Categories
NASIONAL

40 NGO desak pertuduhan terhadap Mejar Zaidi digugurkan

SHAH ALAM 7 APRIL: 40 Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan semua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

Dalam satu kenyataan bersama, 40 NGO itu berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Persoalannya, kenapa tindakan diambil terhadap Mejar Zaidi bilamana beliau bercakap demi kepentingan awam?,” kata kenyataan itu.

MejarZaidiKenyataan itu menyatakan Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13.

Katanya, tiga daripada tujuh pertuduhan yang dikenakan adalah kerana beliau membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan yang “berbau politik”.

“Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau berkemungkinan akan kehilangan hak pencen dan faedah-faedah lain.

“Ini merupakan ketidak-adilan yang tidak boleh diterima bila kita bercakap soal demokrasi. Mejar Zaidi sebenarnya seorang wira,” katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan, jika kesemua rakya seperti Mejar Zaidi, yakni berani menyuarakan yang hak, benar dan adil, pastinya sistem pentadbiran negara kurang kepincangannya.

Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan umum.

Namun, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap SPR yang secara jelas berpihak, dan kegagalan mereka dalam pengendalian dakwat kekal.

Sebaliknya, seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah.

“Kami mengajak semua orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil, untuk memberikan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan beliau pada 8 hingga 10 April 2014, Mahkamah Tentera Pengkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kami juga menuntut Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 lancar Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’ untuk menggesa semua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal, digugurkan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dipetik Harakah Daily, hari ini.

Mejar Zaidi-702548Maria berkata Bersih 2.0 akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera untuk menyeru supaya pertuduhan Zaidi digugurkan.

Katanya, Bersih 2.0 menganjurkan kempen itu melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.

“Bersih 2.0 percaya ramai rakyat berasakan Mejar Zaidi tidak harus dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran,” kata Maria.

Rombongan Bersih 2.0 terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Semenanjung Utara, Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat. Mandeep Singh dan Adam Adli, serta Bendahari Ikram, Mustafa Basri melawat Mejar Zaidi di rumahnya di Bertam, Kepala Batas 24 Februari lalu.

Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau dikenakan tiga lagi tuduhan membuat kenyataan media tanpa kebenaran dan menghantar dua SMS yang berbau politik.

Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Aduan Mej (U) Zaidi bukan bersifat politik, wajar dilepaskan

Oleh Wan Fauzuldin Wan Samad

Kor Bekas Angkatan Tentera (KOBAT) terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas di atas keberanian pegawai tentera, Mejar (U) Zaidi yang berani menyuarakan kebenaran dan tidak menyembunyikan penipuan di dalam isu dakwat kekal pada PRU 13 yang lalu.

Selaku pegawai tentera, sikap ini sepatutnya mendapat pujian daripada Panglima Angkatan Tentera kerana seseorang pegawai tentera itu bukan sahaja perlu berdisiplin tetapi mesti berani dan tegas.

Malangnya ini tidak berlaku malahan beliau dilayan seolah-olah ‘penderhaka’ kepada negara yang selama ini beliau pertahankan.

unnamed (1)Pada 07 Feb lalu, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Yang Dipertua Mahkamah Tentera di Pengkalan TUDM, Sungai Besi.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama. Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Hakim menetapkan 8 hingga 10 April depan untuk perbicaraan kes tersebut.

KOBAT yakin mahkamah yang adil pasti membebaskan beliau dari pertuduhan yang tidak masuk akal itu.

Apakah salah seseorang tentera mengadu bahawa dirinya tertipu dengan dakwat kekal?

Apakah dengan menyatakan bahawa dakwat yang sepatutnya kekal dijarinya itu tetapi ternyata tidak kekal, itu merupakan satu kempen politik?

Mengikut Perintah Majlis Angkatan Tentera, 1972 (PMAT) sememangnya menjadi kesalahan seseorang anggota tentera;

1. Menjadi ahli mana-mana parti politik.
2. Berkempen untuk mana-mana parti politik.
3. Menghadiri program politik dengan memakai pakaian seragam.

Di antara di atas, tiada satu pun yang dilakukan oleh pegawai tersebut. Sehubungan itu, KOBAT merasakan adalah adil dan perlu pihak tentera menimbang kembali pertuduhan terhadap beliau.

Jasa-jasa dan pengorbanan selama ini yang dicurahkan oleh beliau demi negara sepatutnya tidak boleh di’jual beli’ atau menjadi pertaruhan kepada orang-orang politik.

Adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk membela anggota bawahannya daripada menjadi mangsa orang-orang politik.

Kami bimbang sekiranya perbuatan merendahkan martabat warga ATM seperti yang dilakukan terhadap Mej (U) Zaidi sekarang ini akan mendedahkan ATM kepada kejian dan pandangan rendah rakyat terhadap imej ATM itu sendiri.

Cukuplah PDRM sahaja yang sering terpalit dengan berbagai isu kontroversi, pertahankan maruah ATM sebagai pasukan yang hebat, gagah dan tidak takut kepada tangan-tangan orang politik.

* Wan Fauzuldin Wan Samad ialah Penyelaras KOBAT

Categories
NASIONAL

Mejar Zaidi hero negara, rakyat kena bersatu pertahan kebenaran

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG 12 FEB: Rakyat disarankan terus bersatu dan berani mempertahankan kebenaran seperti dilakukan bekas Pegawai Pemerintah Skuadron 12 Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Butterworth, Mejar Zaidi Ahmad.

Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenavasan, berkata Mejar Ahmad membuat laporan polis berikutan dakwat kekal dicalitkan dijarinya ketika mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu didakwa didapati boleh ditanggalkan.

MejarZaidi“Dia dikenakan tujuh tuduhan oleh Mahkamah Tentera. Lelaki ini dihukum kerana bercakap benar. Kita mesti berdiri bersama beliau dengan nyatakan sepenuh sokongan kepada beliau kerana dia adalah hero Malaysia.

“Begini cara menentang pembohongan dengan menyatakan kebenaran. ‘Tribute’ untuk Mejar Zaidi dan tanpa ragu-ragu sila batalkan tuduhan ke atas beliau,” kata Ambiga.

Beliau berkata demikian di Forum Legasi Tunku Abd Rahman yang diadakan di Auditorium Kolej Universiti New Era baru-baru ini sempena memperingati ulang tahun yang ke0111 kelahiran Tunku Abdul Rahman pada 8 Februari lalu.

Kata Ambiga, keberanian yang ditunjukkan Mejar Zaidi itu melambangkan semangat patriotik yang ada pada anggota tentera itu sama seperti mana yang ada pada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Mejar Zaidi didakwa atas tujuh tuduhan di Mahkamah Tentera, Kompleks Mahkamah TUDM Pangkalan Udara Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

EZY