Categories
PBT SELANGOR

MPS lapor polis susulan CCTV rakam kecurian tong sampah

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat laporan polis berhubung kecurian tong sampah miliknya di Taman Desa Jaya, Kepong.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesan seorang individu melakukan kegiatan itu pada Isnin diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, maklum pengarah Jabatan Korporatnya.

Rakaman CCTV yang mengesan seorang individu mencuri tong sampah di Taman Desa Jaya, Kepong pada 1 November 2021. Foto MPS

“MPS amat kesal apabila hasil pemantauan CCTV yang dipasang, seorang individu didapati mencuri tong sampah milik MPS yang diletakkan untuk kegunaan orang awam.

“Kejadian dikesan berlaku pada jam 7 malam,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan.

Beliau menegaskan pemantauan aktiviti kecurian dan vandalisme terus dijalankan dan individu melakukan perbuatan tersebut akan diambil tindakan.

Mohamad Zin menambah MPS membelanjakan sebanyak RM130,000 untuk menggantikan tong sampah awam yang rosak dan hilang ekoran kegiatan terbabit.

“Semua kemudahan awam disediakan untuk kegunaan bersama dan orang ramai haruslah lebih bertanggungjawab agar ia dapat dimanfaatkan bersama,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK: Pemasangan CCTV pantau aktiviti buang sampah haram berkesan

SHAH ALAM, 13 OKT: Pemasangan 10 unit kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Kebun Nenas dan Jalan Papan menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram, kata Yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya memasang enam unit CCTV di Jalan Kebun dan selebihnya di Jalan Papan pada 18 Disember tahun lalu.

“Inisiatif ini untuk memantau aktiviti pembuangan sampah selain memastikan kebersihan dan keselesaan masyarakat terjamin sepanjang masa.

“Pemasangan CCTV ini berkesan apabila tiada tindakan sitaan kenderaan membuang sampah direkodkan sehingga September,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Fadzli memaklumkan selain CCTV, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran (JPP) juga menjalankan pemantauan dan membantu menganjurkan pelbagai aktiviti pencegahan bersama komuniti.

Pada 25 Oktober tahun lalu, MPK memaklumkan memasang peralatan tersebut bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram di Jalan Kebun Nenas.

Pemasangannya bagi memburu individu tidak bertanggungjawab selain mengelak kawasan terbabit dicemari sampah.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor peruntuk RM150,000 pasang CCTV di 15 pangsapuri kos rendah

AMPANG, 4 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,000 untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 15 pangsapuri kos rendah pada tahun ini bagi meningkatkan keselamatan penghuni.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata kemudahan bernilai RM10,000 bagi setiap perumahan itu dibuat melalui Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (Seroja).

Jelasnya, CCTV dipasang itu mempunyai pusingan 360 darjah dan boleh merakam dengan jelas bagi mengesan individu melakukan vandalisme serta jenayah.

“Di pangsapuri kos rendah keselamatan antara isu utama menjadi tumpuan Kerajaan Negeri dan ia termasuk pemasangan CCTV ini,” katanya selepas merasmikan ruang komunal Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya di sini hari ini.

Penolong Pegawai Tadbir Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Shahizam Sabri berkata sejak 2015 lebih 80 pangsapuri kos rendah dilengkapi CCTV di bawah inisiatif Seroja dengan perbelanjaan RM800,000.

Menurutnya, setiap pangsapuri akan menerima bantuan empat unit CCTV serta masing-masing seunit perakam dan monitor.

“Kita mengalu-alukan lebih banyak pangsapuri kos rendah memohon bagi membantu meningkatkan tahap keselamatannya.

“Mereka boleh memohon dengan pesuruhjaya bangunan (COB) pihak berkuasa tempatan yang akan menyalurkannya kepada kami bagi pertimbangan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang pasang CCTV, siar pengebumian jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya bagi membolehkan waris mangsa Covid-19 menyaksikan upacara pengebumian.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata proses berkenaan disiarkan secara langsung di Facebook majlis berkenaan sejak 7 Ogos dengan beberapa sesi siaran sehari.

Jelasnya, pemasangan dibuat selepas melihat ramai waris tidak boleh merentas negeri untuk melihat jenazah ahli keluarga buat kali terakhir.

“Hampir setiap hari kes kematian akibat wabak dilaporkan. Kehilangan orang tersayang pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja.

“Keluarga terpaksa menaruh sepenuh kepercayaan kepada pasukan perubatan untuk menyempurnakan pengebumian,” katanya menerusi perutusan mesyuarat ahli majlis semalam.

Menurutnya, setiap sesi mendapat tontonan antara 70 hingga 100 pelayar.

“Semoga usaha seperti ini dapat mengurangkan suasana pilu dan kesedihan kerana ahli keluarga berpeluang melihat rakaman perjalanan terakhir jenazah Covid-19,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Sebanyak 15 CCTV akan dipasang di Bandar Utama, atasi sampah haram

PETALING JAYA, 1 JULAI: Sebanyak RM50,000 diperuntuk untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 15 lokasi panas pembuangan sampah haram sekitar Bandar Utama, kata Ahli Dewan Negeri.

Jamaliah Jamaluddin berkata dana di bawah geran Taman Selamat Untuk Semua (TaSS) bertujuan mencegah sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa sesuka hati terutama di kawasan perumahan.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat kita untuk memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat terjamin sepanjang masa.

“Antara isunya adalah sampah dibuang oleh pemandu lori yang melalui kawasan perumahan selain sikap segelintir masyarakat yang melonggok sampah di lokasi haram,” katanya selepas meninjau CCTV di SS20 di hari ini.

Selain cadangan 15 CCTV itu yang akan dipasang secara berperingkat, Jamaliah turut menyumbang peruntukan peribadi untuk memasang CCTV di SS20 pada 31 Mei lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti 50 kawasan untuk pemasangan papan tanda amaran larangan membuang sampah.

“Kita harap semangat ‘kita jaga kita’ bukan diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melawan Covid-19 sahaja tetapi juga demi keselamatan dan ketenteraman kawasan setempat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis guna CCTV, dron perkukuh kawalan sempadan negara

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Polis memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain dron di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata pemasangan CCTV ketika ini sudah dilakukan namun ia terhad seperti di kawasan Padang Besar, Perlis yang jaraknya kira-kira enam kilometer sahaja.

Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan bagi meletakkan CCTV di kawasan-kawasan tertentu atau hotspot yang telah dikenal pasti memandangkan kos untuk meletakkan CCTV di sepanjang kawasan sempadan adalah tinggi.

“Sebenarnya ada (kawasan) yang telah dipasangkan CCTV yang hasilnya kita akan dapat sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (beberapa tahun lepas) menunjukkan gambar terdapat anggota keselamatan yang terlibat membantu penyeludup,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Abdul Rahim berkata dengan teknologi dron pula, pihaknya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia sebanyak satu batalion iaitu kira-kira 500 anggota dan tidak memerlukan sejumlah anggota yang ramai bagi menjaga serta mengawal sempadan negara.

“Dron akan terbang 24 jam dengan membuat kawalan keselamatan. Jadi, setiap apa yang berlaku, ia akan salurkan sebarang informasi kepada pusat gerakan untuk diambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, selain penggunaan dron dan CCTV, teknologi seperti penggunaan radar akan digunakan khusus di kawasan perairan sempadan Sabah bagi meningkatkan kawalan.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pihaknya akan menambah jumlah keanggotaan bagi kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak berikutan langkah kerajaan Indonesia ingin menjadikan Borneo sebagai ibu negara baharu negara itu bagi menggantikan Jakarta selain bertujuan mengatasi kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

“PDRM akan tambah satu briged di Sabah dan menempatkan satu batalion di Keningau, Kudat dan Kunak. Kita (polis) juga ada buat tambahan batalion di Sarawak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor salur RM300,000 pasang CCTV di pangsapuri kos rendah

KLANG, 27 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan RM300,000 bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 30 pangsapuri kos rendah.

Menurut EXCO perumahan, kesejahteraan dan hartanah kos berkenaan sebahagian daripada peruntukkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) berjumlah RM10.5 juta menerusi Skim Ceria.

“Kita memperuntukkan RM10,000 bagi setiap pangsapuri berstrata rendah yang sudah disalurkan secara berperingkat.

“Kebiasaannya, ia melibatkan pemasangan sebanyak 12 hingga 16 unit CCTV di pintu masuk utama dan lif,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Ambil & Bayar (Pick & Pay) Laman Hijau Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini, hari ini.

Rodziah berkata inisiatif itu diambil hasil aduan kes jenayah oleh badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) pangsapuri terbabit sejak tahun lalu.

“Pemilihan pangsapuri yang layak untuk memasang CCTV diambil kira berdasarkan pemohonan lokasi perumahan berkenaan.

“Ia dipasang di kawasan yang mempunyai kes jenayah dengan harapan ia dapat dikurangkan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MPK pasang CCTV, pantau pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram di Jalan Kebun Nenas, di sini.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pemasangan alat itu bagi memburu individu tidak bertanggungjawab selain mengelak kawasan terbabit dicemari sampah.

“Sampah haram di sini telah dibersihkan pada Jun namun didapati kejadian terus berlaku sehingga kini.

“Kita akan memasang CCTV dan membuat rondaan serta tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terlibat,” katanya memetik laporan Kosmo.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) Muhd Ali Zakariah meninjau lokasi pembuangan sampah haram tersebut.

Ahmad Fadzli berkata kerja pembersihan akan dijalankan dan kawasan itu dipasang tali pita bagi menghalang aktiviti berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor guna CCTV pantau pematuhan SOP sepanjang perintah kawalan

SHAH ALAM, 27 JUN: Selangor menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut memudahkan pihak berkuasa tempatan menjaga keselamatan orang awam tanpa kerap turun padang.

“Pemasangan CCTV sudah lama dilaksanakan di Selangor untuk pelbagai tujuan dan dimanfaatkan ketika PKP mulai 18 Mac lalu.

“Walaupun tiada penguat kuasa turun padang tetapi CCTV ada untuk pantau, justeru pastikan anda sentiasa patuhi SOP untuk mencegah jangkitan wabak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 1 November 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tambahan 5,000 unit CCTV di seluruh negeri yang dilengkapi teknologi pengimbas wajah dan diselia dari pusat arahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan inisiatif tambah CCTV di seluruh negeri

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan dengan inisiatif Kerajaan Negeri menambah 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah itu bagi mewujudkan negeri yang selamat didiami oleh rakyat.

“Beta turut dimaklumkan Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi pelaksanaan Skim Polis Bantuan di pihak berkuasa tempatan.

“Beta berkenan dengan langkah dan inisiatif Selangor mewujudkan negeri yang selamat didiami oleh rakyat jelata,” titah baginda pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai geran komuniti untuk meningkatkan aspek keselamatan serta memberikan kesedaran kepada komuniti berhubung kepentingan mewujudkan suasana tempat tinggal selamat, aman dan harmoni.

Categories
AGENDA NASIONAL

#Selangor2020: 5,000 CCTV pengimbas wajah wujud negeri selamat

SHAH ALAM, 1 NOV: Bagi mewujudkan negeri yang selamat didiami rakyat, sejumlah 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah di seluruh Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata CCTV itu akan dilengkapi teknologi pengimbas wajah (face recognition) dan diselia dari ‘command centre’ bertujuan menyelaras data bagi tujuan keselamatan.

“Pemasangan CCTV adalah salah satu elemen dalam Program Bandar Selamat yang diperkenalkan PLANMalaysia pada 2004.

“Bagi memastikan sistem CCTV sedia ada mengikut keperluan semasa dengan teknologi terkini, Kerajaan Negeri akan menambahbaik spesifikasinya melalui kaedah ‘technology refreshment’.

“Kita juga akan mengkaji semula lokasi sedia ada dengan mengambil kira pandangan daripada pihak berkuasa seperti polis,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sehingga Oktober lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh negeri.

Selain itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif penyerapan skim Penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Skim Polis Bantuan mulai tahun depan.

Sebagai inisiatif perintis, katanya usaha itu akan membabitkan 180 anggota dari sembilan PBT yang akan dikenal pasti di dua majlis bandar raya, enam majlis perbandaran dan satu majlis daerah.

“Sebanyak RM2 juta akan disediakan oleh PBT berkenaan untuk melaksanakan penaiktarafan Skim
Penguat kuasa kepada Skim Polis Bantuan,” katanya.

Antara manfaat keselamatan lain:

  • RM2 juta sebagai geran komuniti untuk meningkatkan asek keselamatan serta memberikan kesedaran kepada komuniti setempat berhubung kepentingan mewujudkan suasana tempat tinggal yang selamat, aman dan harmoni
  • RM300,000 bagi program Nadi Desa yang akan dilaksanakan berkonsepkan Latihan – Teori,
    Pemahaman, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Pembentangan dan Tugasan Kerja Kursus
Categories
AGENDA NASIONAL

Rakaman CCTV tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Sebarang rakaman video termasuk daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam atau hak persendirian tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, penyebaran rakaman sedemikian menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan apabila pemiliknya berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Berkenaan kandungan CCTV seperti itu (termasuk rakaman hotel) tertakluk kepada perlindungan data peribadi, di mana pihak pengurusan hotel perlu berdaftar dengan JPDP supaya maklumat semua rakaman itu dilindungi,” katanya pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff yang ingin tahu adakah penyebaran video daripada rakaman CCTV atau hak persendirian seperti premis hotel dikira sebagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

Berhubung kesalahan di bawah akta berkenaan, Eddin Syazlee berkata, JPDP menerima 680 aduan daripada subjek data bagi tahun 2018 dengan 46 peratus kes berjaya diselesaikan dan ditutup.

Jenis kesalahan paling kerap diterima pula ialah aduan berkaitan pelanggaran tujuh prinsip perlindungan data peribadi terutama prinsip am, penzahiran dan keselamatan, katanya.

“Golongan pengguna data yang merekodkan aduan tertinggi adalah golongan institusi perbankan dan insurans serta aduan berkaitan penzahiran data peribadi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran (ejen pengutip hutang) dan pemasaran langsung,” katanya.

Beliau berkata Akta 709 itu penting dalam meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan perundangan mengenai perlindungan data peribadi seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand, Australia, Macau, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.

-BERNAMA