Categories
NASIONAL

Najib patut segera atur dialog konsensus nasional

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa untuk segera mengatur dialog di antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan blueprint Konsensus Nasional dilaksanakan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata usaha itu juga dilihat penting bagi memadam api ketegangan kaum dan agama yang dilihat semakin parah sejak akhir-akhir ini.

Teresa Kok Kontena Kilang 01Katanya, itu juga merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat bagi meredakan kembali keadaan yang berlaku yang sehingga kini masih dibiarkan tanpa sebarang tindakan pihak berkuasa.

“Kita percaya ia adalah tindakan ekstremis agama dan kaum oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagaimana berlaku di Pulau Pinang.

“Dengan segala insiden ini, Kerajaan Pusat tidak boleh menangguhkan lagi penyelesaian kepada ketegangan ini, ia perlu dilakukan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Najib dilaporkan menerima seruan PR serta bersetuju untuk bekerjasama bagi mengadakan konsensus nasional.

Pada masa sama, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu mengecam sikap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dilihat masih bermain politik dalam isu serius itu.

“Khairy mendakwa ketegangan berpunca daripada kegagalan Pakatan menyelesaikan isu kalimah Allah di Selangor dan ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dengan menuduh Kerajaan Negeri.

“Ini juga menunjukkan beliau masih terperangkap dengan politik kepartian di saat kerjasama kedua-dua pihak amat diperlukan demi kebaikan negara,” katanya lagi.

AnwarSebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar satu dialog diadakan bagi membincangkan isu perpaduan agama dan bangsa, tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi mencapai Konsesus Nasional.

Anwar turut menganjurkan agar isu penting lain seperti rasuah yang membarah, keselamatan rakyat dan peningkatan kos sara hidup dibincangkan dengan merentasi batas kepartian.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.