Categories
SELANGOR

Denggi: MPAJ catat penurunan kes, Hulu Langat tidak akan kompromi

Norhayati Umor

SHAH ALAM 14 FEB : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersukacita memaklumkan kes denggi mencatatkan penurunan setakat ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Husain, berkata penurunan itu adalah hasil penguatkuasaan berterusan kakitangan dan penguatkuasa MPAJ.

denggi edit“Sehingga kelmarin, hanya empat kes didaftarkan sepanjang 20 hari. Jika dibandingkan pada tahun 2013, jumlah kes denggi yang dilaporkan mencecah 49 kes sepanjang kiraan tempoh 108 hari,” katanya.

Beliau berkata selepas ini MPAJ akan melakukan pemeriksaan keatas 1,997 premis lagi bagi mencegah penularan wabak denggi. Setakat ini, MPAJ sudah memerika 782 premis dengan 14 kompaun telah dikeluarkan.

Selangor mencatatkan sebanyak 6,582 kes denggi yang direkodkan dari 1 Januari hingga semalam iaitu daerah Petaling sebanyak 2,493 kes diikuti Hulu Langat 1,849 kes dan Kelang dengan 836 kes termasuk empat kematian.

“Tahap kesedaran masyarakat masih rendah mengenai bahaya wabak denggi dan keadaan persekitaran kediaman yang tidak terurus memburukkan lagi keadaan,” kata Ketua Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Mohd Nasir Habib, dipetik Malaysia Gazzete selepas Operasi Ops Gempur Aedes 2014, baru-baru ini.

Beliau berkata sewajarnya semua pihak harus bekerjasama untuk membanteras penularan wabak denggi dengan berkesan.

“Kami akan bertindak lebih serius selepas ini tanpa sebarang kompromi dengan menguatkuasakan undang-undang kesihatan bagi mendidik masyarakat tempatan mengenai kesedaran menghapus tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Kompaun RM500 dikenakan dengan denda maksimum RM10,000 serta penjara jika terbukti bersalah menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri akan menggerakkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Khas’ ke Kajang bagi membasmi lokaliti pembiakan nyamuk Aedes di sana yang merupakan salah satu lokaliti hot spot di Selangor.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata kempen itu dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.