Categories
NASIONAL

Pendakwah terkenal Yazid Jaafar meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Veteran PAS dan pendakwah terkenal, Yazid Jaafar meninggal dunia pagi ini di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Jenazah dibawa ke rumahnya di Kampung Baru untuk disempurnakan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang selepas solat Zohor.

Memetik Harakah Daily, Allahyarham yang dikenali sebagai Pak Yazid adalah pesara tentera dan pernah menjawat Yang Dipertua Persatuan Bekas Perajurit Force 136, selain mengetuai perbarisan Hari Kemerdekaan, pada 31 Ogos 1957.

pak yazidPak Yazid menyertai PAS pada 1956 dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada 1970 hingga 1974.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Pekan melawan Tun Abdul Razak Husein daripada Perikatan.

Allahyarham menjadi petugas sepenuh masa Pejabat Agung PAS bermula 1964 hingga 1974 dan pernah menjadi guru agama dan pendakwah di Lembah Klang dari dekad 1960 hingga ke akhir hayat.

Kediaman beliau di Kampung Baru pernah dijadikan lokasi kuliah mingguan dan menjadi tempat tumpuan popular pencinta ilmu pada setiap hujung minggu.

Ceramah agama yang sering diselitkan dengan kisah masyarakat dan unsur humor menjadikan Pak Yazid antara pendakwah terkemuka pada dekad 80-an dan 90-an.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.