Categories
SELANGOR

Exco : Elak pembakaran terbuka jejas kesihatan

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 12 FEB : Kerajaan Negeri menyeru orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan berjerebu semasa cuaca panas yang melanda negara ketika ini semakin buruk.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata pembakaran terbuka bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan suhu panas tetapi juga kejadian jerebu yang menjejaskan kesihatan.

DSC_1839“Kejadian pembakaran terbuka ini boleh berlaku sama ada secara sengaja, kecuaian atau tidak sengaja.

“Bagaimanapun, saya harap orang ramai cuba elakkan pembakaran terbuka ini sewaktu menguruskan sampah termasuk sampah kebun, pembersihan tanah dan sebagainya kerana ia tidak dibenarkan,” tegas Elizabeth dalam sidang media Mesyuarat Exco di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Sesiapa yang tertangkap dan didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun,” katanya lagi.

Untuk bulan Februari ini sahaja, terdapat 62 kes pembakaran terbuka di tujuh daerah dilaporkan di seluruh Selangor dengan 15 kes berjaya diselesaikan sementara 47 kes lagi masih belum diselesaikan.

Kes pembakaran terbuka ini paling banyak dilaporkan di Klang dengan 25 kes diikuti daerah Petaling (10 kes), Sepang dan Hulu Langat dengan 8 kes masing-masing, Hulu Selangor dan Gombak (5 kes) dan Kuala Langat (1).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.