Categories
SELANGOR

Pertandingan Gasing Pangkah tarik penyertaan negeri lain

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 29 DIS: Pertandingan Gasing Pangkah Tradisional DUN Sementa berjaya menarik pasukan bukan sahaja negeri itu malah negeri lain antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Program, Mohd Aziz Samsudin berkata, seramai 30 pasukan berentap di pertandingan yang diadakan selama dua hari itu.

Katanya, pihaknya tidak menyangka pertandingan itu mendapat sambutan yang membanggakan walaupun hanya di peringkat DUN.

“Ini membuktikan permainan gasing pangkah ini masih wujud dan digemari di pelbagai peringkat usia.

“Pertandingan ini diadakan kali kedua, dan saya mahu ia terus dijadikan program tahunan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pertandingan Gasing Pangkah Tradisional Terbuka Selangor, di sini.

Mohd Aziz berkata, menariknya pada penganjuran tahun ini, peserta bukan sahaja terdiri daripada warga emas tetapi kanak-kanak.

“Kira tidak meletakkan kategori umur, sesiapa sahaja boleh menyertainya.

“Di kampung ini, kami melatih permainan ini kepada kanak-kanak, remaja mahupun belia yang berminat pada permainan ini sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan persatuan supaya menghidupkan kembali permainan berkenaan.

“Di Selangor, Kampung Bukit Kapar sahaja yang masih menghidupkan permainan ini, justeru, sudah tiba waktunya, permainan ini dimartabat ke peringkat lebih tinggi.

“Inisiatif ini juga supaya kita dapat menarik lebih ramai anak muda menyertai dan menghargai khazanah warisan yang kita ada,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

60 Keluarga DUN Sementa dibantu beli pakaian sambut Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 27 MEI: Seramai 60 keluarga dari seluruh DUN Sementa diraikan mereka dengan menerima kupon shopping bernilai RM150 untuk membeli pakaian dan kelengkapan raya tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Program ini merupakan usaha Pertubuhan Sahabat Penyayang Selangor (PSP) yang menganjurkan program mulia itu.

“Ia meraikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan membeli belah dalam program Shopping Sumbangan Kasih Aidilfitri Pertubuhan Sahabat Penyayang 2018 di Pasaraya Hari-Hari Pekan Kapar.

“Semoga usaha-usaha begini dapat diteruskan dan sambutan hari raya tahun ini lebih bermakna buat semua penerima,” katanya yang merasmikan program terbabit.

Sementara itu, Pengerusi PSP, Hariz Aizat Mahyudin berkata, sumbangan itu merupakan hasil daripada pihak individu dan syarikat yang prihatin menyalurkan bantuan.

Beliau berharap, dengan sumbangan pakaian itu sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyediakan keperluan sekali gus, dan bergembira ketika perayaan itu nanti.

“Satu lagi program yang mengukir senyuman juga bermanfaat kepada 60 buah keluarga yang memerlukan.

“Mereka dibawa membeli belah apa sahaja keperluan menjelang sambutan hari raya di Pasaraya Hari-Hari Pekan Kapar dengan nilai RM150,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

DUN Sementa mahu hidup kembali era permainan tradisional

OLEH SHEEDA FATHIL

BUKIT KAPAR, 1 MEI: Calon N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mahu era permainan tradisional dihidupkan kembali supaya tak lupus dek zaman.

Beliau berkata, permainan tradisional seharusnya diangkat kembali supaya generasi baru dapat mempraktikkan pada masa akan datang.

“Antara permainan tradisional yang akan kita hidupkan seperti gasing pangkah dan layang-layang serta jadikan ia sebagai salah satu aktiviti tradisi Selangor.

“Saya bangga apabila kampung saya sendiri iaitu Bukit Kapar masih mengetengahkan permainan tradisi sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Pertandingan Gasing Pangkah Kampung Bukit Kapar, di sini, semalam.

Dr Daroyah berkata, permainan tradisional gasing pangkah itu juga akan diangkat sebagai salah satu acara tahunan kalendar negeri Selangor pada masa akan datang.

“Sebenarnya jika kita lihat sambutan terhadap permainan gasing pangkah ini masih mendapat tempat dalam hati sesetengah peminatnya cuma mungkin promosi tidak menonjol kepada rakyat.

“Oleh itu, inilah masanya untuk kita hidupkan dan bongkar kembali tradisi permainan itu kepada umum,” katanya.

Terdahulu, Dr Daroyah yang juga calon N.43 DUN Sementa bertanding empat penjuru dengan pencabarnya iaitu Datuk Saroni Judi daripada Barisan Nasional (BN), Wan Hasrina Wan Hassan (PAS), Gandhi Nagamuthu Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Namun, sebelum ini, pada PRU13 Daroyah merupakan penyandang kerusi DUN Sementa menang dengan majoriti undi 7,846.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

119 ibu terima manfaat KISS fasa pertama

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 FEB: Seramai 119 ibu yang berkelayakan menerima manfaat menerusi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) DUN Sementa, semalam.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penyerahan itu merupakan pemberian fasa pertama di kawasan berkenaan.

Katanya, fasa kedua pemberian pula dijangkakan akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita berharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini dengan sepenuhnya.

“Kita juga berharap pemberian bantuan ini akan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, di sini.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa menzahirkan kegembiraan apabila program terbabit menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri itu.

Katanya, ia membuktikan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu tepat.

Terdahulu, Dr Daroyah berkata KISS bukan sahaja membantu ibu, ia juga satu bentuk penghormatan kepada mereka.

“Dengan pengenalan KISS ini kerajaan negeri memberi pengiktirafan dan penghormatan golongan ibu untuk membuat keputusan dan mempunyai kuasa membeli dalam urusan keperluan keluarga dan anak-anak,” katanya.

KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti kemudian.

KISS dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri melibatkan kewangan sebanyak RM72 juta.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

30 anak yatim DUN Sementa disantuni

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Seramai 30 anak yatim dan miskin yang terpilih diraikan dalam satu program membeli belah dengan kerjasama Pertubuhan Sahabat Penyayang semalam.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi inisiatif itu diambil bagi menyantuni anak yatim dan miskin di DUN Sementa.

Katanya mereka dibawa membeli belah barangan keperluan di Pasaraya Giant Klang Sentral.

“Program itu khusus diadakan membantu anak-anak yatim dan miskin bagi DUN Sementa.

“Tahniah juga kepada Pertubuhan Sahabat Penyayang atas keprihatinan dan inisiatif baik membantu mereka yang dalam kekurangan,” katanya.

Dalam program sama, peserta juga dibawa menjamu selera di restoran makanan segera selain menerima cenderahati berupa barangan alat tulis sebagai persiapan menjelang sesi persekolahan 2017.

=EZY=

Categories
SELANGOR

100 wanita DUN Sementa terima manfaat pemeriksaan kesihatan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 9 OKT: Seramai 100 wanita dari DUN Sementa mendapatkan manfaat pemeriksaan kesihatan melalui Program Skim Kesihatan Wanita atau MammoSel.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata seramai 60 wanita menerima pemeriksaan percuma anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita yang diadakan di KPJ Bukit Raja.

“Inisiatif itu membolehkan wanita menikmati program mamogram percuma secara lebih dekat.

“Ia juga sebagai langkah pencegahan awal daripada kanser payudara,” katanya dalam kenyataan.

Manakala sebelum itu, seramai 40 wanita dari DUN Sementa juga mengikuti Skim Kesihatan Wanita Mammogram di KPJ Bandar Baru Klang pada 1 Oktober lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

Masyarakat dijemput meriahkan 9 rumah terbuka di DUN Sementa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAPAR, 23 JULAI: Mengambil kesempatan sempena bulan Syawal ini, Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa menganjurkan sembilan rumah terbuka dengan melibatkan sembilan buah kampung di kawasan terbabit.

ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata majlis seumpama ini mampu merapatkan hubungan sesama masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

“Selepas ini kita ada lapan lagi rumah terbuka yang diadakan di kampung-kampung di DUN ini.

Saya harap penduduk kampung berkenaan datang beramai-ramai supaya kita boleh berkenal-kenal dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita,” kata Dr Daroyah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka DUN Sementa Bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kapar berhampiran Masjid Al-Ansar di sini, malam tadi.

Sementara itu, majlis rumah terbuka yang diadakan pada malam tadi berlangsung meriah apabila dihadiri hampir 1,000 hadirin sejak lewat petang semalam.

Selain memberi duit raya kepada kanak-kanak, turut diadakan penyerahan sumbangan ‘Food Stamp’ kepada 100 orang penerima yang hadir.

EZY

Categories
SELANGOR

Pembuangan sampah haram Dun Sementa menjadi-jadi

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 25 SEP: Sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang sampah secara haram di beberapa lokasi di Dun Sementa semakin agresif.

Sekurang-kurangnya dua lokasi baru pembuangan sampah haram dikenalpasti melibatkan kawasan di Lebuh Sungai Kapar Indah dan jeti nelayan Kampung Batu Empat di wilayah itu.

daroyah02Gambar yang dikongsikan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi di laman Facebooknya memperlihatkan timbunan sisa sampah bakar setinggi paras lutut dilonggokkan di Lebuh Sungai Kapar Indah.

Dr Daroyah percaya longgokan sampah didalangi pengusaha kereta potong hasil penemuan sisa sampah bakar berupa alat-alat ganti kenderaan.

“Kepada pengusaha dinasihatkan agar bertanggungjawab dan jangan hanya mementingkan keuntungan maksimum dengan memotong kos pembuangan sisa secara haram yang akhirnya akan memberi masalah kepada orang lain seperti pencemaran selain menyusahkan kerja pihak berkuasa tempatan untuk membersihkannya berulang kali,” katanya.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memanggil pengusaha-pengusaha kereta potong untuk berdialog dan sesi taklimat demi memastikan masalah ini dapat diselesaikan

daroyah03Manakala di Kampung Batu Empat, timbunan sampah dari pelbagai jenis material tinggi membukit hingga menjejaskan periuk nasi nelayan.

Selangor Kini difahamkan, timbunan sampah turut dibakar sekaligus mencemar persekitaran setempat dengan bau busuk dan asap tebal.

“Lebih menyedihkan ia merosakan ekosistem setempat terutamanya nelayan yang menjadikan hasil laut sebagai sumber pendapatan mereka.

“Sampel kualiti paras pencemaran yang diambil dari kawasan itu akan dibawa ke makmal untuk dikaji sama ada mengandungi sisa toksik yang membahayakan kesihatan,” jelasnya.

Selain pemantauan berterusan, Dr Daroyah mendesak MPK mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera supaya kejadian sebegini tidak berulang di masa hadapan.

Sebelum ini, Dr Daroyah telah meninjau lokasi pembuangan dan pembakaran sampah haram di Kampung Batu Empat bersama Pasukan Pantas MPK dan petugas Jabatan Alam Sekitar Selangor sejurus menerima aduan penduduk setempat.

HM

DUN Sementa tubuh skuad anti dadah

Dalam usaha memerangi gejala dadah di kalangan masyarakat terutamanya anak muda, DUN Sementa melangkah maju ke hadapan dengan memperkenalkan program khas iaitu Skuad Anti Dadah.

Categories
SELANGOR

DUN Sementa tubuh Skuad Anti Dadah

Oleh : Lizawati Madfa

SABAK BERNAM 26 FEB : Dalam usaha memerangi gejala dadah di kalangan masyarakat terutamanya anak muda, DUN Sementa melangkah maju ke hadapan dengan memperkenalkan program khas iaitu Skuad Anti Dadah.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Adun Sementa berkata, program berkenaan merupakan salah satu daripada agenda yang dirangka di bawah program Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

DUN SementaKatanya, melalui Skuad Anti Dadah, mereka yang dikesan mempunyai masalah ketagihan akan dihantar ke pusat pemulihan Islam yang menggunakan kaedah rawatan rohaniah.

“Kalau kita tinjau masalah dadah ini, kebanyakan yang terlibat adalah anak-anak muda yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Kita mahu memberikan mereka yang bermasalah ini bahawa masih ada cahaya atau sinar untuk mereka memperbaiki diri demi masa depan yang cerah,” kata Daroyah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama lapan orang ketua kampung dan wakil pimpinan wanita dari DUN Sementa di Rumah Kebajikan Darul Islah di Sungai Air Tawar di sini.

Kata Daroyah, lawatan diadakan bagi meninjau modul rawatan yang digunakan di pusat pemulihan yang berusia hampir 20 tahun itu.

“Jika modul yang digunakan memberi manfaat kepada para penagih melalui Skuad Anti Dadah, kita mungkin akan cuba perkenalkan program ini ke seluruh DUN di Selangor,” katanya lagi yang turut menyampaikan sumbangan peribadi.

Sumbangan sama turut disampaikan wakil Daroyah, Mohd Azmi Mat Sangir kepada Pertubuhan Penawar Warisan Desa Manzil yang terletak di Sungai Panjang.

Beliau bagaimanapun tidak berkesempatan mengunjungi Desa Manzil kerana terpaksa bergegas ke Shah Alam bagi menghadiri satu mesyuarat penting bersama pimpinan kerajaan negeri.

Selain rombongan ketua kampung dan pimpinan wanita DUN Sementa, kunjungan di Desa Manzil turut disertai Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

EZY

Categories
SELANGOR

DUN Sementa anjur Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang

Oleh: Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 19 DIS : Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang bakal dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sementa pada 28 Disember depan sebagai platform untuk memperluaskan jaringan perniagaan di kalangan usahawan tempatan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata penganjuran karnival berkenaan adalah bagi menggalakkan dan memberi pendedahan kepada masyarakat untuk memilih bidang keusahawan sebagai pilihan kerjaya utama.

daroyahKatanya sehingga kini, ia berjaya menarik minat lebih 100 usahawan dari seluruh Selangor untuk menyertai karnival ini dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

“Usaha ini jelas membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam memartabatkan sektor keusahawanan sebagai salah satu bidang yang penting dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini,semalam.

Daroyah berkata kira-kira 30 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sudah memberi persetujuan untuk memeriahkan karnival tersebut setakat ini yang bakal dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, katanya pengujung yang hadir juga bakal dilengkapi dengan kemudahan wifi untuk melayari internet secara percuma bagi mencari ilmu dan maklumat.

“Dengan itu, saya berbesar hati menjemput semua rakyat Selangor untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan karnival ini,” katanya lagi.

Karnival yang berlangsung selama dua hari di Dewan Taman Seri Kerayong itu akan dipenuhi pelbagai aktiviti bermanfaat yang diyakini mampu menarik minat ribuan pengunjung untuk menghadirinya.

Antaranya, Kayuhan Jantungku sejauh 28 kilometer mengelilingi Dun Sementa, pertunjukan seni silat, pertandingan bubur lambuk antara kampung, pertandingan futsal, pertandingan bola jaring terbuka Selangor dan sebagainya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

350 penduduk Sementa terima baucer Jom Shopping

Jom Shopping Deepavali

KLANG 20 OKTOBER : Seramai 350 penduduk di Dun Sementa menerima bantuan baucer Jom Shopping Deepavali, di pasaraya Econsave Persiaran Hamzah Alang, di sini.

Program terbabit dilaksanakan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut bulan depan yang merupakan kesinambungan program Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Rata-rata penerima teruja dan gembira dengan pemberian daripada Kerajaan Negeri itu.

Penerima, K.Kanniama, 51, berkata pemberian itu dapat menampung perbelanjaan dapur semasa perayaan.

“Saya ini daripada keluarga yang susah, kesihatan pun tidak begitu memuaskan, jadi saya sangat-sangat berterima kasih,” katanya ketika ditemui.

Bagi P.Alaki, 55, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berusaha membantu golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun dengan jumlah macam sedikit, tapi sekurang-kurangnya kami sekeluarga gembira dengan pemberian ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata pihaknya bercadang untuk meminta baucer lebih daripada Kerajaan Negeri ekoran permintaan yang tinggi.

“Kawasan saya merupakan kawasan India yang ramai dan juga ramai yang berpendapatan rendah. Ramai yang memohon, kami terpaksa memilih sedangkan ramai yang layak.

“Jadi, saya akan panjangkan perkara ini sebelum Deepavali. Mungkin kita boleh gunakan baucer daripada Dun yang tidak habis menggunakan pemberian ini,” katanya.