Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 4 FEB: Dakwaan sesetengah pihak terutama Umno yang menganggap PAS sebagai ‘pak turut’ dalam Pakatan Rakyat (PR) membabitkan isu agama dan Melayu dinafikan parti itu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata setiap keputusan yang dibuat bersama PR adalah melalui perbincangan dan kajian mendalam dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Beliau berkata, PAS akan memastikan perbezaan itu diurus dengan baik dan tidak akan menyebabkan pergaduhan, jika wujud perselisihan faham berhubung sesuatu perkara.
“Saya rasa PAS tidak ada masalah dan hubungan PR juga berada dalam keadaan baik. Jika ada perselisihan faham, perkara itu adalah biasa kerana kita akui PR datang daripada ideologi berbeza,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian.
Sementara itu, Iskandar berkata, PAS mempunyai langkah tertentu untuk menangani isu yang timbul ketika engulas cabaran berhubung isu kalimah Allah yang menjadi perhatian umum.
Katanya, PAS turut mengambil pendekatan berjumpa dengan ketua agama dan masyarakat luar yang bukan beragama Islam bagi memahamkan mereka tentang isu berkenaan, selain memberi penerangan kepada Ahli Dewann Undangan Negeri (ADUN).
“Sebagai contoh, Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi ada mencadangkan untuk membuat satu penerangan kepada semua dan ini adalah penerusan dakwah yang dilakukan PAS.
“Hubungan dakwah itu penting dan perlu ada walaupun Selangor terpalit dengan isu Kalimah Allah,” katanya.
-NFN-