komunikasi PKR. Rencana ini pertama kali terbit dalam Suara Keadilan pada 7 Januari 2014

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.