Categories
SELANGOR

MB: Program pembangunan usahawan Selangor diperkasa

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 12 FEB : Kerajaan Negeri menerusi Program Pembangunan Usahawan akan memperkenalkan program sewa beli alatan atau kenderaan sebagai pakej pemerkasaan usahawan di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri komited mengerakkan posisi usahawan ke arah yang lebih cemerlang menerusi pelbagai program yang dirancang tahun ini.

pic- SKIMSEL&MIMBAR“Program SKIMSEL (Skim Mikrokredit Selangor) adalah asasnya, menerusi SKIMSEL kita berjaya melahirkan usahawan.

“Kita salurkan bantuan sewa beli alatan atau kenderaan dalam memastikan mereka mampu memanjangkan perniagaan mereka,” katanya.

Kata Abdul Khalid, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta bagi pelaksanaan program itu.

Jelasnya, menerusi program tersebut usahawan layak boleh memohon untuk menyewa atau membuat pembiayaan untuk memiliki kenderaan atau peralatan perniagaan.

“Untuk program ini, Usahawan yang mempunyai rekod berdaftar dibawah SKIMSEL akan diberi keutamaan.

“Dengan cara itu, kelangsungan perniagaan mereka bukan sahaja dapat dipanjangkan. Malah, diharapkan kejayaan perniagaan mereka akan membuka peluang yang lebih banyak kepada penduduk setempat,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Ahli Pemegang Amanah Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor, di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Hadir sama Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Puan Sri Salbiah Tunut dan Pengerusi SKIMSEl, Dr Abdul Rani Osman.

Majlis ramah mesra anjuran SKIMSEL itu dihadiri 46 Pewakilan Sadiq (Peserta SKIMSEL) seluruh Selangor.

Seusai merasmikan majlis tersebut, Abdul Khalid menyampaikan anugerah Nadi Terbaik kepada Yayasan Nur Iman kampung Melayu Subang (Blok Petaling) dan Yayasan Solihin Al-Hafiz Kampung Tengah Sabak Bernam (Blok Sabak). Masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM500.

Untuk rekod, sepanjang tiga tahun beroperasi, SKIMSEL berjaya memberi pembiayaan sejumlah RM 61,657,650 kepada lebih 8,396 sadiq.

Hasil pembiayaan tersebut menyaksikan peningkatan pendapatan sadiq meningkat kepada RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.