Oleh: NAZLI IBRAHIM
KAJANG 12 FEB: Rakyat disarankan terus bersatu dan berani mempertahankan kebenaran seperti dilakukan bekas Pegawai Pemerintah Skuadron 12 Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Butterworth, Mejar Zaidi Ahmad.
Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenavasan, berkata Mejar Ahmad membuat laporan polis berikutan dakwat kekal dicalitkan dijarinya ketika mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu didakwa didapati boleh ditanggalkan.
“Dia dikenakan tujuh tuduhan oleh Mahkamah Tentera. Lelaki ini dihukum kerana bercakap benar. Kita mesti berdiri bersama beliau dengan nyatakan sepenuh sokongan kepada beliau kerana dia adalah hero Malaysia.
“Begini cara menentang pembohongan dengan menyatakan kebenaran. ‘Tribute’ untuk Mejar Zaidi dan tanpa ragu-ragu sila batalkan tuduhan ke atas beliau,” kata Ambiga.
Beliau berkata demikian di Forum Legasi Tunku Abd Rahman yang diadakan di Auditorium Kolej Universiti New Era baru-baru ini sempena memperingati ulang tahun yang ke0111 kelahiran Tunku Abdul Rahman pada 8 Februari lalu.
Kata Ambiga, keberanian yang ditunjukkan Mejar Zaidi itu melambangkan semangat patriotik yang ada pada anggota tentera itu sama seperti mana yang ada pada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
Mejar Zaidi didakwa atas tujuh tuduhan di Mahkamah Tentera, Kompleks Mahkamah TUDM Pangkalan Udara Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.
Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.
Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.
EZY