Categories
NASIONAL

Dr Agus: Sistem PBS bermasalah, beban bertambah, guru tertekan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 FEB: Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menyebabkan beban guru bertambah dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke adalam sistem komputer berpusat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof, berkata ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung.

PBSKatanya, keadaan itu menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

“Tanggungjawab guru dalam membangunkan generasi besar sekali. Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

“Namun, dengan terlaksananya sistem PBS, keseronokan guru berubah,” kata Dr Agus dalam entri Facebooknya.

Beliau berkata Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti dengan guru meminta mereka bersabar.

Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus YusoffDr Agus berkata terdapat banyak masalah yang dihadapi sistem PBS, antaranya sistem itu tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR.

“Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?,” katanya.

Beliau berkata sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang.

Katanya sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi.

“Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka,” katanya.

Tambah Dr Agus, sistem itu mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, berusaha, berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik.

“Ini kerana murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan. Ibu bapa tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen.

“Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?,” katanya.

Justeru katanya, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula.

“Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka, tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka,” kata Dr Agus.

Katanya, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar.

“Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.