Categories
SELANGOR

MB: Selangor Bandar Selamat, 414 CCTV dipasang di 11 PBT

Oleh: Norhayati Umor

KLANG 17 FEB : Selaras dengan usaha menjadikan ‘Selangor Bandar Selamat’, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memasang sebanyak 414 Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan 22 bilik kawalan di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor.

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM6 juta setahun untuk perlaksanaan CCTV mengikut langkah sewa beli.

Abdul KhalidKatanya, Kerajaan Negeri percaya dengan penambahan CCTV itu, keadaan keselamatan akan terkawal dengan pemantauan yang lebih.

“Cara pemasangan dibuat secara sewa beli. Ia untuk kegunaan 20 tahun.

“Jadi sebanyak RM500,000 sebulan diperuntukkan, menjadikan RM6 juta setahun,” katanya dalam sidang media selepas majlis perlancaran itu, di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang, di sini.

Abdul Khalid berharap dengan adanya CCTV itu, ia berupaya mencegah insiden jenayah jalanan dan membantu PBT di dalam pemantauan aktiviti harian seperti pengurusan trafik, aktiviti penjaja dan kebersihan.

“Saya juga menyeru kepada PBT dan polis supaya memberikan kerjasama dan menyediakan pasukan kerja yang efisien dan bertanggungjawab bagi memantau bilik kawalan CCTV masing-masing,” katanya.

Sebanyak 60 CCTV dipasang di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kajang.

IMG_3655aManakala 50 CCTV di pasang di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Selain itu, sebanyak lapan unit CCTV di pasang di kawasan Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam.

Manakala, 10 unit CCTV di Majlis Daerah Kuala Langat.

414 CCTV itu sebagai tambahan CCTV yang dipasang oleh Kerajaan Pusat sebanyak 152 unit pada tahun 2010.

CCTV terbabit mempunyai kualiti terbaik dengan menggunakan sistem ‘fibre optic’ yang mampu memberikan visual yang jelas pada waktu siang dan mampu memantau pergerakan imej pada waktu malam walaupun pencahayaan yang minima.

Sistem itu juga mempunyai ciri terkini dengan keupayaan memaparkan imej dengan resolusi yang tinggi dan jelas pada paparan skrin bilik kawalan.

Selain itu, CCTV itu berupaya membuat pemantauan pusingan sebanyak 360 darjah serta membuat rakaman video bagi tempoh 45 hari secara berterusan.

Ia juga dilengkapi dengan pembesar suara atau ‘speaker di tiang-tiang berkenaan supaya PBT atau polis boleh membuat sebarang pengumuman apabila diperlukan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.