Categories
SELANGOR

MBSA pelawa orang ramai sertai aktiviti berbasikal 22 Feb ini

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 18 FEB : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempelawa orang ramai terutamanya para penggemar aktiviti berbasikal untuk menyertai Pertandingan Berbasikal Kriterium Shah Alam yang dianjurkan pada 22 Februari ini di Jalan Selatan, Persiaran Tasik, Shah Alam.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata ia diadakan bagi memberi peluang kepada penggemar aktiviti berbasikal menunjukkan bakat mereka dalam sukan berbasikal untuk diketengahkan di peringkat dalam mahupun luar negara.

MBSAKatanya, dengan penganjuran pertandingan seperti ini juga dapat mendidik orang ramai berhubung kepentingan amalan kehidupan yang sihat dan cergas.

“Sukan berbasikal yang kian menjadi aktiviti pilihan orang ramai khususnya golongan belia menjadi inspirasi kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam untuk menganjurkan pertandingan ini.

“Pertandingan ini terbuka mengikut peringkat umur yang ditetapkan dan kategori yang dipertandingkan adalah kategori basikal bukit dan kategori basikal lumba,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrin berkata, mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan hendaklah menggunakan basikal sendiri mengikut kategori yang ditetapkan iaitu jenis basikal lumba dan basikal bukit.

“Para peserta juga diminta untuk mematuhi peraturan keselamatan seperti yang ditetapkan oleh pihak MBSA.

kayuh basikal yunus morib 03“Antaranya, peserta perlu memakai kelengkapan keselamatan seperti helmet keselamatan dan pad tangan serta lutut,” katanya lagi.

Bagi kategori basikal bukit dan basikal lumba, peringkat yang dipertandingkan adalah lelaki bawah umur 15 dan 18 tahun, lelaki junior veteran umur 35 hingga 45 tahun, lelaki senior umur 46 tahun ke atas, kategori lelaki terbuka berumur 19 hingga 35 tahun dan kategori wanita terbuka.

Manakala bagi kanak-kanak pula pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 4 dan 5 tahun dengan jarak 100 meter.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai Pertandingan Kriterium Shah Alam ini boleh mendapatkan borang daripada pihak urusetia pertandingan Bahagian Sukan dan Rekreasi, Jabatan Korporat MBSA atau menghubungi talian 012 – 370 6636 (Jaid Idham) atau 019 – 2576897 (Azreen Naim).

Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan borang pertandingan daripada Persatuan Lumba Basikal Selangor dengan menghubungi Ariffin Mohd Salleh di talian 013-3822427.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.