Categories
SELANGOR

Exco: Isu denggi, Menteri jangan ‘bermulut celupar’

SHAH ALAM 26 FEB : Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani kes denggi di Selangor menunjukkan beliau sebenarnya seorang ‘menteri mulut celupar’.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata sebagai seorang menteri, Subramaniam tidak seharusnya sewenang-wenangnya membuat tuduhan.

aedes-albopictus[1]Katanya, pihak kementerian sendiri sebenarnya bertindak tidak peka dan tidak pernah mengemaskini angka sebenar yang direkodkan berhubung kes denggi, hingga ianya mencapai tahap membimbangkan.

“Kementerian hanya memaklumkan kepada kami apabila ianya hampir 1,200 kes pada Oktober tahun lalu, mengapa tidak maklum lebih awal?

“Bagaimanapun, selepas dimaklumkan, Kerajaan Negeri sudah mengambil tindakan dalam menangani kes denggi di Selangor,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Baru-baru ini, Subramaniam mendakwa Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal membasmi kes denggi di Selangor sehingga ia menular dengan cepat.

Subramaniam turut mendakwa Kerajaan Negeri gagal memberi kerjasama menghadiri mesyuarat membincangkan kes denggi dan sekadar menghantar pegawai berpangkat rendah yang tidak mempunyai kuasa membuat keputusan.

“Bila masa kami dipanggil (pihak kementerian)? Saya dan setiap yang di pertua daerah tidak pernah menerima sebarang surat bagi membincangkan keadaan ini.

“Jadi jangan pula hendak salahkan Kerajaan Negeri,” bidasnya.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, sejak dimaklumkan pada Oktober tahun lalu, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat dengan setiap PBT pada setiap minggu bagi mengemaskini angka sebenar kes denggi.

“Kita juga menjalankan kempen dan program pembasmian aedes di setiap PBT dan sekolah bagi menangani kes denggi daripada terus meningkat.

“Selangor mempunyai 5.6 juta penduduk dan ini merupakan salah satu sebab Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi di negara ini,” katanya lagi dipetik Sinar Harian.

Sehingga 22 Februari 2014, Selangor mencatatkan 11 kematian akibat denggi sementara daerah Petaling mencatatkan kes tertinggi iaitu 8, 936 kes.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.