Categories
NASIONAL

Anwar : Tawaran Konsensus Nasional PR-BN batal

KAJANG, 11 MAC: Pakatan Rakyat (PR) membatalkan serta menarik semula tawaran Konsensus Nasional yang pernah dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ini ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR ketika berucap di Kajang malam tadi turut mengisytiharkan “perang dasar” ke atas pemimpin BN yang didakwa menyalahgunakan kuasa serta memperalatkan badan kehakiman negara.

Beliau mendakwa, panel hakim yang mendengar hujahan kes membabitkannya dengan bekas pembantu peribadinya itu tidak mempedulikan fakta sebaliknya hanya bersetuju dengan hujah peguam pihak pendakwaan, Tan Sri Shafee Abdullah.

Anwar“Sekarang sudah tiada lagi dialog. Tiada lagi Konsensus Nasional. Kita lawan kerana mereka biadab.

“Tiga orang (panel hakim) sama sahaja dengan Shafee. Jatuh hukum tak peduli fakta,” dakwanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini.

Ucapan Anwar itu mendapat sorakan ratusan penyokong PR yang kemudiannya melaungkan perkataan “lawan”.

Sebelum ini, Anwar pernah mengajak BN untuk berdialog demi mencapai Konsensus Nasional antaranya bagi mengatasi unsur menggugat perpaduan dan kebencian antara agama yang kian meningkat.

UMNO BN 55Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan kes membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mendapati beliau bersalah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.

Hakim Balia memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA telah tercemar.

Categories
SELANGOR

MB: ‘Mala fide’ BN terhadap Anwar leburkan semangat muafakat

SHAH ALAM, 7 Mac: Usaha permuafakatan antara gagasan politik yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan rakyat sebagai mangsa kepada sikap politik keanak-anakan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas ketidakadilan terhadap Anwar sebagai hipokrasi Barisan Nasional.

“Sebaik hukuman ini dibacakan, semangat Rekonsiliasi Nasional yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak langsung lebur dan tenggelam bersama arus hipokrasi.

“Ternyata semangat palsu ini gagal diterjemahkan dengan jujur sungguhpun Ketua Pembangkang menyahutnya dengan agenda Konsensus Nasional,” katanya pada kenyataan, malam ini.

Beliau menyifatkan niat jahat pemerintah itu hanya memburukkan lagi situasi politik negara dan detik hitam itu menunjukkan politik sempit yang menjurus kepada pembunuhan peribadi.

“Detik hitam ini tanpa kita disedari mencambah rasa prejudis pendokong dan penyokong KEADILAN khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Walau kita akui kepentingan rakyat harus di kedepankan, namun penindasan dan pendakwaan bersifat ‘mala fide’ terus menyukarkan keadaan dan mengusutkan lagi ruang kematangan berpolitik,” katanya.

Abdul Khalid menggesa Anwar dibebaskan daripada pendakwaan peribadi dan menyeru BN supaya bersaing melalui politik berteras idea dan agenda pembangunan negara.

“Malaysia sewajarnya sudah melepasi tahap kematangan berpolitik dan mampu fokus kepada agenda pembangunan negara, bukan lagi serangan politik kotor yang mensasarkan batang tubuh pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menggesa semua pihak untuk tidak didorong emosi dan bersama menangani konspirasi terhadap Anwar itu secara bijaksana.

“Rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat diminta bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan. Konspirasi terancang ini harus diteliti dan ditangani secara bijak dan praktikal,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL

PR kecewa BN lambat respon Konsensus Nasional bincang isu rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 13 FEB: Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan kelewatan perbincangan Konsensus Nasional bersama Barisan Nasional (BN) sedangkan situasi tidak sihat berterusan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, berkata ‘bola permainan’ kini berada di kawasan BN dan PR menunggu masa supaya perkara ini dapat dibincangkan dan diselesaikan.

saifuddin nasutionKatanya, PR lebih awal mengemukakan cadangan ini sejak Ogos tahun lalu namun setakat ini hanya terdapat dua reaksi balasa daripada pimpinan BN.

“Proses amat perlahan kerana reaksi (pimpinan BN) dengan begitu lembab dalam ketika rakyat disajikan perkembangan yang membimbangkan,” katanya di Ibu Pejabat PKR.

Jelasnya, Pakatan khususnya PKR telah menunjukkan kesungguhan mengenai perkara ini termasuk mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi.

Katanya, proses rundingan ini tidak menetapkan jangka masa spesifik untuk dimuktamadkan dan diharapkan berlangsung secepat mungkin.

Situasi semasa menyaksikan perkembangan sentimen perkauman kembali dihidupkan pihak tertentu yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

Ini termasuk kejadian tawaran menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok oleh NGO ekoran penerbitan video Tahun Baru Cina 2014 yang mencetuskan kontroversi.

Selain itu, terdapat juga kejadian lemparan bom molokov koktail di sebuah gereja di Pulau Pinang.

EZY

Categories
NASIONAL

Anwar : Konsensus nasional bukan ‘bunga-bunga’ pembentukan kerajaan perpaduan

SHAH ALAM, 6 FEB: Gesaan berterusan Pakatan Rakyat (PR) supaya diadakan dialog bi-partisan bagi membincangkan isu nasional yang dihadapi negara bukan ‘bunga-bunga’ kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jika tidak beliau tidak akan pergi ke negeri Selangor untuk bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

“Parameter (dialog itu) sangat jelas, jaminan perlembagaan dan memberi keyakinan kepada rakyat berdasarkan kepada jaminan ini.

“Ia akan membabitkan isu perkauman, agama, ekonomi, jenayah dan rasuah serta tidak lebih daripada itu,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Dinner PR 01 (anwar)Anwar berkata, hal itu menjadi matlamat akhir sejak tawaran Pakatan kepada BN untuk konsensus nasional itu yang pertama kali dibuat Ogos lalu.

Mengesahkan spekulasi yang tersebar, beliau menjelaskan bahawa Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution bertindak sebagai utusan untuk menyampaikan mesej dalam satu pertemuan peribadi dengan wakil BN yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ya, memang ada pertemuan antara Saifuddin dan Zahid, tetapi hanya untuk menyuarakan isu ini kerana BN bertanya sama ada kita serius atau ini hanya gimik politik,” katanya.

Katanya, mesyuarat majlis kepimpinan PR mengkaji tawaran konsensus nasional itu dan beliau sudah mengadakan ‘perbincangan peribadi yang panjang lebar’ dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Majlis kepimpinan PR mengambil pendirian untuk terus menggesa supaya dialog itu diadakan walaupun mengetahui bahawa BN hanya akan menolaknya dan akan ada puak Umno yang menentangnya.

Categories
NASIONAL

Najib patut segera atur dialog konsensus nasional

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa untuk segera mengatur dialog di antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan blueprint Konsensus Nasional dilaksanakan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata usaha itu juga dilihat penting bagi memadam api ketegangan kaum dan agama yang dilihat semakin parah sejak akhir-akhir ini.

Teresa Kok Kontena Kilang 01Katanya, itu juga merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat bagi meredakan kembali keadaan yang berlaku yang sehingga kini masih dibiarkan tanpa sebarang tindakan pihak berkuasa.

“Kita percaya ia adalah tindakan ekstremis agama dan kaum oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagaimana berlaku di Pulau Pinang.

“Dengan segala insiden ini, Kerajaan Pusat tidak boleh menangguhkan lagi penyelesaian kepada ketegangan ini, ia perlu dilakukan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Najib dilaporkan menerima seruan PR serta bersetuju untuk bekerjasama bagi mengadakan konsensus nasional.

Pada masa sama, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu mengecam sikap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dilihat masih bermain politik dalam isu serius itu.

“Khairy mendakwa ketegangan berpunca daripada kegagalan Pakatan menyelesaikan isu kalimah Allah di Selangor dan ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dengan menuduh Kerajaan Negeri.

“Ini juga menunjukkan beliau masih terperangkap dengan politik kepartian di saat kerjasama kedua-dua pihak amat diperlukan demi kebaikan negara,” katanya lagi.

AnwarSebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar satu dialog diadakan bagi membincangkan isu perpaduan agama dan bangsa, tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi mencapai Konsesus Nasional.

Anwar turut menganjurkan agar isu penting lain seperti rasuah yang membarah, keselamatan rakyat dan peningkatan kos sara hidup dibincangkan dengan merentasi batas kepartian.

EZY

Perutusan Khas Anwar seru rakyat ke arah konsensus nasional – Versi Inggeris

http://tv.selangorku.com

Perutusan Khas Anwar seru rakyat ke arah konsensus nasional – Versi Bahasa

http://tv.selangorku.com