Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Selangor mula bina lebih 2,000 unit Rumah Mampu Milik Rumah Selangorku

Kerajaan Selangor menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memulakan projek Perumahan Mampu Milik atau dikenali Rumah Selangorku untuk memberi peluang rakyat negeri ini khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah kediaman.

Majlis Pecah Tanah bagi projek perintis ini akan diadakan pada 22 Februari dan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan dalam tempoh enam bulan kemudian selepas kelulusan pembangunan serta perlantikan kontraktor selesai.

Rumah Selangorku ini akan dibangunkan di sebahagian tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) yang berkeluasan 28 hektar di Sungai Sering, Hulu Klang, memandangkan permintaan untuk rumah mampu milik amat tinggi di kawasan berkenaan.

Lebih 2,000 unit rumah akan dibina menerusi projek perintis ini yang terdiri daripada tiga jenis keluasan iaitu 800 kaki persegi, 900 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi.

Projek Perintis Rumah Selangorku ini mengandungi lapan blok yang akan dibina dalam empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun setengah.

Kos keseluruhan Projek Perintis Rumah Selangorku ini dianggarkan berjumlah RM591 juta termasuk kos membina jalan keluar masuk, menaik taraf surau menjadi masjid, membina sistem pembentungan dan naik taraf sistem perpaipan.

Pembinaan Rumah Selangorku ini akan mengguna pakai kaedah Industrial Building System (Pre-Fabricated – IBS) atau pasang siap bagi mempercepatkan tempoh pembinaan berbanding kaedah konvensional.

Projek ini adalah sebahagian daripada 5,000 unit rumah mampu milik berkonsepkan pasang siap yang disasarkan dibina bagi tempoh 5 tahun sehingga 2018 daripada 35,000 unit yang disasarkan keseluruhannya.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menggunakan rizab tunai negeri bagi melaksanakan projek ini seperti yang telah diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 .

Peruntukkan tersebut sebagai Dana Pusingan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Selangor.

Pada masa sama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membina rumah mampu milik menerusi Program Pemilikan Ruman Idaman Negeri Selangor atau IDAMAN PKNS.

Projek perumahan mampu milik yang telah disiapkan PKNS ialah Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3, Bandar Baru Bangi manakala beberapa projek lagi dalam pelaksanaan dan perancangan.

Projek Perumahan Mampu Milik adalah hasil dasar jimat cermat serta perbelanjaan berhemah yang diamalkan Kerajaan Selangor dan hasil penjimatan ini diagihkan semula kepada rakyat selaras agenda Hasil Negeri Untuk Rakyat.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.