Categories
SELANGOR

DUN Sementa tubuh Skuad Anti Dadah

Oleh : Lizawati Madfa

SABAK BERNAM 26 FEB : Dalam usaha memerangi gejala dadah di kalangan masyarakat terutamanya anak muda, DUN Sementa melangkah maju ke hadapan dengan memperkenalkan program khas iaitu Skuad Anti Dadah.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Adun Sementa berkata, program berkenaan merupakan salah satu daripada agenda yang dirangka di bawah program Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

DUN SementaKatanya, melalui Skuad Anti Dadah, mereka yang dikesan mempunyai masalah ketagihan akan dihantar ke pusat pemulihan Islam yang menggunakan kaedah rawatan rohaniah.

“Kalau kita tinjau masalah dadah ini, kebanyakan yang terlibat adalah anak-anak muda yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Kita mahu memberikan mereka yang bermasalah ini bahawa masih ada cahaya atau sinar untuk mereka memperbaiki diri demi masa depan yang cerah,” kata Daroyah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama lapan orang ketua kampung dan wakil pimpinan wanita dari DUN Sementa di Rumah Kebajikan Darul Islah di Sungai Air Tawar di sini.

Kata Daroyah, lawatan diadakan bagi meninjau modul rawatan yang digunakan di pusat pemulihan yang berusia hampir 20 tahun itu.

“Jika modul yang digunakan memberi manfaat kepada para penagih melalui Skuad Anti Dadah, kita mungkin akan cuba perkenalkan program ini ke seluruh DUN di Selangor,” katanya lagi yang turut menyampaikan sumbangan peribadi.

Sumbangan sama turut disampaikan wakil Daroyah, Mohd Azmi Mat Sangir kepada Pertubuhan Penawar Warisan Desa Manzil yang terletak di Sungai Panjang.

Beliau bagaimanapun tidak berkesempatan mengunjungi Desa Manzil kerana terpaksa bergegas ke Shah Alam bagi menghadiri satu mesyuarat penting bersama pimpinan kerajaan negeri.

Selain rombongan ketua kampung dan pimpinan wanita DUN Sementa, kunjungan di Desa Manzil turut disertai Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.