Categories
PBT SELANGOR

Kilang ‘biak’ aedes di Gombak diarah tutup dua minggu

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebuah kilang di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak diarah tutup selama 14 hari selepas dikesan menjadi sarang pembiakan aedes.

Penutupan berkuat kuasa 1 hingga 14 November bagi membolehkan kerja pembersihan sekitar premis Teknitek Services (M) Sdn Bhd, maklum pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mohamad Zin Masoad berkata pemeriksaan pada 28 Oktober lalu mengecam larva nyamuk spesies aedes dari premis terbabit yang boleh mengakibatkan denggi.

“Unit kawalan denggi MPS akan memantau secara berkala sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pemilik mematuhi syarat ditetapkan sebelum premis dibenarkan beroperasi semula,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 8, Sub Seksyen 3(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.

Sementara itu, Mohamad Zin berkata sebanyak 1,695 kes denggi direkodkan di Selayang sejak Januari hingga September lalu membabitkan satu kematian.

Katanya, tiga titik panas kes denggi turut dikenal pasti di seluruh kawasan pentadbiran MPS sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang ramai dinasihat meningkatkan tahap kebersihan dan aktiviti pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat berpotensi pembiakan aedes ditinggalkan di persekitaran masing-masing,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Biak Aedes, pemilik pasar raya kena kompuan RM1,500

SHAH ALAM, 19 JULAI : Pemilik sebuah pasar raya di Sri Gombak, Batu Caves dikompaun RM1,500 kerana membiarkan persekitaran premis menjadi tempat pembiakan Aedes.

Pengarah jabatan korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata dalam operasi pada 15 Julai lalu, premis terbabit juga diarah menghentikan operasi selama dua minggu atas kesalahan berkenaan.

Menurut Mohd Zin Masoad pemilik dikenakan satu notis kacau ganggu sebanyak RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 Seksyen 27(2) dan kompaun RM500 di bawah Seksyen 34(1).

“Penguat kuasa juga mendapati premis berkenaan tidak mematuhi tahap kebersihan yang digariskan sehingga terdapat tempat pembiakan tikus di kawasan penyimpanan dan penyusunan barang,” katanya dalam kenyataan.

Justeru Mohd Zin mengingatkan pemilik premis dan masyarakat di seluruh pentadbiran Selayang agar tidak leka dan menjaga kebersihan persekitaran dengan mengamalkan langkah 10 minit bagi menghapus tempat pembiakan Aedes.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes denggi sekitar Petaling Jaya turun 80 peratus

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah kes demam denggi sekitar Petaling Jaya susut sehingga 80 peratus membabitkan 386 kes setakat 8 Mei.

Tahun lalu, kawasan tersebut merekodkan 1,976 kes dalam tempoh sama.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata banyak tempat berisiko pembiakan nyamuk Aedes dikesan terutama persekitaran rumah.

“Banyak bekas-bekas botol atau takungan air tidak dilupuskan atau disusun dengan teratur sehingga menyebabkan berlakunya takungan air hujan.

“Keadaan ini akan menambah risiko kepada penduduk ekoran pembiakan nyamuk Aedes yang tidak terkawal,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MBPJ mengajak orang ramai meluangkan masa selama 10 minit untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan Aedes.

“Atas faktor cuaca tidak menentu, MBPJ khuatir pembiakan Aedes mudah berlaku di kediaman atau tempat kerja jika pembersihan terutama bekas takungan air tidak dilakukan,” kata PBT itu.

Berikut saranan MBPJ untuk mencegah pembiakan Aedes:

  • Memeriksa dan melupuskan bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes secara teratur
  • Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air yang tidak dapat dilupuskan
  • Menggunakan penghalau nyamuk semasa menjalankan akitiviti luar ruamah terutama pada awal pagi dan lewat petang
  • Menyembur aerosol dalam rumah pada lewat senja bagi membunuh nyamuk dewasa
Categories
AGENSI SELANGOR

Kes denggi di Selangor turun 38 peratus, terus jaga kebersihan

SHAH ALAM, 22 DIS: Kes denggi di Selangor menurun kepada 43,941 setakat minggu ke-51 tahun ini berbanding 70,869 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 38 peratus (26,928 kes) dengan 133 kawasan wabak dikesan.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,278 kes, Hulu Langat (9,634 kes), Klang (6,896 kes), Gombak (6,532 kes) dan Sepang (2,373 kes).

“Sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 32.7 peratus berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan semalam.

Justeru, beliau sarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada ancaman denggi, ambil langkah pencegahan

SHEEDA FATHIL, 21 APRIL: Masyarakat dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan terhadap jangkitan denggi ketika negara kini dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebersihan persekitaran sama ada di kediaman perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada Aedes.

“Denggi masih menular dalam komuniti kita. Kita sarankan masyarakat buat pembersihan di perumahan dan persekitaran.

“Jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat, mereka yang pulang ke pejabat nanti pastikan persekitaran bersih daripada jangkitan atau pembiakan nyamuk di kawasan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian sejak Januari hingga 12 April lalu di Selangor.

Dr Siti Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.

Malah, beliau berkata negeri itu turut mencatat tujuh kes kematian akibat denggi sepanjang tempoh PKP.

Categories
SELANGOR

Bebas Aedes: Selangor lancar gotong-royong mega

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan Gotong-Royong Mega Selangor Bebas Aedes menerusi program Cari dan Musnah Aedes, pada 14 Julai.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program berlangsung sepanjang Julai itu bertujuan membanteras kes denggi yang semakin berleluasa di negeri ini.

Katanya, program itu juga sempena Hari Denggi Asean peringkat Selangor yang dilancarkan semasa Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness), pada 6 Julai lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor terutama kepada anda yang berada di lokaliti hotspot wabak denggi supaya mengambil langkah proaktif.

“Pencegahan sewajarnya perlu dilakukan supaya kita dapat bersama memastikan wabak ini tidak akan menular dengan lebih parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Cari dan Musnah Aedes Selangor 2019 di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, seluruh badan, agensi kerajaan dan pimpinan masyarakat tempatan seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kampung lokaliti Combi di setiap daerah diminta untuk turut serta dalam program terbabit.

“Menerusi program ini terdapat beberapa panduan dan kaedah pelaksanaan antaranya orang ramai perlu mencari dan memusnahkan tempat takungan air yang berpotensi menjadi pembiakan Aedes.

“Membersihkan kawasan dalam rumah seperti bekas atau barang yang menakung air terutama di lorong belakang, kebun kecil atau tapak semaian dan tempat letak kereta.

“Selain itu, fokus pembersihan sampah atau bekas plastik di kawasan tempat tumpuan ramai seperti padang permainan dewan orang ramai, tapak pasar malam, kawasan rumah ibadat supaya tidak menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

KKM guna nyamuk Aedes mengandungi Wolbachia tangani denggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi bakteria Wolbachia secara berperingkat di seluruh negara bagi mengawal dan menangani kes denggi yang meningkat saban tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah ini susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti kes denggi di Selangor sejak Mac 2017 yang menunjukkan penurunan kes sebanyak 50 hingga 80 peratus setiap lokaliti.

Katanya, langkah itu menjadikan Malaysia negara kedua di dunia selepas Australia menggunakan kaedah berkenaan sebagai pencegahan dan kawalan kes denggi.

“Pelaksanaan kaedah ini dipilih bagi menangani beban kes denggi dan mengurangkan kebergantungan kepada kawalan nyamuk dengan menggunakan racun serangga,” katanya selepas majlis pelepasan telur nyamuk aedes mengandungi Wolbachia di Apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada 2019, sebanyak 62,421 kes denggi dilaporkan dari 1 Januari hingga 29 Jun, berbanding 32,435 kes bagi tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 29,986 kes (92.4 peratus).

“Jumlah kumulatif kematian denggi bagi tempoh sama tahun ini adalah sebanyak 93 kematian, berbanding 53 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Dzulkefly berkata sebanyak 180 bekas yang setiap satunya mempunyai 150 bekas kecil berisi telur nyamuk mengandungi Wolbachia itu akan dibekalkan kepada 11 lokaliti terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada fasa pertama program itu.

“Pelaksanaan fasa kedua dan seterusnya akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat mulai Sept ini,” katanya.

Dzulkefly menegaskan masyarakat hendaklah menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran dan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan tumpuan pembersihan sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu bagi menangani kes denggi.

Mengulas kematian seorang wanita akibat penyakit asthma di Pasir Gudang semalam, Dzulkefly berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan Johor sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kenal pasti pemilik tanah penyumbang pembiakan Aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri akan mula melaksakan aktiviti penguatkuasaan membabitkan sumber dan aset terbiar sehingga menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sehingga kini terdapat 77 kawasan tanah terbiar diberikan notis arahan pembersihan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.

“Oleh itu, kita mahu mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk Pejabat Tanah dan Daerah setiap kawasan membantu mencari hak milik supaya perkara ini selesai.

“Kes demam denggi yang meningkat amat membimbangkan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan.

“Pada masa sama, kita juga akan melaksanakan program cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk di perumahan atau kawasan yang mengumpul air.

“Kita mahu musnahkan semua tetapi ini mesti dilakukan secara konsisten bukan tindakan sekali sekala sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, terdapat tujuh lokasi antaranya Dataran Automobil Seksyen 15 menjadi lokasi tumpuan pembiakan.

“Tujuh kawasan ini akan dilepaskan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Kawasan warga asing agak sukar untuk kita memberi pendidikan kepada mereka, jadi dalam perancangan kita juga untuk mengadakan program dengan majikan bagi memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Februari lalu, bagi mengawal penularan wabak denggi di Selangor, Kerajaan Negeri melaksanakan program ‘Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters’.

Program itu bagi memastikan pekerja mempunyai persekitaran selamat, manakala majikan mendapat pekerja yang sihat dengan peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Denggi: Selangor tegas kenakan tindakan saman – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri mula mengenakan tindakan saman kepada pemilik premis tanah atau individu yang culas menjaga persekitaran sehingga menyebabkan penularan wabak Aedes di kawasan masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor adalah negeri yang sentiasa mencatatkan kumulatif kes denggi tertinggi disebabkan faktor populasi penduduk yang sangat padat.

Bagaimanapun, katanya, sebagai Kerajaan Negeri, ia tidak boleh selama-lamanya menjadikan hal itu sebagai alasan untuk Selangor sentiasa menjadi ‘juara’ dalam kes demam denggi.

“Sesuai arus pembangunan sama ada sosial atau fizikal kita menghadapi cabaran menangani wabak ini lebih lagi ia mencatatkan kumulatif kes tertinggi.

“Oleh itu, kita perlu menangani kerancakan ini dengan mengubah cara tindakan. Jika dahulu kita memulakan langkah kesedaran dan ganjaran namun, kita kali ini kita perlu mengambil tindakan lebih tegas.

“Langkah pencegahan dan kawalan pembiakan juga diubah dengan tidak lagi hanya mengharapkan tindakan semburan asap seperti 10 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri serius dan tidak sambil lewa dalam melaksanakan usaha pencegahan pembiakan nyamuk berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan memberi fokus dalam setiap aspek bermula tahun ini sehingga tahun hadapan untuk melaksanakan pelbagai perancangan.

“Kawasan rumah-rumah ibadat dan lokasi awam lain juga akan dititik berat dalam penguatkuasaan dan pemantauan,” katanya.

Untuk rekod, situasi denggi di Selangor meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu (29 Jun) iaitu sebanyak 35,544 kes berdaftar dengan mencatatkan 30 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu kira-kira 18,249 kes.

Ia menunjukkan peningkatan 17,295 kes iaitu 94.77 peratus.

Categories
SELANGOR

MBSA seru tingkat kebersihan di musim perayaan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 28 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk mempertingkatkan kebersihan di musim perayaan bagi mengelak kes demam denggi meningkat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menjangkaan kadar peningkatan kes deman denggi itu bakal meningkat selepas musim perayaan berdasarkan daripada pengalaman lepas.

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat supaya meluangkan masa 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan dalam dan luar premis masing-masing dibersihkan.

“Bagi mengelak pembiakan Aedes beberapa langkah pencegahan boleh diambil seperti menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah; memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak membiak jentik-jentik aedes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, MBSA turut menasihatkan orang ramai supaya meletak ubat pembunuh jentik-jentik (abate) ke dalam bekas yang boleh menampung air seperti tangki air, kolah, pasu bunga dan menghapuskan tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polistirena, botol tayar serta buruk yang boleh menakung air.

“orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital jika mengesyaki dijangkiti demam denggi,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Bilik Gerakan PANTAS, MBSA akan beroperasi 24 jam walaupun semasa cuti perayaan dan orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan bencana seperti banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh boleh menghubungi di talian 03-55105811.

 

Categories
NASIONAL

Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat

GEORGE TOWN, 21 MEI: Jumlah kes demam denggi di Pulau Pinang terus mencatatkan peningkatan kepada 2,598 kes sejak 1 Jan sehingga 18 Mei dengan lapan kematian berbanding cuma dua kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah itu merupakan penambahan 1,140 kes termasuk 91 kes baharu yang dilaporkan minggu lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan negeri jumlah kes baharu yang dicatatkan di antara 12 hingga 18 Mei lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 37.8 peratus atau 25 kes.

“Terdapat satu lokaliti wabak tak terkawal iaitu di Inderawasih Lorong dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT) manakala dua lokaliti hotspot iaitu di Flat TPJ Telok Indah E2 dan Inderawasih Persiaran 2 dari daerah sama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, terdapat 17 lokaliti wabak terkawal yang terdiri dari tiga dalam daerah Timur Laut, Barat Daya (tiga), SPT (sembilan) dan Seberang Perai Selatan (dua).

Jabatan Kesihatan turut menasihatkan orang ramai menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing bagi menghapuskan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, orang ramai turut disaran menggunakan ‘repellant’ atau baju dan seluar panjang semasa menjalankan aktiviti luar, melakukan semburan aerosol di dalam rumah dan memasang skrin pada tingkap bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Aset kerajaan tidak terkecuali disaman jika biak Aedes

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 4 MEI: Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak dikecualikan daripada tindakan saman jika didapati mempunyai tempat pembiakan Aedes dalam kawasan aset masing-masing.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, amalan meletakkan tanggungjawab membasmi pembiakan Aedes dalam kawasan aset Kerajaan Persekutuan kepada Pihak Berkuasa Tempatan perlu dihentikan.

“Kita kembangkan pencegahan denggi meletakkan ketua jabatan tidak kira persekutuan atau negeri untuk bertanggungjawab kepada pelupusan tapak pembiakan nyamuk Aedes di aset mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, pihak bertanggungjawab akan diberikan tiga notis sebelum dikenakan tindakan saman jika masalah sama terus berulang.

Bagaimanapun, pada masa ini beliau memberi peluang kepada kesemua agensi negeri dan persekutuan di Selangor untuk memastikan kawasan masing-masing sentiasa bersih bebas Aedes.