Categories
SELANGOR

MB : Kajang perintis projek, tingkat pendapatan masyarakat desa

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM50 juta bagi membiayai projek pembangunan luar bandar dengan memfokuskan projek yang mampu menambah pendapatan masyarakat di kampung negeri itu.

Projek yang dilancarkan pada September tahun lalu itu dimulakan dengan membentuk kumpulan pembuat kertas kerja di kalangan penduduk kampung tradisi, kampung baru dan kampung komuniti India dengan diketuai ketua kampung masing-masing serta dipantau penghulu dan agensi kerajaan negeri.

Program ‘perah otak’ bagi merangka kertas kerja itu diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan diikuti sesi pembentangan kertas kerja bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DSC_0137Abdul Khalid berkata, Kajang dipilih sebagai perintis kepada pelaksanaan projek meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar bagi menjayakan rancangan berkenaan.

“Kerajaan negeri berharap projek yang diusahakan masyarakat kampung sendiri boleh dibanggakan semua. Saya bersama Exco dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan turun ke Kajang untuk melihat perkembangan projek ini,” katanya pada pertemuan bersama Ketua Kampung seluruh Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini, semalam.

Di samping meningkatkan pendapatan menerusi projek terbabit, kerajaan negeri turut memilih Kajang sebagai perintis dalam usaha memberikan latihan kemahiran kepada belia luar bandar supaya mereka memperoleh pendapatan melepasi paras kemiskinan.

DSC_0123“Masih terdapat belia di kampung tidak mendapat perkerjaan yang baik disebabkan kelulusan akademik atau peluang pekerjaan yang terbatas. Oleh sebab itu, saya minta setiap ketua kampung beri lima nama belia berusia 27 tahun ke bawah untuk kita sediakan latihan kemahiran seperti jurupaip dan juruelektrik.

“Bila lulus nanti, mereka ini akan ditempatkan di pangsapuri Selangor yang memerlukan tenaga kerja dengan pendapatan tidak kurang RM1,500 sebulan. Kita harap usaha ini boleh melahirkan tenaga kerja mahir yang laku di mana sahaja,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.