Categories
SELANGOR

Bakat muda dipelawa sertai program skuasy MBPJ

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 FEB : Bakat-bakat muda yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan skuasy dipelawa untuk menyertai Program Pembangunan Skuasy Junior 2014 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Penyelaras program, Mary Ong, berkata MBPJ mensasarkan penyertaan daripada kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah untuk digilap bakatnya supaya boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi bergantung kepada komitmen dan prestasi pemain itu.

MBPJBeliau berkata kanak-kanak sekolah yang berminat untuk menghadiri program latihan hujung minggu berkenaan boleh mendaftar di Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya pada 15 Februari ini bermula jam 2.00 petang.

“Mereka perlu belajar asas permainan dan ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Berdasarkan kepada kemajuan mereka, kita akan memberi pendedahan dalam pertandingan dalaman terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ong berkata pemain harapan yang dikenalpasti daripada program ini akan diberi peluang untuk menyertai latihan bersama Persatuan Skuasy Selangor (SRAS).

“Mereka kemudiannya akan didedahkan dengan kejohanan kumpulan umur yang dianjurkan Persatuan Skuasy Malaysia,” katanya lagi.

skuasProgram Pembangunan Skuasy Junior ini dimulakan sejak tahun 1990 dan memainkan peranan besar bagi mempromosi pembangunan skuasy di peringkat negeri dan negara.

Program ini juga berjaya melahirkan beberapa pemain skuasy bertaraf antarabangsa seperti Micheal Soo, Kelvin Ho, Ong Beng Hee dan Tricia Chuah.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi penyelaras program di talian 017-8815066.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.