Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: PBS bermasalah, guru tidak patut dibebankan

Oleh: Norhayati Umor

PETALING JAYA 27 FEB : Percanggahan kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan 2, Datuk Seri Idris Jusoh serta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berhubung Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menambahkan lagi kecelaruan isu terbabit.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kementerian seharusnya memberikan jawapan jelas sama ada ia ditangguhkan perlaksanaannya atau hanya ditambah baik.

PC Nik NazmiKatanya, idea di belakang PBS adalah idea yang baik iaitu untuk melahirkan pelajar lebih holistik berbanding sistem berkonsepkan peperiksaan namun pelaksanaan dasar itu mendedahkan pelbagai kelemahan.

“Banyak aduan daripada guru yang mengatakan masa dihabiskan melakukan kerja pengkeranian memuatkan data ke dalam sistem berkomputer PBS.

“Guru di kawasankelajuan internet rendah terpaksa menggunakan wang sendiri untuk ke kafe siber dan ada yang terpaksa menunggu sampai tengah malam untuk menunggu kelajuan internet.

“Itu sudah tentu menjejaskan tugas utama guru sebagai pendidik,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Nik Nazmi berkata Kementerian mesti mencari sistem penilaian adil dan praktikal untuk pelajar tingkatan tiga tahun ini yang tertanya-tanya tentang nasib mereka.

“Ada yang diberitahu meskipun Penilaian Menengah Rendah (PMR) tiada tetapi mereka akan dinilai dengan penilaian seakan-akan PMR.

“Lantas, matlamat PBS itu sendiri terjejas dan anak-anak kita menjadi bahan uji kaji pendidikan setengah masak,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kementerian menghentikan sebarang tindakan kepada guru yang terlibat membantah PBS.

“Lebih penting lagi, sistem yang ada mesti dirombak ataupun dikurangkan perkara yang mahu dianalisa,” katanya.

Beliau berkata buat masa panjang sebarang perubahan struktural seperti PBS itu memerlukan perbincangan meluas yang membabitkan pakar-pakar pendidikan, ibu bapa dan guru serta memerlukan penerangan yang meluas di semua peringkat.

“PBS bertunjangkan autonomi dan kebertanggungjawaban sekolah yang tidak wujud di Malaysia.

“Laporan Bank Dunia pada Disember 2013, mencatatkan antara masalah utama sistem pendidikan kita ialah pemusatan kuasa dalam bidang pendidikan.

“Sekolah harus diberikan kuasa memilih buku teks dan cara pengajaran sebelum sistem PBS diperkenalkan termasuk juga insfrastruktur,” katanya.

Statistik terkini penilaian antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Studies (TIMSS) 2011) dan Programme in International Students Assessment (PISA) 2012, pelajar-pelajar negara mencatatkan kemerosotan berbanding penilainan sebelumnya.

“Ini adalah trend yang membimbangkan, apatah lagi kita bukan sahaja jauh ketinggalan berbanding Singapura, malah dengan negara jiran seperti Thailand dan Vietnam,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.